Jika semifinal MLM diadakan di Kedah Darul Aman, separuh akhir MLM pula bakal diadakan di Johor Bharu, Jumaat ini.
Kali ini ia bakal menyaksikan persaingan antara Sepahtu, Shiro, Jambu, Bocey dan Nabil, setelah SYJ terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada minggu ke-11.
Nizam Sani selaku Pengurus Saluran Premium Astro berkata, persaingan antara peserta kali ini sangat sengit.
“Setiap minggu keputusan undian yang kami dapat memperlihatkan persaingan sengit antara peserta dan jurang perbezaan mata tidak ketara.
“Tidak hanya satu kumpulan atau peserta mendominasi kedudukan teratas kerana kedudukan teratas sering bertukar tangan,” katanya.
Ditanya berkenaan persembahan peserta di Johor nanti, Nizam menyatakan formatnya adalah sama seperti yang dilakukan di Kedah.
“Setiap peserta akan melakukan dua persembahan seperti minggu lalu dan kita harapkan mereka akan melakukan yang terbaik,” katanya.
Juara Maharaja Lawak Mega 2013 bakal membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM500,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM250,000 dan RM150,000.
SYJ akur
Dalam pada itu, biarpun dihambat kekecewaan, kumpulan SYJ yang terdiri daripada gabungan Syuk (Balas), Yassin dan Jihan terpaksa akur tersingkir daripada pertandingan ini selepas 11 minggu berhempas pulas mengerah idea.
Walaupun baharu pertama kali bergabung bersama, namun kumpulan ini menunjukkan keserasian yang tinggi sehingga mendapat pujian juri dan turut menarik perhatian peminat.
Bagaimanapun, disebabkan kekurangan idea, mereka terpaksa mengambil risiko dan mengakui persembahan pertama pada malam itu dirasakan memberikan kesan kepada keputusan penyingkiran kumpulan mereka.
“Bagi persembahan pertama saya boleh katakan kami gagal mencuri hati penonton, kami cuba buat yang terbaik.
“Semasa latihan banyak genre cerita yang kami cuba, tapi semuanya tak menjadi, jadi kami terpaksa juga membuat keputusan kerana kesuntukan masa.
“Tapi saya tetap bangga kerana telah sampai ke tahap ini, kami kumpulan baharu yang ditubuhkan dan bersaing bersama kumpulan yang sememangnya kuat,” kata Jihan.
Dia juga berterima kasih kepada Syuk dan Yasin yang banyak memberikan sokongan moral dan tunjuk ajar kepadanya.
“Saya sebenarnya tak nak masuk MLM tapi saya sedari tak ramai wanita yang masuk program ini jadi saya masuk dan buktikan yang industri kita tidak ketandusan pelawak-pelawak wanita.
“Mungkin Kumpulan SYJ tidak akan dibubarkan dan kumpulan ini saya harapkan terus kekal sampai bila-bila,” katanya.
Yusof terasa hati?
Sementara itu, tindakan Yus (Jambu) yang sering 'membahan' salah seorang juri iaitu Datuk Yusof Haslam membuatkan ramai penonton tertanya-tanya tidakkah pemilik Skop Production itu terasa hati dengan tindakan Yus?
“Saya langsung tidak tersinggung dengan lawak Yus kerana kita berada dalam program lawak dan sememangnya itu adalah lawak.
“Sebenarnya saya dah tahu Yus pasti akan kenakan saya sebab sebelum ini dia pernah kenakan saya dan saya kenakan dia balik.
“Kita perlu menjadi seseorang yang matang dan tidak perlu mudah terasa serta melihat situasi dan keadaan ketika itu,” jelasnya.
Yusof juga menyifatkan kumpulan Jambu bijak menggunakan kesempatan kerana berjaya menarik hati audiens dan juri.
“Mereka merupakan sebuah pasukan yang bagus dan mempunyai keserasian dan lawak mereka pada minggu lalu telah menghidupkan suasana,” katanya.
Selain itu, ditanya adakah beliau akan menjadi juri sekiranya diberi peluang untuk Maharaja Lawak Mega akan datang, Yusof berkata : “Memang pada mulanya saya menolak untuk menjadi juri pada MLM kali ini tetapi saya mengubah fikiran untuk menjadi juri, saya akui saya dapat menenangkan fikiran saya selepas seminggu bekerja.
“Ramai yang beranggapan saya seorang yang serius, tetapi impak daripada MLM ini telah mengubah persepsi orang ramai terhadap saya.
“Sebagai seorang anak seni, sepatutnya kita masuk ke dalam apa jua platform seni tidak kira komedi, drama dan filem untuk mengembangkan bakat yang ada,” katanya.
0 comments:
Post a Comment