Loading...
Wednesday, January 22, 2014

Erra sertai barisan Top 5 ABPBH 2013

Pelakon terkenal terkejut dicalon dua kategori

Kuala Lumpur: Pelakon Erra Fazira yang sudah empat tahun tidak bersaing di pentas Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) membuat kejutan dengan menyertai barisan calon Top 5 dalam dua kategori pada edisi ke-27 anugerah berprestij itu. 

Pada majlis pengumuman calon Top 5 di The Royale Chulan Kuala Lumpur di sini, Erra yang kali terakhir muncul di pentas ABPBH 2008, tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular.

Selain itu, aktor yang mencipta nama di pentas teater, Pekin juga membuat kejutan apabila tercalon dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. 



Bintang Akademi Fantasia, Shahir yang menyepi daripada dunia seni sejak tiga tahun lalu, turut bolos calon Top 5 apabila bersaing bersama Hazama, Awi Rafael, Black dan Hafiz dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular. 

Pada ABPBH 2013, beberapa artis yang disangka layak menduduki calon Top 5 berikutan tahap populariti dan produk, bagaimanapun kecundang seperti Datuk Aznil Nawawi, Nabila Huda, Wawa Zainal, Nad Zainal dan Azlee Khairi. 

Kejutan istimewa 

Erra berkata, pencalonannya dalam dua kategori ABPBH 2013 dianggap suatu kejutan istimewa. 
“Saya tidak ingat bila kali terakhir berada di kerusi finalis. Namun, saya hargai sokongan ramai. Apatah lagi, dalam edisi kali ini julung kali saya dicalonkan untuk kategori pengacara,” katanya. 

Erra sebelum ini pernah tujuh kali mengungguli trofi Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH sejak 1994. 

Turut hadir pada majlis itu, Pengarang Kumpulan BH merangkap Penaung ABPBH 2013, Mahfar Ali; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Badrulhisham Othman dan Pengarang Bersekutu Hiburan/BH2 yang juga Pengerusi Bersama ABPBH 2013, Hanizam Abdullah. 

Mengikut peredaran semasa yang majoritinya didominasi media sosial, BH turut menganjurkan kategori sampingan yang boleh diundi secara atas talian di laman sesawang rasmi ABPBH, www.abpbh.com.my, bermula 4 Disember lalu. 

Kategori yang dipertandingkan secara online ialah Artis Lelaki Stailo; Artis Wanita Stailo; Gandingan Serasi Di Layar; Watak Jahat Dalam Drama/Filem dan Artis Berpengaruh Di Laman Sosial. 


Dua kategori baru 

Dua kategori baru turut diperkenalkan iaitu Chef Selebriti Paling Popular dan Aksi Di YouTube Paling Popular. 

ABPBH edisi ke-27 yang bertemakan Magis Alam dengan gabungan elemen tanah, api, air dan angin akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 6 April ini. 

ABPBH 2013 dibawakan oleh D’Haja Sdn Bhd; Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA); Alam Flora Sdn Bhd; SWM Environment Sdn Bhd; Environment Idaman Sdn Bhd; Eynasha; Lord’s Tailor; Resort World Genting; The Royale Chulan Kuala Lumpur; Natika Gold & Diamond; Tendence; TV3 dan Hot FM.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP