PETALING JAYA: Gerak Khas.
Pelakon Salina Saibi pernah berasa bosan apabila memegang watak sebagai Inspektor Salina selama empat tahun dalam drama bersiri kepolisan
Salina, 32, berkata, peluang berehat selama dua tahun daripada melakonkan watak tersebut sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya memberikan nafas baru kepada watak tersebut untuk musim terbaharu.
"Saya pernah berasa bosan apabila melakonkan watak yang sama selama empat tahun saya terlibat dalam drama Gerak Khas ini.
"Langkah Datuk Yusof Haslam merehatkan drama ini selama dua tahun iaitu 2012 dan 2013 memberi ruang kepada saya untuk mencuba berlakon watak-watak lain juga sebelum kembali semula melakonkan watak ini," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Salina berkata, biarpun watak anggota polis tersebut hanyalah sekadar lakonan, namun dia sentiasa menjaga kelakuan dan tingkah laku ketika berada di luar agar tidak mengundang imej buruk kepada badan beruniform tersebut.
Katanya, sikap dan disiplin sebagai seorang anggota polis yang dilakonkan sering terbawa-bawa di luar set penggambaran.
"Saya sentiasa jaga tingkah laku agar orang tidak memandang serong pada perbuatan kita lebih-lebih lagi orang ramai mengenali saya dengan watak polis,” katanya.
Sementara itu, Salina turut menyifatkan penerbit drama tersebut iaitu Yusof Haslam sebagai seorang yang sangat memahami dan mudah berbincang.
Jelasnya, Yusof memahami tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan sentiasa memberi kelonggaran untuk dia memberi keutamaan kepada keluarga.
"Datuk Yusof sangat memahami, walaupun penggambaran dilakukan setiap hari, namun dia beri saya untuk bercuti pada Sabtu dan Ahad bagi memberi peluang kepada saya untuk bersama keluarga," katanya.
Selain Salina, drama ini turut dibarisi pelakon popular Norman Hakim, Afiq Muiz, Nizen Ayob, Shanorbiah Shamsir Alam, Zabri Ibrahim dan Mas Hidzir Khan.
Gerak Khas musim baharu akan mula ditayangkan pada 14 Februari depan setiap Jumaat, pukul 9 malam di TV2.
0 comments:
Post a Comment