Pelakon Yana Samsudin menjelaskan perubahan fizikalnya terutama pada bahagian muka bukan kerana dia melakukan pembedahan sebaliknya mengalami penurunan berat badan secara mendadak.
Yana, 30, berkata, cakap-cakap yang mengatakan dia melakukan pembedahan untuk mengubah rupa parasnya sama sekali tidak masuk akal dan berharap ia tidak lagi dijadikan isu.
"Apa yang anda lihat bukan kerana saya menjalani pembedahan muka atau hidung seperti didakwa dan belum pernah lagi terlintas di fikiran saya untuk buat begitu.
"Perubahan ini disebabkan penurunan berat badan saya agak mendadak sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan raut wajah saya kelihatan berbeza," katanya kepada mStar Online.
Yana menjawab spekulasi yang mendakwa dia melakukan pembedahan plastik pada bahagian hidung dan wajahnya pada akhir tahun lalu.
Sementara itu, Yana secara terbuka mengakui sudah tiba masanya dia mula memikirkan soal perkahwinan secara serius sejajar dengan peningkatan usianya sekarang.
Jelas Yana, dia bersedia untuk mengakhiri zaman solonya pada tahun ini sekiranya bertemu jodoh yang sesuai.
"Usia saya bukan semakin muda tetapi semakin meningkat dan sudah tiba masanya soal perkahwinan menjadi agenda penting untuk saya pada tahun ini," katanya.
Pelakon itu sebelum ini pernah mengakui berkawan rapat dengan adik kepada aktor Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013), Yana berkata, dia terkejut sekali lagi terpilih untuk dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.
Bagaimanapun, dia amat berterima kasih kepada para peminatnya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan mengundinya sehingga dicalonkan dalam peringat 'Top 5'.
"Soal menang atau kalah tidak menjadi perkara penting kerana dapat pencalonan pun sudah membuatkan saya berbesar hati," katanya yang membawa pulang trofi kategori sama pada ABPBH tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment