"Ada hikmah dia sakit begini, sekurang-kurangnya dia dapat meluangkan masanya bersama keluarga."
Begitulah ayat yang terkeluar daripada mulut seorang isteri bintang filem dengan sumbangan besar kepada negara.
Hakikatnya kini, memori pelakon itu semakin lama makin dikikis dek penyakit demensia yang memakan semua kenangan silam Tan Sri Jins Samsuddin.
"Saya reda dengan ujian yang diberi Allah, cuma satu yang saya risau, jangan sampai dia lupa kedua-dua anak dan saya sebagai isterinya," luah isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah.
Itulah satu harapan isterinya. Biarlah penat sekalipun, tetapi janganlah memori itu lupus daripada ingatan bapa kepada dua orang anak, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.
Malah, tika ditanya adakah kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat, jelas Halijah, doktor sendiri tidak dapat memberitahu bila kerana ia terpulang kepada badannya sendiri.
Sewaktu kami berbual-bual di ruang tamu rumahnya, Jins lebih banyak termenung memerhatikan apa bibit cerita yang disembangkan.
Tiada reaksi yang diberikan saat mata penulis dihala ke mukanya. Hanya tersenyum dan sekali-sekala tersengih seolah-olah memahami apa yang diceritakan.
Mulutnya terkunci. Tetapi bila nama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) disebut ketika berborak dengan isterinya, pantas mulutnya berbicara.
Menceritakan detik-detik ketika dia masih menjalankan tugasnya sebagai pengerusi ketika di Finas. Segala anugerah dan gelaran yang diterimanya juga dicerita satu persatu.
Hanya itu reaksi yang boleh diberikan. Tiada reaksi lain selain senyum dan tertawa kecil. Dirinya kosong, apa yang bermain di fikiran Jins, hanya dirinya sahaja yang tahu.
Tambah Halijah, sambutan kehadiran Syawal yang sebelum ini meriah juga kini seakan tidak bermakna lagi. Malah, Jins sendiri tidak tahu apa itu sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Dia tidak tahu apa itu puasa, mengapa kita sambut Aidilfitri.
"Pernah sekali, ketika hari pertama Syawal, saya hulurkan tangan untuk bersalam memohon kemaafan, tetapi ditanya kembali kepada saya untuk apa berbuat demikian.
"Saya faham dan beritahu pada dia sampai dia faham. Memang kena selalu buat macam ini. Berborak dengan dia. Lagipun doktor pun ada pesan supaya sentiasa berkomunikasi dengan dia," katanya.
Jauh di sudut hati isterinya, sayu memikirkan perkara ini. Tetapi, dikuatkan juga hatinya kerana sekurang-kurangnya, insan tersayang itu sudah sentiasa ada di depan mata.
"Masa dia sihat dulu, dia sangat kuat bekerja. Jadual dia memang kalah Perdana Menteri. Diarinya penuh daripada awal tahun sampai hujung.
"Kalau dia balik pun, sekadar untuk menukar baju dan mempersiapkan diri untuk keluar semula. Malah, dia meletakkan kerjanya dahulu sebelum keluarga," jelasnya.
Ditanya tentang kesukaran untuk menjaga Jins, tiada apa yang memenatkan. Malah tambah Halijah, Jins hanya mengikut sahaja apa yang diberitahu.
"Tidak sukar jaga Jins sebab dia tidak mempunyai sifat pemarah. Lain-lain macam kebersihan diri dia masih boleh lakukan. Cuma mandi sahaja, saya akan lakukan.
"Lagipun Jins tidak mempunyai penyakit lain. Badannya sihat kecuali tangannya yang mempunyai sakit sendi. Tapi itu pun penyakit lama," katanya.
Tambah Halijah lagi, ada kalanya dia akan bawa Jins untuk berjalan-jalan supaya otaknya segar. Selain itu, aktiviti ringan seperti menyapu daun kering di halaman rumah juga kerap dilakukan supaya badannya tidak terus lemah.
Permata bukan kaca
Mengimbas kembali jerit perih perjuangan Jins, banyak sumbangannya dalam industri mahupun kepada rakan-rakan artis yang lain.
Jelas Halijah, dia tidak kisah dengan pengorbanan yang dilakukan demi suaminya, tetapi sekurang-kurangnya kenanglah jasa Jins yang selama ini menghambakan dirinya untuk industri.
"Jauh di sudut hati, adakalanya saya sebenarnya suka bila dia sakit macam ini. Biarlah dia lupa tentang sumbangannya terhadap industri. Kalau dia sihat lagi, rasanya mesti dia sakit hati dengan apa yang diterimanya sekarang. Bagimana dirinya disisihkan kini dan tidak dipedulikan," jelasnya.
Malah, tambah Halijah, selama ini dia berjaya membawa gelaran artis sehingga naik menjadi seorang senator dan membantu industri dengan suaranya sebagai senator.
"Sekarang dia dengan dunia dia sahaja. Saya lebih suka dia begini sekarang. Biarlah saya yang sedih dengan keadaannya, tetapi jangan dia yang sedih mengenangkan kerja kerasnya selama ini seperti tidak dihargai," katanya.
Dulu, Jins terkenal dengan perwatakannya yang serius. Tetapi kini, semuanya sudah hilang. Tiada lagi imej seperti itu.
Ketika ditanya Halijah, mungkin ada kata-kata yang ingin disampaikan kepada Jins, jelasnya, tiada apa yang boleh dikatakan lagi, semuanya sudah terlambat.
"Dia sudah tidak faham apa yang diberitahu kepadanya. Sudah tiada emosi dalam diri Jins. Hanya senyum dan ketawa sahaja.
"Cuma apa yang ingin saya katakan, kepada golongan-golongan yang berkaitan, hargailah artis-artis veteran yang memerlukan bantuan. Saya tidak kisah dengan bantuan kewangan kerana Alhamdulillah, setakat ini, rezeki itu masih ada. Tetapi bagaimana dengan artis veteran yang lain.
"Artis-artis yang sudah hilang pendapatan. Sedangkan Jins yang begitu banyak sumbangan industri pun semakin dilupakan, apatah lagi artis veteran yang lain," luahnya.
Jelas Halijah, dia sedih melihat Jins yang meletakkan kerja di hadapan, tetapi kerja itulah yang akhirnya memakan dirinya sendiri.
"Doktor beritahu, punca Jins sebenarnya jadi begini adalah kerana faktor kerja yang keterlaluan. Namun, selepas dia berhenti, otaknya mula tidak keruan yang akhirnya menjadikan dia sebegini.
"Semuanya dilakukan demi membangunkan industri tetapi lihatlah sekarang bagaimana dia disisihkan. Sudah tiada apa yang boleh dilakukan, maka Jins terus dibuang.
"Mungkin bila sudah tiada lagi nanti, ketika itulah semuanya baharu nak memberi penghargaan itu dan ini. Sedangkan masa dia masih hidup, tiada orang pun yang ambil tahu pasal dirinya," jelasnya.
Begitulah rajuk seorang isteri kepada bintang yang telah menyinarkan industri seni bukan di peringkat tempatan sahaja, malah ke peringkat antarabangsa.
Bukan sumbangan yang diharapkan, tetapi sekurang-kurangnya, jenguklah insan yang memberi sumbangan besar terhadap industri ini.
Bukan sukar, sekadar telefon bertanya khabar sudah memadai. Tidak perlu panggil wartawan pun tidak mengapa.
0 comments:
Post a Comment