Sebelum ini, pelakon bertubuh sasa, Cico Harahap mengakui yang dia sudah bercerai dan bergelar seorang duda selama tiga tahun.
Namun, baru-baru ini, ketika sidang akhbar drama Jiwa, drama terbaharu yang dibintangi Cico, terlihat kelibat seorang wanita yang berada di sisinya.
Kelibat wanita berbaju cheongsam biru itu nampaknya tidak asing lagi bagi Cico dan anaknya, Rindu Nur Fitrah, 5, yang kelihatan mesra bersama dengan wanita itu.
Mendekati Cico selepas berakhirnya sidang akhbar tersebut, dia memperkenalkan wanita itu sebagai tunangnya. Terkejut juga kerana berita tentang perkahwinannya sebelum ini baharu sahaja diceritakan.
Namun, Cico atau nama sebenarnya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaluddin, 35, tampil berani dan tidak berselindung lagi seperti sebelum ini. Malah, dia memberitahu bahawa usia pertunangan mereka sudah berlangsung hampir setahun.
"Sudah hampir setahun kami bertunang. Keluarga saya bertemu dengan keluarganya dan ia diadakan dalam majlis yang ringkas sahaja," jelasnya.
Namun, ketika ditanya nama gadis itu, Cico tampaknya belum bersedia mendedahkan nama si manis, sebaliknya hanya memberi kebenaran untuk diambil gambarnya sahaja. Itu sudah memadai bagi Hits.
Ketika ditanya sama ada tunangnya itu sudah memeluk Islam atau tidak, jelasnya, gadis itu masih lagi menganut agama asalnya.
"Status bertunang ini sebenarnya hanya mahu mengikat janji. Itu sahaja. Jadi tidak bermakna dia tidak peluk Islam, maka saya tidak boleh bertunang dengan dia.
"Lagipun, dalam tempoh kami bertunang ini, saya mahu dia mengenali Islam. Saya tidak mahu dia masuk Islam hanya kerana mahu berkahwin dengan saya.
"Sebaliknya, saya mahu dia betul-betul bersedia dan kenal Islam. Bila dia menyatakan kesediaannya untuk memeluk Islam, baharu kami akan membina masjid," katanya.
Menurut Cico lagi, dia juga tidak meletakkan sebarang tarikh untuk pernikahan sebaliknya mahu fokus kepada kerjaya seninya terlebih dahulu.
"Saya hanya merancang, tetapi tuhan yang menentukan. Saya pun tidak tahu adakah tunang yang sekarang ini merupakan jodoh sebenar saya kerana ia ketetapan yang hanya diketahui Allah.
"Tetapi buat masa ini, biarlah dia belajar dahulu. Saya pun tidak mahu memaksa dia berkahwin. Lagipun, masih banyak yang perlu dilakukan terutamanya dalam bidang seni.
"Selama 28 tahun berada dalam industri seni, tetapi di mana kedudukan saya di atas pentas lakonan?. Perjalanan masih jauh dan saya perlu teruskan untuk mendapat hasil yang terbaik," jelasnya.
Ibu beri sokongan
Selepas menyatakan kesediaannya untuk beralih ke jalan yang lebih dirahmati, ada mulut-mulut yang cuba mempertikaikan dan sengaja mengungkap kembali kisah-kisah silamnya.
Bagi Cico, dia tidak mahu perkara-perkara itu terus membelenggu dirinya, sebaliknya lebih selesa untuk menganggap ia sebagai satu dugaan daripada tuhan.
"Sifat manusia tidak pernah puas hati. Saya berubah pun bukan untuk mencari publisiti, tetapi untuk diri saya dan keluarga sendiri. Menjadi yang lebih baik daripada dahulu.
"Alhamdulillah, di sebalik kisah silam saya, peminat tidak pernah berputus asa dan masih memberi sokongan kepada saya.
"Tetapi, ada juga yang marah. Tapi marah mereka tidaklah sampai terus membenci, sebaliknya mereka memberi nasihat kepada saya dan secara peribadinya, saya sangat berterima kasih," jelasnya.
Tambah Cico, antara orang yang paling banyak memberinya semangat untuk berubah adalah ibunya, Uji Rashid yang banyak berkongsi pengalaman bersama dengannya.
"Saya sebelum ini sudah berkahwin dan bercerai lebih kurang tiga tahun, tetapi mak saya yang lebih banyak makan garam terutamanya dalam industri.
"Bagi saya, apa yang dilalui kini sebenarnya jauh lebih kecil berbanding apa yang dilalui oleh ibu. Banyak kali saya jatuh dan dia menasihat saya.
"Tidak dinafikan sokongan keluarga banyak membantu saya. Lagipun anak saya, kini sudah berusia lima tahun
dan berapa kali jatuh pun, saya kena bangun juga demi membesarkan anak," jelasnya.
Jelas lelaki ini lagi, dia mengakui kesilapan dirinya sebelum ini tetapi tidak terlintas langsung dihatinya untuk menyembunyikan perkara itu daripada umum.
"Saya pernah muda, saya pernah bodoh dan itu adalah kehidupan. Saya mengakui pernah silap dan tidak ada sebab untuk saya menyembunyikan kesilapan lampau," jelasnya.
Mengulas mengenai rakan-rakannya, jelas Cico, selepas membuat keputusan untuk berhijrah, dia tidak pernah membuat keputusan untuk membuang rakan-rakannya.
"Saya masih macam dulu, berkawan dengan pelbagai jenis orang. Tetapi, kebanyakan rakan yang dulu seperti saya memberi sokongan moral yang baik.
"Malah, rakan-rakan bukan Islam pun ada yang bertanya kepada saya kenapa saya buat keputusan untuk berhijrah selepas melakukan perkara yang tidak elok sebelum ini.
"Saya beritahu mereka, saya berhijrah untuk tuhan dan mereka tidak menghentam. Sebaliknya memuji dan memberi sokongan. Itu yang menguatkan lagi semangat saya untuk menuju ke arah yang lebih baik," ujarnya.
Jaga perlakuan, aurat
Perubahan sebagai seorang yang lebih dekat dengan tuhan, ada yang berpendapat ia membataskan seseorang pelakon itu untuk mewarnai wataknya.
Apatah lagi dengan Cico yang selama ini sering kali diberikan watak gangster yang sentiasa dikelilingi dengan adegan minum arak dan pergaulan bebas antara wanita.
Bagi Cico, dia tetap menerima watak-watak yang sering dibawakan sebelum ini tetapi menggunakan kaedah lakonan untuk mengelakkan dirinya melakukan perkara yang dilarang Islam ketika berlakon.
"Mahu membawakan watak gengster atau jahat, tidak semestinya kena buka aurat, kena minum arak atau peluk perempuan.
"Adegan seperti itu memang sesuatu yang klise. Saya akan gunakan ilmu lakonan untuk tidak menyentuh perkara-perkara sebegini.
"Contohnya bab menyentuh atau berpelukan dengan wanita. Sebagai seorang gengster, saya akan jadi seorang yang gengster terhadap lelaki dan wanita. Jadi, ia akan mengelak saya daripada bersentuhan sekali gus membentuk watak tersendiri dalam lakonan saya," katanya.
Tambah Cico, dia juga melihat lakonannya sebagai salah satu cabang untuk dia meneruskan sebaran dalam bidang dakwah dan menyeru kebaikan.
"Bila ustaz contohnya memberi tahu bahawa pembunuh itu jahat, hanya beberapa orang sahaja yang tahu. Tetapi, melalui lakonan, ribuan orang menonton saya membawa watak pembunuh.
"Sampai satu masa mereka melihat kekejaman saya dalam lakonan itu membuatkan mereka benci kepada pembunuh dan mengelak untuk berbuat perkara yang tidak baik," katanya.
0 comments:
Post a Comment