Loading...
Monday, January 27, 2014

Belum nak kawin lagi

BERSTATUS janda bukanlah sesuatu yang dimahukan semua wanita, apatah lagi apabila bergelar selebriti. Ini kerana menjadi figura umum, segala tindak-tanduk akan diperhatikan oleh peminat yang mengikuti kisah artis pujaan mereka.
Bagi Ana Dahlia, 31 atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, menempuhi episod duka apabila gagal dalam rumah tangga bukanlah satu jalan yang dipilihnya. Tetapi ia adalah takdir yang telah tertulis untuk dirinya. Justeru, dia reda dengan ketentuan tersebut.
Tidak mahu berbicara lebih panjang mengenai kegagalan yang pernah berkali-kali ditempuhinya Ana tidak berasa sunyi biarpun ketiadaan individu lelaki bergelar suami di sisinya.
"Saya lebih selesa dengan keadaan diri sekarang. Jadual saya dipenuhi dengan aktiviti lakonan dan ia sedikit sebanyak membuatkan saya rasa tidak bosan mahupun bersendirian.
"Saya sering ditemani dengan rakan-rakan artis dan jika tidak berlakon, saya akan luangkan masa keluar bersama teman-teman atau lepak di rumah menonton rancangan kesukaan saya.
"Saya belum terfikir lagi untuk mencari pasangan hidup. Belum bersedia lagi untuk berumah tangga. Saya perlukan persiapan dan persediaan secukupnya jika mahu ke arah itu. Bukan tidak ada yang berkenan, cuma saya tidak mahu terburu-buru," katanya yang tersenarai sebagai calon lima teratas Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 2013 yang diumumkan baru-baru ini.
Ada lelaki yang mahu
Lantaran wajah jelita dengan bentuk tubuhnya yang masih seakan anak dara, tidak dinafikan terdapat ramai lelaki yang cuba merapati dirinya untuk berkenalan.Kata Ana, ada di kalangan lelaki itu yang dikenalinya dalam bidang seni, selain orang di luar ruang lingkup hiburan tempatan. Tidak kurang juga ada juga jejaka yang baharu dikenalinya.
"Namun begitu, jika tertulis jodoh saya dalam masa terdekat, saya tidak menolak ketentuan Ilahi. Saya insan biasa, mempunyai perasaan dan sama sekali tidak pernah serik untuk mendirikan semula rumah tangga. Begitu berharap agar mendapat suami yang soleh, membimbing saya dalam hal agama dan sebagainya.
"Kegagalan sebelum ini akan dijadikan pengajaran dan membuatkan saya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan. Tetapi, seperti yang saya katakan tadi, saya lebih selesa berkawan dengan sesiapa sahaja yang mahu berkenalan dengan saya, tetapi bukan hingga ke tahap yang lebih serius. Saya mahu tumpukan terhadap tawaran berlakon yang telah saya terima sehingga April tahun ini.
"Saya tidak menolak mereka mentah-mentah, namun saya memberikan jawapan sebaik mungkin untuk menjaga hati banyak pihak," jelasnya.
Bagaimanapun, Ana berterima kasih terhadap keluarga yang sentiasa berada bersama dengannya walaupun ketika berada dalam kesusahan. Keluarga amat memahami keadaan dirinya dalam apa juga keadaan, baik dalam susah mahupun senang.
Mahu cuba mengacara
Tidak cukup dengan rezeki lakonan yang diterimanya, Ana juga memasang cita-cita pada tahun ini untuk mencuba cabang seni yang agak asing dengan dirinya iaitu bidang pengacaraan.
Mengimpikan sebuah program santai atau travelogue, Ana sebenarnya sudah lama berhasrat untuk bergelar pengacara, cuma peluang tidak lagi terbentang di hadapan matanya.
"Jika ada peluang ke arah itu, saya berjanji tidak akan melepaskannya kerana pengacaraan adalah satu bidang seni yang turut saya minat sejak kecil lagi.
"Memandangkan saya adalah bekas pramugari, jadi program berbentuk travelogue atau percutian adalah sesuatu yang sangat dekat dengan diri dan saya akan buat yang terbaik seandainya diberi kepercayaan untuk menggalasnya."
Drama dan gameshow

Telah memulakan penggambaran drama bersiri Janji Jaslina yang bakal disiarkan sebuah stesen televisyen swasta tidak lama lagi, Ana bersyukur kerana rezekinya untuk terus berlakon tidak putus.
"Bergandingan dengan dua pelakon hebat, Elly Mazlein dan Eira Syazira, bagi saya ini adalah platform yang bagus untuk mengembangkan karier lakonan di samping dua pelakon wanita yang mempunyai pengaruh yang tersendiri itu," katanya.
Selain peluang berlakon, Ana turut menerima tawaran untuk menjayakan sebuah program gameshow dan akan memulakan penggambaran sejurus dramanya tamat kelak.
"Saya gembira kerana tawaran berlakon diterima daripada syarikat produksi yang berbeza. Ia sekali gus meluaskan portfolio saya selain dapat bekerja dengan kumpulan baharu. Ia lebih mencabar dan tidak bosan. Saya berharap, dapat menunjukkan kredibiliti saya dengan beberapa pengarah yang berpengalaman dan mempunyai bakat luar biasa pula selepas ini," jelasnya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP