Loading...
Monday, January 13, 2014

12 Years a Slave, American Hustle ungguli Golden Globe

Matthew McConaughey ketepikan Tom Hanks, Robert Redford julang trofi Pelakon Lelaki Terbaik 

Bagai dijangka, filem sejarah, 12 Years a Slave, yang bersandarkan kisah benar mengenai perhambaan di Washington DC diumumkan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Golden Globe 2014, semalam. 

Filem arahan Steve McQueen yang diangkat daripada autobiografi Solomon Northup itu mengetepikan pencabar terdekat, American Hustle, yang turut disebut-sebut mempunyai peluang sama rata. 


“Saya agak terkejut, tidak sangka kami menang. Apa pun, tanpanya, tidak mungkin filem ini dapat direalisasikan,” kata McQueen merujuk kepada penerbit bersama merangkap pelakon pembantu filem berkenaan, Brad Pitt. 

Bagaimanapun, sutradara British itu terpaksa mengalah kepada rakan seperjuangan berbangsa Mexico, Alfonso Cuaron, yang meraih gelaran Pengarah Terbaik menerusi filem fiksyen sains mengenai angkasawan yang terkandas di angkasa. 

American Hustle yang menerima tujuh pencalonan, sama seperti 12 Years a Slave, boleh berbangga apabila memenangi Filem Terbaik Komedi/Muzikal seterusnya membolot trofi Aktres Terbaik dan Aktres Pembantu Terbaik, masing-masing menerusi Amy Adams dan Jennifer Lawrence. 

Pemenang lain bagi kategori filem ialah Matthew McConaughey yang menyerlah dalam Dallas Buyers Club untuk merangkul trofi Aktor Terbaik, selain bintang kelahiran Australia selaku penerima trofi Aktres Terbaik, Cate Blanch, menerusi Blue Jasmine. 
Impak watak penghidap AIDS 

Sudah pasti ia kemenangan manis untuk Matthew dan pelakon pembantunya, Jared Leto, yang meraih trofi pertama Golden Globe, malah difahamkan nama mereka antara yang disebut-sebut mampu membawa pulang Oscar melihatkan penampilan dalam filem berkisar penghidap AIDS itu. 

McConaughey tentunya mampu berbangga apabila menewaskan calon lebih berpengalaman, Tom Hanks (menerusi filem Captain Phillips) dan Robert Redford (All is Lost). 

“Saya cukup gembira kerana berjaya pada kali ini. Apatah lagi dalam tempoh 20 tahun, saya pernah ditolak sebanyak 86 kali,” katanya. 

Penerima gelaran Aktor Terbaik kategori komedi/muzikal, Leonardo DiCaprio, yang sedari awal memancing perhatian kerana filem kontroversi, The Wolf of A Wall Street, sempat berjenaka dan tidak menjangka menang anugerah bagi kategori berkenaan. 

Begitupun, beliau memuji pengarah yang sudah lima kali bekerjasama dengannya, Martin Scorsese, yang dianggap sebagai mentor, selain tidak melupakan pesaing lain termasuk Christian Bale. 

Monopoli Breaking Bad 

Sementara itu, bagi kategori Drama TV pula menyaksikan penguasaan Breaking Bad yang mengungguli trofi Siri Televisyen Terbaik. 

Kisah mengenai seorang guru kimia yang berubah menjadi pengedar dadah turut membawa tuah buat pelakon utamanya, Bryan Cranston, apabila dipilih sebagai Aktor Terbaik. Pernah dicalonkan lima kali pada majlis sama, inilah kejayaan sulung yang dikecapi Cranston. 

Diilhamkan Vince Gilligan, siri yang pernah mencipta rekod meraih tontonan tertinggi akhirnya mendapat pengiktirafan penganjur walaupun sudah berulang kali membolot trofi daripada majlis pengiktirafan besar lain termasuk Emmy. 

Pemenang kategori drama tahun lalu, Homeland, gagal meraih sebarang trofi tahun ini, begitu juga beberapa siri popular seperti Downton Abbey dan The Good Wife. 

Calon pilihan Oscar? 

Sepanjang tiga jam disiarkan secara langsung menerusi saluran NBC, dua pengacara yang sememangnya menjadi tarikan, Tina Fey dan Amy Poehler, menghidupkan majlis dengan jenaka bersahaja mereka. 

Melihat semula senarai pemenang Golden Globe yang kebiasaannya mempunyai peluang cerah membawa pulang Oscar, adakah mereka yang menyerlah pada acara ini mampu meneruskan kecemerlangan? 

Apa pun selepas ini kita tunggu pula majlis penganugerahan terbesar dalam industri seni Hollywood, Anugerah Academy kali ke-86, yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac ini, manakala senarai calon akhir diumumkan 16 Januari. 

INFO: Senarai pemenang Anugerah Golden Globe 2014 

Kategori Filem 
Filem Terbaik (Drama): 12 Years A Slave 
Filem Terbaik (Muzikal/Komedi): American Hustle 
Pengarah Terbaik: Alfonso Cuaron (Gravity) 
Aktres Terbaik (Drama): Cate Blanch (Blue Jasmine) 
Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi): Amy Adams (American Hustle) 
Aktor Terbaik (Drama): Matthew McConaughey (Dallas Buyers Club) 
Aktor Terbaik (Muzikal/ Komedi): Leonardo DiCaprio (The Wolf of Wall Street) 
Aktres Pembantu Terbaik: Jennifer Lawrence (American Hustle) 
Aktor Pembantu Terbaik: Jared Leto (Dallas Buyers Club) 
Lakon Layar Terbaik: Spike Jonze (Her) 
Skor Asli Terbaik: Alex Ebert (All Is Lost) 
Lagu Terbaik: Ordinary Love (U2) (Mandela: Long Walk to Freedom) 
Filem Animasi Terbaik: Frozen 
Anugerah Cecil B DeMille: Woody Allen 

Kategori TV 
Siri Televisyen Terbaik (Drama): Breaking Bad 
Siri Televisyen Terbaik (Komedi/ Muzikal): Brooklyn 99 
Aktres Terbaik Siri Televisyen (Drama): Robin Wright (House of Cards) 
Aktor Terbaik Siri Televisyen (Drama): Bryan Cranston (Breaking Bad) 
Aktres Terbaik Siri Televisyen (Komedi/Muzikal): Amy Poehler (Parks & Recreation) 
Aktor Terbaik Siri Televisyen (Komedi/ Muzikal): Andy Samberg (Brooklyn 99) 
Siri Pendek Terbaik/Telefilem: Behind the Candelabra 
Aktres Terbaik Siri Pendek/Telefilem: Elisabeth Moss (Top of the Lake) 
Aktor Terbaik Siri Pendek/Telefilem: Michael Douglas (Behind the Candelabra) 
Aktres Pembantu Terbaik Siri/Siri Pendek/Telefilem: Jacqueline Bisset (Dancing on the Edge) 
Aktor Pembantu Terbaik Siri/Siri Pendek/Telefilem: Jon Voight (Ray Donovan)

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP