Loading...
Wednesday, January 15, 2014

Raja Azura dah 5 tahun menjanda

Sudah lima tahun memegang gelaran ibu tunggal sejak berpisah dengan Adzmin Osman pada 28 September 2010, namun Raja Azura masih betah bersendirian.
Hidupnya kini tenang bersama tiga anaknya yang semakin membesar iaitu Megat Muhammad Raziq, 12; Megat Luqman Hakim, 11, dan Puteri Mia Maizurah, 9. Fokusnya kini untuk membesar dan membahagiakan mereka
Berkongsi pengalamannya, Raja Azura, 42, yang ditemui baru-baru ini berkata, sesibuk manapun tugasnya sebagai penyampai SinarFM yang memerlukan berada di konti seawal jam 6 pagi, dia tetap meluangkan masa dan menyediakan keperluan mereka sebaik mungkin. 

“Saya manfaatkan cuti sebanyak 21 hari setahun hanya untuk anak-anak. Macam cuti sekolah baru-

baru ini, saya bawa mereka bercuti ke Disneyland Hong Kong dan mereka seronok dengan pengalaman yang dilalui. Ini memang rutin yang dibuat setiap tahun.

“Seboleh mungkin saya akan siapkan keperluan anak-anak kerana tak nak mereka rasa terpinggir. Setiap Jumaat atau Sabtu saya pergi pasar untuk beli barang-barang basah. Saya masak dan kemudian sejukkan dalam peti ais. Selepas itu pembantu rumah akan panaskan untuk mereka,” katanya.

Turut menyertai percutian ini ialah bekas suaminya dan bagi Raja Azura tiada salahnya Adzmin ikut sama demi kebahagiaan anak-anak mereka berdua. 

“Selain kami berlima, ramai lagi kaum keluarga yang turut serta. Saya mengaku hingga kini anak-anak belum tahu kisah sebenar kami berdua. Apatah lagi ketika bersama dulu Adzmin kerap bekerja di luar kawasan. Jadi, apabila dia tiada di rumah sekarang, mereka tetap anggap dia keluar bekerja. 

“Sekiranya ada perjumpaan Aidilfitri keluarga kedua-dua belah pihak, kami tetap muncul bersama. Biarpun bercerai kami tetap jadi kawan baik. Sebarang perkara membabitkan anak-anak memang tiada masalah buat kami. Saya belum bersedia untuk dedahkan perkara ini kepada anak-anak kerana nak pastikan mereka betul-betul matang. 

“Mereka memang tak tahu kerana saya tak benarkan mereka baca akhbar dan majalah hiburan. Malah akses internet juga dibenarkan untuk perkara-perkara tertentu saja,” katanya jujur. 

Raja Azura berkata, Adzmin juga masih solo dan sekiranya bekas suaminya ingin mencari pasangan baru, dia tidak menghalang. 

“Semua orang ada hak untuk disayangi dan menyayangi. Perasaan saya biasa saja dan saya terima keputusan­nya,” katanya. 

Sememangnya, tugas sebagai penyampai radio serta pengacara beberapa program lain seperti Primadona membuatkan Raja Azura tidak mempunyai banyak masa termasuk kurang tidur. Namun dia akan mencuri masa mengambil sendiri anak-anaknya di sekolah jika berkesempatan. 

“Saya nak mereka gembira dengan apa yang dilalui. Setiap Jumaat mereka akan belajar silat kerana saya nak terapkan seni pertahanan tradisional ini dalam diri mereka. Ia bukanlah bertujuan untuk mereka tunjuk lagak. Pada Sabtu pula mereka akan belajar muzik. 

“Dua anak lelaki mereka akan bermain gitar, manakala yang bongsu akan main piano. Saya tengok mereka langsung tak letih walaupun aktivitinya padat. Bahkan mereka turut aktif dalam sukan,” katanya. 


<>b>Kembali berlakon selepas 20 tahun 

Dalam pada itu, artis yang mesra dengan panggilan Kak Engku ini akan membintangi teater Bidasari yang akan menemui penonton di Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 hingga 17 Februari nanti. 

Teater menampilkan ramai pelakon popular antaranya Datuk Jalaluddin Hassan, Radhi Khalid dan Ebby Yus yang diadaptasi daripada filem Bidasari ini akan diarahkan oleh Lokman Ghani. 

“Diikutkan sudah hampir 20 tahun saya tak berlakon drama, manakala teater pula sekitar tujuh tahun selepas berlakon teater muzikal kanak-kanak Sinbad pada 2008. Cerita ini disiarkan sempena cuti sekolah dan sasaran penontonnya ialah kanak-kanak. 

“Sekali lagi saya terbabit de­ngan cerita untuk golongan ini. Saya tak kekok dengan teater kerana ia sudah jadi darah daging saya. Kalau ikut jadual, sememangnya saya tak mampu untuk berlakon. Sebenar­nya tawaran ini datang apabila saya hadir menonton teater Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang, Supermokh Sebuah Muzikal dan Bahayanya Wanita di IB. 

“Apabila bertemu dengan abang Joe (Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani), dia kata nak ambil saya untuk teater ini, lalu saya minta diberikan 
jadual awal-awal. Bagaimanapun dia kata pementasan tak jadi. 

Tapi secara tiba-tiba dia bawa khabar gembira memberitahu teater ini akan dipentaskan pula,” katanya. 

Dia yang akan membawakan watak Permaisuri Laila Sari, mengakui agak cemas seketika kerana tarikh yang sama bertembung dengan rakaman program Primadona. Namun selepas perbinca­ngan, produksi itu sedia bertolak ansur memberikan kelonggaran buatnya. 

“Teater ini ada menyelitkan silat dan saya memang sukakan unsur-unsur ini. Saya pun sukakan watak yang ekstrim dan mencabar. Melihat pada tajuknya saya 
sudah boleh membayangkan bagaimana nak bawakan watak ini. Tambah lagi saya peminat filem-filem Melayu era Studio Jalan Ampas. 

“Bahkan minat itu diterjemahkan menerusi watak Mak Banang dalam Sinar,” katanya yang pernah popular dengan siri Pendekar pada pertengahan 1990-an.

1 comments:

 
Toggle Footer
TOP