Loading...
Wednesday, January 15, 2014

Shila Amzah: 5juta bukan dapat bersih!

FIGURA ini tetap tabah walaupun dilanda pelbagai kontroversi.


BARU-BARU ini, nama penyanyi yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, Shila Amzah, 24, telah disenaraikan oleh sebuah akhbar sebagai antara lima selebriti wanita Malaysia yang menerima pendapatan melebihi RM1 juta sepanjang tahun 2013.
Menurut laporan tersebut, Shila dikatakan menerima pendapatan berjumlah RM2.5 juta hasil daripada perjanjian kontrak syarikat rakamannya di Shanghai, China, royalti daripada penjualan album dan lagu, serta bayaran sebagai duta produk kecantikan.
Bagaimanapun, ketika ditemui di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, Selangor semalam, Shila yang ditemani ibunya, Fauziah Sarman berkata, jumlah tersebut ternyata terlalu tinggi dan tidak masuk akal.
“Saya akui, selepas memenangi pertandingan nyanyi Asian Wave dua tahun lalu, saya telah diberikan dana sebanyak RM5 juta oleh Shanghai Media Group (SMG) bagi memulakan karier nyanyian di sana.
“Bagaimanapun, dana tersebut tidak dikira sebagai pendapatan ataupun aset kerana ia digunakan untuk membiayai setiap kos yang diperlukan untuk penghasilan album dan lagu saya,” kata Shila yang menerima bayaran di Shanghai bukan secara kontrak tetapi mengikut jumlah projek yang dijayakannya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Patah Seribu ini turut berkongsi, dia ada menerima tawaran untuk berlakon drama dan filem oleh pihak SMG tetapi terpaksa ditolak atas sebab ingin mengukuhkan jajahan muziknya di sana terlebih dulu.
“Saya ada menerima beberapa tawaran tetapi biarlah orang di sana mengenali saya sebagai penyanyi. Lagipun, saya harus memantapkan penguasaan bahasa Cina sebelum merancang sesuatu yang lebih besar,” katanya yang baru-baru ini terlibat dalam sebuah lagi pertandingan nyanyian Sing for China yang berlangsung di Beijing bulan lalu.
Facebook palsu
Selepas berjaya menempa nama di China, anak gadis kepada penyanyi N.D Lala ini dilihat begitu sibuk memburu impiannya di peringkat antarabangsa. Namun, sebagai seorang penyanyi yang sedang meningkat naik, tuan empunya diri tidak pernah terlepas dihambat kisah-kisah negatif dan kontroversi.
Terkini, Shila yang baru sahaja pulang menjayakan konsert tahun baharu di China terpaksa berhadapan dengan individu yang menyamar sebagai dirinya dan memuat naik kemas kini palsu di laman sosial Facebook.
Individu itu bertindak menggunakan gambarnya yang sedang berpakaian pengantin dengan kapsyen: “I’m married”. Tidak mahu namanya terus dipergunakan, Shila meminta agar pemilik akaun tersebut berhenti daripada mengemaskini status terkini tentangnya dengan menggunakan gambar-gambar daripada Instagram dan Twitter.
“Saya mengetahui tentang profil palsu yang menggunakan nama saya beberapa bulan yang lalu. Tetapi, kesabaran saya sampai ke kemuncak apabila dia menggunakan gambar saya berpakaian pengantin sambil mengaku bahawa saya sudah berkahwin.
“Padahal, saya menyarungkan pakaian itu sewaktu menjayakan segmen duet dengan James Morris-Cotterill menerusi konsert tahun baharu yang berlangsung bulan lepas.
“Bukan itu sahaja, pemilik akaun itu turut memuat naik berita-berita gosip artis lain yang tidak ada kena mengena dengan saya. Justeru, saya berharap agar individu itu tidak terus menggunakan nama saya untuk kepentingan diri sendiri,” katanya yang menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan dan peguam untuk tindakan selanjutnya.
Elak cinta
Hubungan cinta penyanyi ini sering menjadi bahan bualan para peminatnya. Selepas beberapa kali terkandas dalam memadu kasih, Shila sekali lagi dikaitkan dengan seorang pelakon baharu yang dikenali sebagai Aman Nassim.
Ternyata terkejut dengan dakwaan itu, Shila berkata, dia langsung tidak mengetahui tentang cerita itu dan hanya menganggap Aman sebagai kawan biasa sahaja.
“Saya mengganggap dia sebagai kawan biasa sahaja. Saya juga turut berkawan dengan pelakon-pelakon lain seperti Azhan Rani, Beto Khusyairi dan Zahiril Adzim. Saya pun kurang pasti bagaimana gosip ini boleh tercetus,” katanya.
Shila menegaskan, dia kini mahu memberi sepenuh perhatian terhadap kerjaya nyanyiannya sebelum memikirkan tentang cinta.
“Biarlah saya mengembangkan kerjaya saya sebelum memikirkan soal jodoh. Tetapi, jika ditakdirkan Tuhan dan ditemukan dengan seseorang pada masa akan datang, saya berharap agar lelaki itu mampu menjadi teman hidup yang terbaik untuk saya,” katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP