MENJADI satu perkara biasa bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga, perkara paling utama yang diimpikan pastinya ingin memiliki anak memandangkan ia merupakan anugerah yang tidak ternilai.
Namun begitu, tidak semua pasangan yang berkahwin mempunyai pemikiran yang sama. Bagi penyanyi Suki Low Sook Yee, 24, untuk mempunyai cahaya mata sendiri sebenarnya masih belum ada dalam perancangannya bersama suami, Jeremy Chong.
Alasan Suki yang berkahwin pada 12.12.12 yang lalu, dia ingin fokus kepada kerjaya terlebih dulu.
Berkesempatan bertemu dengan penyanyi kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, ternyata dia sudah dapat menghidu persoalan yang bakal diajukan kepadanya.
Hadir bersama suami tercinta dalam sebuah majlis pada minggu lalu, Suki hanya ketawa apabila diajukan pertanyaan mengenai anak.
"Saya memang dapat jangka ini merupakan soalan yang ingin ditanyakan kepada saya. Tidak dinafikan sudah ramai yang bertanya mengenai perkara ini memandangkan sudah agak lama saya berkahwin.
"Bagaimanapun, apa yang boleh saya jelaskan buat masa sekarang saya masih lagi tidak bersedia mempunyai anak kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama suami serta karier," tuturnya.
Tidak kisah untuk menceritakan lebih lanjut berkenaan cahaya mata, Suki menyatakan, sebagai seorang isteri dia memang ingin memiliki zuriat sendiri. Cuma, ketika ini dia beranggapan ia belum masa yang yang sesuai lagi buat dia dan suami.
Mengakui dia dan suami sebenarnya sudah mempunyai perancangan tersendiri berkenaan hal tersebut, Suki mendedahkan, mereka sudah berbincang dan sepakat untuk memperoleh anak dalam tempoh tiga tahun lagi.
"Hasil perbincangan saya dan suami, kami mengambil keputusan memiliki anak sendiri dalam tempoh tiga tahun lagi. Semua ini dilakukan agar memastikan saya dapat terus fokus dengan karier nyanyian yang semakin berkembang sekarang.
"Sekiranya ditakdirkan mendapat cahaya mata nanti, mungkin saya akan berehat seketika daripada dunia nyanyian sama ada satu atau dua tahun. Selepas itu, barulah saya akan kembali semula menyanyi," jelasnya mengenai perancangan yang ingin dilakukannya itu.
Dalam pada itu, penyanyi tersebut meluahkan rasa gembiranya terhadap perkembangan kerjayanya sebagai artis sepanjang lapan tahun lantaran sokongan yang diberikan peminat selama ini.
Menurut Suki, pembabitannya dalam dunia nyanyian dengan merakamkan lagu-lagu berbahasa Melayu ternyata membuahkan hasil dan kebanyakan lagu nyanyiannya mendapat sambutan yang baik.
"Ketika ini saya sedang sibuk mempromosikan single berjudul Untuk Kamu yang kini selalu disiarkan di stesen-stesen radio, malah maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan.
"Berkenaan dengan album pula, secara jujurnya saya lebih selesa menghasilkan single sahaja sekarang. Mungkin kalau sudah banyak single yang saya hasilkan, barulah ia akan dikumpulkan untuk dijadikan album," ujarnya.
Jelasnya, sebagai seorang penyanyi berketurunan Cina, dia juga mengimpikan untuk merakamkan lagu-lagu berbahasa Mandarin dan ia merupakan salah satu perkara yang menjadi perancangannya pada masa akan datang.
Kecewa
Lumrah menjadi anak seni, impian mengembangkan lagi karier nyanyian sehingga ke peringkat antarabangsa, bukan perkara mustahil. Namun hal itu tergendala bagi Suki apabila bekas syarikat rakamannya, Galaxy Music Sdn. Bhd. tidak memenuhi tuntutan kontrak yang telah mereka persetujui.
Antara isi kontrak tersebut ialah memasarkan diri dan produknya ke pasaran China, Taiwan dan Hong Kong tidak dilaksana.
Apabila kontroversi dengan bekas syarikat tersebut diheret sehingga ke mahkamah, akhirnya nasib lebih memihak kepada dirinya apabila Galaxy Music diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM367,575 kepada penyanyi berkenaan pada tahun 2012.
Sewaktu ditanya sama ada syarikat itu sudah membayar jumlah ganti rugi seperti yang diarahkan mahkamah, Suki dengan nada kecewa menyatakan, dia masih belum mendapat sebarang bayaran sehingga kini.
"Ia sesuatu yang sangat mengecewakan memandangkan keputusan telah memihak kepada saya sebelum ini. Lagipun, saya tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan syarikat berkenaan sudah ditutup.
"Saya tidak pasti untuk terus membawa kes ini ke mahkamah semula atau sebaliknya dan seboleh-bolehnya tidak mahu perkara sebegini akan menjejaskan tumpuan terhadap karier saya pula," ujarnya.
Walaupun syarikat berkenaan kini sudah berkubur, Suki menyatakan hasratnya untuk terus melebarkan sayap ke luar negara tidak pernah terhenti dan berharap impiannya untuk mengembangkan kariernya di China, Taiwan dan Hong Kong akan direalisasikan.
Tahun Baru Cina
Sempena dengan kehadiran Tahun Baru Cina yang akan hadir tidak lama lagi, Suki turut ditanya tentang persiapan bersama suami serta sambutan mereka yang jatuh pada tahun kuda.
Jelas Suki, persiapan yang dilakukan hanya sederhana dan pada tahun ini mereka akan menyambutnya di kampung kelahirannya di Seremban, Negeri Sembilan.
"Berkemungkinan besar kami akan pulang ke kampung saya satu atau dua hari sebelum Tahun Baru Cina dan akan menyambutnya bersama ahli keluarga yang lain selama empat hari sebelum pulang ke Kuala Lumpur semula.
"Sebelum ini, kami akan meraikannya di rumah keluarga suami di Pulau Pinang, tetapi kali ini mereka tidak menyambut Tahun Baru Cina memandangkan salah seorang ahli keluarga terdekat mereka telah meninggal dunia baru-baru ini," ujarnya.
Ujarnya, dia tidak dapat mengambil cuti dalam tempoh yang agak lama kerana terikat dengan komitmen kerja, termasuk bakal membuat persembahan sempena rumah terbuka Tahun Baru Cina peringkat nasional yang berlangsung di Taiping, Perak pada 8 Februari ini.
0 comments:
Post a Comment