Loading...
Wednesday, January 22, 2014

Jatt nak PR Malaysia

BERSAMA anak bongsunya, Allisya (kanan) dan isteri, Norimah Zaini (tengah) yang banyak memberi sokongan dalam kerjaya Jatt.
JATT tidak menafikan jarak sempadan antara Malaysia dan Singapura cuma dipisahkan oleh Tambak Johor yang tidak sampai 30 minit sahaja untuk diseberangi. Namun, bagi penyanyi kumpulan Black Dog Bone ini, jarak itu sebenarnya lebih dekat dalam kerjayanya sebagai anak seni.
Ini kerana, sepanjang terbabit dalam bidang nyanyian, negara ini banyak mengangkat namanya di mata para peminat. Jatt memang dikenali di Singapura tetapi tawaran menyanyi pula lebih banyak diperoleh di negara ini sejak dia mula menyanyi pada 1973 lagi.
Malah, menurut Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali sehingga kini pun dia masih menerima banyak undangan mengadakan persembahan pentas di negara ini. Justeru, penyanyi yang bersuara lantang ini menganggap Malaysia sudah seperti rumah keduanya sejak dari dulu lagi.
Namun, Jatt tidak berpuas hati setakat itu sahaja, jika boleh bapa kepada empat orang anak ini turut mengimpikan untuk terus menjadi warganegara Malaysia. Katanya, dengan cara itu ia akan lebih memudahkannya memenuhi banyak jemputan menyanyi di sini sejak akhir-akhir ini.
"Walaupun saya warganegara Singapura tetapi kerja saya lebih banyak di Malaysia. Saya boleh dikatakan mencari makan di sini. Sejak dari dulu saya terpaksa berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur untuk menyanyi. Apatah lagi, ini bukannya suatu perkara baharu.
"Saya telah lakukan ini sejak tahun 1973 lagi. Selama 41 tahun itulah saya berulang-alik sama ada dengan menaiki bas atau kapal terbang. Sebab itu, cukuplah setakat itu sahaja. Kalau boleh saya mahu menetap di Malaysia supaya urusan-urusan kerjaya saya lebih senang.

"Kawan-kawan saya ramai di Malaysia, malah anak bongsu saya Allisya juga tinggal di sini. Apabila semakin tua rasa penat jugalah kalau asyik berulang-alik dalam perjalanan sehingga lima jam seperti ini," katanya kepada Hits sewaktu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penyanyi berusia 58 tahun ini ditemui pada majlis pengumuman sempena persembahan kedua dan terbaharunya, One Night Only With Jatt yang akan diadakan di The Heritage Club, Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 28 Februari ini dari pukul 9 malam hingga 11 malam.
Persembahan anjuran Harith Mai Production itu mengenakan tiket RM70 dan Jatt akan menyanyikan 20 lagu terutama daripada album-album Black Dog Bone sambil diiringi kumpulan tempatan, NRG di kelab yang mampu memuatkan hampir 200 pengunjung.
Jelasnya tawaran menyanyi seperti itu sukar untuk dilepaskannya begitu sahaja. Ini kerana, dia pernah mengadakan persembahan di tempat yang sama Februari tahun lalu yang mana sambutannya amat baik sekali meskipun tampil secara solo tanpa Black Dog Bone.
"Walaupun saya menyanyi solo tetapi saya tetap menyanyikan lagu-lagu Black Dog Bone selain daripada album solo saya. Banyak lagu popular saya seperti bertajuk Sisa-Sisa Cinta yang masih diingati para peminat sampai sekarang yang akan saya nyanyikan malam itu nanti," ujarnya.
Menetap di Johor
Sebagai permulaan, bagi memudahkan kerjayanya dalam bidang nyanyian Jatt telah berpindah dari Singapura ke Johor sejak dua tahun lepas. Dia kini menetap bersama isteri hasil perkahwinan ketiganya, Norimah Zaini, 39, di sebuah kawasan perumahan elit di sekitar Nusajaya.
Dengan cara menetap di Johor ia secara tidak langsung akan lebih memudahkannya bergerak ke sana sini di negara ini dalam memenuhi tawaran menyanyi yang masih diterimanya sehingga kini. Tidak cukup dengan itu, Jatt turut merancang mahu membeli sebuah rumah di Johor.
"Buat masa ini, saya menyewa sebuah rumah di Nusajaya dengan sewa RM2,700 sebulan sejak dua tahun lepas. Sebelum ini saya tinggal di pangsapuri di Tampines, Singapura tetapi saya sudahpun jual dengan harga $500,000 dolar Singapura (RM1.5 juta).
"Kalau boleh saya mahu memiliki rumah sendiri dan sedang mencari rumah yang sesuai di sekitar Nusajaya. Saya sukakan kawasan di sekitar Nusajaya yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuklah aspek keselamatan dan ia lebih selesa berbanding di Singapura.
"Pada masa sama, saya juga akan memohon bukan sahaja sebagai taraf penduduk tetap tetapi kalau boleh sebagai warganegara Malaysia. Saya sanggup menggugurkan taraf kerakyatan Singapura semata-mata kerana ia akan lebih memudahkan saya cari makan di sini," katanya.
Jelas Jatt, sebelum ini dia pernah memohon untuk mendapatkan taraf penduduk tetap di negara ini tetapi sayangnya permohonannya itu telah ditolak. Namun, kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya yang mana sehingga kini masih berusaha bagi merealisasikan impiannya itu.
Selain menyanyi, Jatt yang juga merupakan pemain dram Black Dog Bone ini menambah, Malaysia bukan sahaja tempatnya mencari rezeki tetapi dia juga mempunyai banyak nostalgia pahit dan manis yang sukar untuk dilupakan buat selama-lamanya.
"Saya pernah menetap di Kuala Lumpur dari tahun 1994 sehingga 2000. Ketika itu, bekas isteri saya Sharifah Shahirah pernah menjadi penjamin dalam permohonan saya untuk mendapatkan taraf penduduk tetap. Sayangnya dua kali permohonan saya itu telah ditolak.
"Sehubungan itu, saya berharap pihak-pihak yang berwajib dan yang berkaitan seperti KDN (Kementerian Dalam Negeri) dapat membantu saya. Saya amat berbesar hati dan bersyukur kalau permohonan saya ini mendapat perhatian mereka selepas sekian lama.
"Walaupun anak-anak dan saudara-mara saya semuanya masih lagi tinggal di Singapura tetapi saya sanggup berpisah dengan mereka kerana tuntutan kerjaya. Malah, kalau ditakdirkan mati pun saya bangga kalau dapat mati di negara ini," ujarnya lagi dalam nada bersungguh-sungguh.
Hadir sama pada majlis pada persembahan yang akan dianjurkan bersama Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur itu ialah Pegawai Perhubungan Awam hotel itu, Farah Halim dan juga wakil Harith Mai Production, Lisa Faizal.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP