Loading...
Wednesday, January 22, 2014

Tidak diganggu lagi oleh pihak ketiga

Pelakon Shahrizal Jaszle bersyukur apabila hubungannya dengan tunang, Redzwani Puteri tidak lagi diganggu oleh pihak ketiga yang ingin melihat mereka berpisah.
Shahrizal atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin, 26, berkata, walaupun mengalami pelbagai rintangan termasuk ditangkap khalwat tahun lalu namun hubungan mereka semakin kukuh.
"Alhamdulillah, tiada lagi gangguan daripada orang ketiga yang hendak musnahkan hubungan kami dan semuanya berjalan dengan lancar.
"Malah hubungan dengan keluarga tunang juga kembali jernih tanpa sebarang masalah," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Jaya di sini, Selasa.
Pada sebutan kedua kes itu, mahkamah menolak permohonan representasi Shahrizal Jaszle yang difailkan pada 19 Disember 2013 untuk menggugurkan kes khalwatnya yang berlaku pada 16 Mei tahun lalu.

Walaupun hubungan Shahrizal dan Redzwani Puteri pernah dilanda badai namun cinta mereka semakin utuh.
Mahkamah menetapkan kes itu dibicarakan pada 8 April 2014.
Dalam kejadian 16 Mei 2013, Shahrizal dan pasangan khalwatnya Farah Nurizzati Salleh, telah ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Sebelum ini, pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan ekoran insiden itu tetapi disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu.
Shahrizal mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkhalwat ketika hadir pada sebutan kes pada 13 November tahun lalu.
Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia berhasrat untuk menamatkan zaman bujang dengan Redzwani Puteri pada tahun ini walaupun kes khalwatnya masih berlangsung di mahkamah.
Shahrizal berkata, dia tidak mahu menunggu sehingga kes itu selesai kerana dia sedar ia akan mengambil masa panjang untuk membersihkan kembali namanya yang tercalar.
"Insya-Allah saya bercadang untuk berkahwin pada tahun ini juga dan akan berbincang dengan keluarga kedua-dua belah pihak mengenai hasrat ini.
"Pada mulanya saya mahu berkahwin selepas kes ini berakhir tetapi saya tahu ia akan mengambil masa panjang untuk diselesaikan," ujarnya.
Jadual padat...Shahrizal sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri dan akan berangkat ke Sydney, Australia pada Mac depan.
Sementara itu, mengulas mengenai popularitinya yang semakin suram semenjak kes khalwat tersebut kecoh, Shahrizal menjelaskan dia selesa dengan situasi sekarang.
Malah dia juga lebih gemar bersikap 'low-profile' dan mahu memberi fokus kepada kariernya sebagai pelakon.
Dalam perkembangan lain, Shahrizal berkata, kerjaya seninya tidak terjejas ekoran kes tersebut malah jadualnya padat dengan pelbagai tawaran berlakon.
Malah dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri untuk slot Samarinda di TV3 sebelum berangkat ke Sydney, Australia untuk sebuah projek drama.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP