EMPAT hari berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri, hari ini dengan kuasa Allah dia kembali bernafas seperti biasa. Melihat keadaan ketika itu ada yang mengatakan pemuzik rock ini berada dalam keadaan kritikal tidak kurang juga ada yang menyebarkan khabar angin yang dia sudah meninggal dunia.
Bagaimanapun dalam keadaan itu tiada apa yang mampu mengembalikan senyumannya untuk mengetahui dia sentiasa dikelilingi kaum keluarga serta rakan terdekat. Menurut pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 53, (gambar) walaupun keadaannya kini tidaklah seperti dahulu, dia bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menikmati kehidupan.
"Apa yang saya ingat ketika tidak sedarkan diri adalah saya ralit mengejar kumbang yang ketika itu melekat di tubuh saya.
"Ketika sedar, perkara utama yang saya ingat adalah seperti berada di Jepun dan sesuatu yang menghairankan untuk melihat semua rakan-rakan berada di situ. Saya cuma tahu saya berada di Johor apabila melihat nombor plat kereta di luar hospital, yang bermula dari huruf "J". Mungkin ubat yang diberikan doktor terlalu kuat sehingga saya berada dalam keadaan tidak sedar sepenuhnya," kata Yazit ketika ditemui di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menjelaskan keadaan dirinya kini, menurut Yazit, jujurnya kesihatan diri masih dalam keadaan yang membimbangkan. Bagaimanapun buat masa ini dia masih menerima rawatan berterusan memandangkan mengalami masalah buah pinggang yang agak serius.
"Saya masih menerima rawatan dialisis seperti biasa, kalau mahu kata sihat itu tidaklah juga.
"Ada masanya sakit itu datang secara tiba-tiba. Buat masa ini antara masalah saya adalah kesukaran untuk tidur di waktu malam,"katanya.
Baru sahaja berpindah ke rumah baharu, menurut Yazit memandangkan tahap kesihatannya kini, keluarga terpaksa mencari rumah yang menggunakan lif.
"Dahulu saya duduk rumah pangsa juga, sebelum sakit dahulu tidak terasa seksa mahu menaiki tangga cuma baru-baru ini memang saya tidak larat.
"Sebab itu saya berpindah ke rumah sewa baharu, rumah yang ini ada lif, jadi tidaklah susah sangat,"katanya.
Masih aktif dengan dunia muzik walaupun terbatas kerana masalah kesihatan. Apapun, dia mempunyai cara lain untuk memastikan muzik kekal menjadi terapi diri. Percaya hanya muzik yang mampu memuaskan hatinya, menurut Yazit antara aktiviti wajib kini adalah untuk ke studio melihat rakan-rakannya yang lain berlatih.
"Kalau ikutkan memang saya tidak terdaya, tetapi susah sebenarnya mahu meninggalkan bidang ini memandangkan ia sudah sebati dengan saya.
"Doktor juga menyuruh saya terus terlibat dalam bidang ini memandangkan muzik mampu mengurangkan tekanan,"katanya.
Percaya kepada setiap kejadian Allah mempunyai hikmah tertentu, menurut Yazit sebagai manusia dia akan terus berusaha mencari penawar untuk penyakitnya ini. Bagaimanapun jika ditakdirkan dia terus diuji dengan penyakit ini sehingga ke akhir hayat, dia reda.
"Alhamdulillah dengan apa yang saya hadapi sekarang mendekatkan saya lagi dengan Allah. Mungkin dulu kita pernah tersasar, mungkin ini pemberian Allah untuk saya.
"Buat masa ini saya sedang mengumpul wang untuk meneruskan rawatan di Singapura yang berjumlah RM200,000. Sebab itu saya sedang berusaha dengan mengadakan klinik dram di sekolah serta pusat pengajian tinggi,"katanya.
0 comments:
Post a Comment