Loading...
Wednesday, January 22, 2014

Anak Menangis Didie Alias Mengandung

 Pelakon dan pelawak, Didie Alias mendedahkan anak lelakinya, Muhammad Daniel, 19, menangis apabila mendapat tahu dia sedang mengandung tiga bulan.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohammed Ali, 41, berkata, anaknya itu terlalu gembira kerana tidak menyangka akan mendapat seorang lagi adik.
"Saya pada mulanya tidak memberitahu dia tentang keadaan saya tetapi apabila dia pulang bercuti dari universiti, saya tutup matanya dan meletakkan tangannya di perut saya.
"Apabila mendapat tahu saya mengandung dia menangis kerana terlalu gembira kerana bakal mendapat adik," katanya kepada mStar Online.
Didie ditemui pada majlis pengumuman 'Top 5' Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) di Hotel Royale Chulan di sini, Rabu.
Pelakon itu turut dicalonkan menerusi kategori Artis Komedi Wanita Popular pada acara yang bakal berlangsung pada 6 April depan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang.
Dalam perkembangan sama, Didie berkata, Daniel berharap dia akan mendapat anak lelaki sebagai temannya pada masa hadapan.
Jelas Didie, dia tidak kisah tentang jantina anak tetapi mengharapkan kandungannya selamat tanpa sebarang masalah.
"Pada usia saya sekarang risikonya banyak dan saya perlu lebih berhati-hati agar tiada sebarang kejadian buruk berlaku.
"Bagaimanapun setakat ini semuanya berjalan lancar dan sentiasa mengikut arahan doktor," katanya.
Tambah Didie, anak-anak sangat mengambil berat keadaannya dan melarang dia melakukan kerja-kerja berat ketika mengandung.
Didie dan suaminya, Norisham Ismail berkahwin pada Mei 2009.
Pelakon sejak era 80-an itu sebelum ini pernah berkahwin dengan aktor, Ridzuan Hashim dan mempunyai lima orang hasil perkahwinan itu.
Sementara itu, Didie berkata, dia sangat bersyukur apabila sejak mengandung rezekinya melimpah ruah sehinggakan dia tidak sampai hati untuk menolak pelawaan pihak produksi.
Jelas Didie, dia akan tetap aktif berlakon namun akan hanya memilih watak-watak yang sesuai dengan keadaannya sekarang.
"Saya baru selesai menjalani dua penggambaran drama dan akan kembali berlakon dalam beberapa projek lagi.
"Paling menyeronokkan apabila penerbit dan pengarah terkenal, Khabir Bhatia menelefon saya untuk berlakon dalam drama arahannya.

"Saya cukup terharu kerana sudah lama mengimpikan untuk bekerja di bawah arahannya dan sudah tentu tidak akan menolak. Ini dinamakan rezeki anak," ujarnya

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP