Loading...
Tuesday, January 21, 2014

Man Kidal nak pecahkan gitar RM6000 di IB

SEBAGAI pemetik gitar, Man Kidal, 50, bukan sahaja terkenal dengan skil petikan gitarnya tetapi pada masa sama dia juga bijak mencuri perhatian para penonton dengan pelbagai gimik di setiap persembahan yang diadakan.
Pemilik nama sebenar Abdul Rahman Mahmood ini misalnya merancang mahu menghempas sambil memecahkan gitarnya pada Konsert The Next 2014 yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 21 Februari hingga 23 Februari ini.
Bapa kepada tiga orang anak dan tiga cucu ini berkata, gimik mahu memecahkan gitar itu akan dilakukan pada hari terakhir persembahan yang dianjurkan oleh syarikat produksi Hands Percussions.
"Saya akan mengadakan persembahan selama 30 minit dalam dua segmen. Gitar milik saya yang akan dipecahkan itu daripada jenama Fender yang harganya mencecah RM6,000. Saya tidak kisah kerana saya ada lebih 20 buah gitar di rumah dan ia tidak termasuk gitar akustik.
"Gimik ini sengaja saya lakukan bagi mencari kelainan pada persembahan kali ini. Walaupun cuma sebagai artis undangan, saya tetap akan memberikan gaya persembahan yang menarik pada konsert itu.

"Malah, ini adalah kali pertama saya memecahkan gitar sendiri di atas pentas. Saya harap gimik ini mampu untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan persembahan itu nanti," katanya penuh semangat kepada Hits semasa di temui di Istana Budaya baru-baru ini.
Man menceritakan gimik perancangannya itu dalam konsert The Next 2014 yang merupakan suatu persembahan berteraskan muzik dan seni tari yang kebanyakannya menggunakan instrumen gendang dan percussion.
Selain Man Kidal turut menjadi artis undangan ialah Sangpuy Katatepan Mavaliyw iaitu pemuzik tradisional dari Taiwan yang pernah memenangi anugerah Artis Terbaik Anugerah Golden Melody Pribumi Taiwan 2013.
Konsert The Next 2014 itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang mana ia telah dimasukkan ke dalam kalender sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Sementara itu, Pengarah Artistik Hands Percussion, Bernard Goh berkata, dia memilih Man Kidal sebagai artis undangan pada konsert berteraskan irama instrumental etnik itu kerana pengalaman serta populariti gitaris itu dalam industri muzik di negara ini.
"Saya sudah lama mengikuti perkembangan Man Kidal yang mana dia adalah salah seorang gitaris hebat di Malaysia. Dia juga seorang yang versatil dan bukan setakat boleh bermain muzik rock sahaja tetapi juga irama-irama etnik yang lain.
"Sebab itu, saya anggap dia sebagai pemuzik yang sesuai ditampilkan bagi memeriahkan lagi konsert ini. Konsert ini berkonsepkan etnik dan tradisional dengan menampilkan pelbagai elemen dan Man Kidal Mampu untuk mewarnai lagi petikan gitarnya nanti sebagai suatu daya penarik," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli pula berkata, dia dapat membayangkan keunikan konsert The Next 2014 itu berdasarkan pengalaman Hands Percussion dalam menganjurkan pelbagai persembahan mereka sebelum ini.
Kumpulan pemuzik gendang yang telah 15 tahun ditubuhkan itu contohnya, menampilkan pelbagai kelainan seperti dengan menyelitkan elemen-elemen muzik tradisional tempatan seperti randai dan gamelan pada persembahan mereka kelak.
"Saya anggap persembahan ini bertaraf antarabangsa dan ia mampu menarik ramai pelancong asing bagi menyaksikannya. Apatah lagi, persembahan ini diadakan dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.
"Sehubungan itu, saya telah memohon kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan agar memasukkan acara persembahan ini dalam kalender Tahun Melawat Malaysia 2014 di cawangan-cawangan pejabat Tourism Malaysia di seluruh dunia," jelasnya.
Tiket bagi menyaksikan persembahan The Next 2014 berharga dari RM39 hingga RM207. Persembahan pada 21 Februari ini akan diadakan pukul 8.30 malam, 22 Februari (3 petang dan 8.30 malam) dan 23 Februari (3 petang).

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP