MENGENAKAN baju kebaya hitam dengan mengoles gincu berwarna merah di bibir ketika hadir ke tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Kami Histeria di Cathay Cineplex Cineleisure Damansara, aktres Nur Fazura Samsudin atau Fazura mempunyai pesona dan aura yang tersendiri.
Memuji kecantikan baju kebaya yang membaluti tubuhnya, Fazura mengakui, dia membelinya di Jakarta, Indonesia.
"Saya beli baju ini di Jakarta. Murah sahaja harganya," tuturnya dengan ramah lalu bercerita pula mengenai baju kebaya yang disarungkan dan watak yang dimainkan dalam filem itu.
Sambil membetulkan kedudukan duduk tubuhnya agar semua media boleh mendengar butir bicaranya, Fazura memberitahu, dalam Kami Histeria dia membawa watak langsuir bernama Cik Lang.
Bukan langsuir biasa tetapi Cik Lang divisualkan sebagai langsuir jelita yang sentiasa mengenakan kebaya.
"Ini pertama kali saya melakonkan watak hantu. Pihak produksi mahu saya pakai kebaya dan saya rasa Cik Lang adalah langsuir yang seksi.
"Cabarannya pula, saya kena bercakap dalam loghat Kedah. Kena banyak praktis dan saya ambil masa dalam tiga hari," ungkap pelakon berasal dari Pekan, Pahang itu.
Menyambung bicara, Fazura juga berdepan dengan cabaran apabila perlu mengenakan teknik solekan lateks yang tebal untuk menggambarkan wajah Cik Lang dalam keadaan hodoh.
Selain proses solekan yang memakan masa selama empat jam itu, kongsi Fazura lagi, dia juga perlu melakukan aksi lagak ngeri seperti terbang tanpa menggunakan pelagak ngeri.
Harapannya, agar selepas Kami Histeria yang bakal ditayangkan pada 6 Februari depan di seluruh pawagam Malaysia, penerbit tidak lagi menawarkan kepadanya watak-watak perempuan cantik atau gedik kerana dia tidak mahu lagi berada dalam zon selesa.
"Dulu selalu dapat watak gedik dan cantik sahaja. Selepas ini saya harap dapat watak yang lebih mencabar.
"Saya tidak kisah membawa watak apa pun asalkan keluar dari zon selesa selama ini.
"Saya lebih selesa membawa watak tanpa sebarang solekan atau membuat dandanan rambut," jelasnya yang mengakui tahun 2014 merupakan tahun untuk dia lebih menonjol dalam bidang lakonan.
Deretan filem lakonannya sedang menanti untuk ditayangkan. Ujar Fazura, selepas Kami Histeria hasil garapan Rafidah Abdullah, dia juga akan berlakon sebuah lagi filem belum berjudul yang ditulis skrip dan lakon layarnya oleh Rafidah pada pertengahan tahun ini.
Jarang muncul di kaca TV dan juga layar perak, jika ada pun projek bersama Rafidah di bawah syarikat Lina Tan, Red Films, Fazura menolak tanggapan bahawa dia menjaga nilai eksklusif diri.
Sebaliknya akui Fazura, dia tidak mampu terikat dalam drama yang menjalani masa penggambaran lama sehingga lima bulan.
Ia disebabkan dirinya memiliki perniagaan butik pakaian bawah nama House of Doll yang perlu diusahakan.
"Saya tidak jaga eksklusif diri. Saya cuma tengok pada watak.
"Memang, saya biasa bekerja dengan Red Films. Rafidah sendiri beritahu saya, setiap kali tulis skrip, dia memikirkan saya.
"Mengenai butik House of Doll, dalam setahun butik itu diusahakan, saya try and error. Saya tak mahu over sale. Alhamdullilah, butik House of Doll ada pengikutnya," kongsi aktres berusia 31 tahun itu.
Pelik sebab merindui
Sekadar paling ke belakang menyingkap hubungan cinta Fazura, sekitar tahun 2004, reputasi Fazura sebagai pelakon pernah tercemar apabila dia didakwa oleh seorang wanita atas tuduhan mencederakannya di sebuah kelab kerana seorang lelaki yang merupakan teman lelakinya (kini bekas teman lelaki).
Namun begitu, reputasi Fazura kembali pulih apabila dia berjaya memenangi kes pendakwaan itu dan didapati tidak bersalah.
Selepas itu, Fazura dikatakan bercinta pula dengan seorang VVIP terkenal.
Putus cinta dengan VVIP itu, Fazura digosipkan bercinta dengan aktor Shaheizy Sam selepas berlakon bersama dalam drama Kisah Cinta di TV3.
Terbaharu, menerusi laman Instagramnya @missfazura, aktres itu memuat naik beberapa keping gambar ketika bercuti di Amerika Syarikat.
Buat pertama kalinya juga, Fazura memuat naik beberapa keping gambar seorang lelaki bernama Randy Seidman.
Merupakan seorang deejay di Los Angeles, Amerika Syarikat, hasil penelitian di Instagram dan Twitter Fazura, kedatangan pelakon itu memang dinantikan oleh Randy.
Malah, seorang rakan Fazura turut menulis di Instgram Randy:
"I myself cant wait to see you both happier than just happy. I love you so dearly my most beautiful sister @missfazura please enjoy your fazbulous hols ya! and dear @randyseidman please take good care of her. I surely know you will. She was soo glowing talking about you to me during lunch. So happy that she is happy love you two, always".
Menjawab mengenai hubungannya bersama Randy, dengan senyuman, Fazura memberitahu, dia sangat selesa bersama Randy yang dianggapnya seorang lelaki yang bukan sahaja bijak tetapi bersikap terbuka.
"Selama saya bercuti di sana, dia betul-betul menjaga saya. Saya selesa dengannya sebab dia seorang lelaki yang sangat bijak dan sentiasa bersikap positif. Malah, dia juga sangat prihatin dan suka ambil tahu apa yang saya cakap.
"Contohnya, saya baca Bismillah. Dia nak tahu apa makna dan kenapa saya membacanya," jelasnya.
Menarik nafas dalam-dalam, Fazura menyambung: "Sejujurnya, saya menganggapnya seorang yang unik dan ketika ini dialah lelaki paling rapat dengan saya. Pelik, sebab saya mula merinduinya selepas pulang daripada bercuti di Amerika."
Disoal mengenai destinasinya selama berada sebulan di Amerika, kata Fazura lagi, dia sempat bercuti di Los Angeles, Las Vegas, San Diego dan San Francisco.
Malah, Fazura juga berkesempatan bertemu dengan penyanyi antarabangsa, Yuna dan menyaksikan persembahan penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu dalam rancangan Live On Jimmy Kimmel.
Komen tentang Hanez Suraya
Terlanjur berbicara dengan Fazura, dia turut ditanya mengenai pelakon Hanez Suraya yang dikatakan cuba meniru gaya dan penampilannya sehingga menimbulkan amarah dalam kalangan peminat Fazura terhadap Hanez.
Mengulas mengenai perkara itu, kata Fazura, selama ini dia tidak tahu orang yang dimaksudkan adalah Hanez.
"Saya ada baca mengenai kononnya seseorang meniru saya tetapi saya tidak tahu namanya. Saya tidak rasa peminat saya marah dan cuba kecam Hanez," ulasnya.
Disoal pula mengenai status Instagramnya yang dikatakan cuba memerli Hanez, luah Fazura, dia tidak menujukan kata-kata itu kepada Hanez mahupun pelakon lain.
"Saya tidak menujukan pada sesiapa. Pada saya apa yang saya tulis atau buat tidak ada kena mengena dengan pelakon dalam industri," jelasnya menutup perbualannya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2qbodqvv8
Hakcipta terpelihara
0 comments:
Post a Comment