Loading...
Sunday, January 19, 2014

Mirasih berani berbikini

NAMANYA mungkin masih belum cukup dikenali dalam kalangan peminat di Malaysia. Namun di negara kelahirannya, Indonesia, pelakon Tyas Mirasih pernah menjadi sebutan ramai gara-gara keberaniannya beraksi dalam adegan panas.
Bagi yang pernah menonton filem lakonannya seperti Air Terjun Pengantin dan Hantu Budeg, pasti dapat melihat aksi beraninya berbikini dan memakai pakaian dalam serta beraksi ranjang.
Menerusi satu sesi fotografi yang diaturkan bersama Kosmo! dalam rangka promosi filem terbaharunya, Laga minggu lalu, pemilik nama sebenar, Mirasih Tyas Endah itu lantas ditanya mengenai perkara tersebut.

Menurut pelakon kacukan Indonesia (bapa) dan Belanda (ibu) itu mengakui, sejak berlakon dalam kedua-dua filem berkenaan, dia sering kali mendapat tawaran yang hampir sama.
"Sebenarnya sejak tahun lalu saya sudah menolak tawaran sedemikian kerana enggan dikenali sebagai seorang pelakon yang suka tampil seksi dan digelar simbol seks.
"Saya tidak mahu peminat memberikan persepsi yang negatif sehingga ia boleh menjejaskan karier saya dalam bidang lakonan," tegasnya ketika membicarakan tentang perkara tersebut.
Berkenaan penerimaan keluarganya dengan keputusan berani yang dibuat apabila bersetuju berlakon dalam kedua-dua filem berkenaan, Tyas menyatakan, sebelum menerima sebarang tawaran dia akan mendapatkan restu ibunya terlebih dahulu.
Meskipun menyedari bahawa akan timbul kontroversi apabila dia bersetuju berlakon dalam filem yang memerlukan dia menunjukkan bentuk tubuh tetapi pelakon itu menegaskan, ia perlu ada batas-batasnya.
"Semua yang dilakukan ini berdasarkan kepada kepercayaan yang diberikan oleh keluarga terhadap diri saya. Asalkan ia tidak terlalu melampaui batas, mereka bersetuju dengan pilihan yang saya buat," ujarnya.
Menceritakan lebih lanjut tentang karier lakonannya, pelakon berusia 26 tahun itu berkata, dia sebenarnya lebih kerap berlakon dalam telemovie berbanding filem atau sinetron.
Ujarnya, dia kurang menggemari berlakon dalam sinetron memandangkan ia memakan masa yang sangat panjang selama berbulan-bulan sehingga menyebabkan jadual lakonannya akan terganggu.

TYAS mengakui agak terkejut apabila ditawarkan berlakon filem Laga.



"Di Indonesia, saya telah digelar sebagai Ratu Telemovie kerana terlalu banyak berlakon telemovie. Lagipun berlakon sinetron agak memenatkan meskipun banyak tawaran yang selalu saya terima.
"Namun begitu, tidak bermakna saya menolak berlakon sinetron kerana semuanya bergantung kepada masa yang sesuai dan jalan cerita," jelasnya yang terlebih dahulu dikenali sebagai model klip video lagu-lagu penyanyi popular seperti Ungu, Kerispatih dan Seventeen.
Nama besar
Berpeluang untuk membintangi filem Laga terbitan Business Leader Film Production Sdn. Bhd. yang akan ditayangkan pada 23 Januari ini, Tyas menyatakan, ia kali pertama dia berpeluang dapat bekerja dengan produksi filem Malaysia.
Cerita Tyas, tawaran tersebut diterimanya ketika dia sedang melancong di Eropah kira-kira dua tahun lalu dan mengaku agak terkejut apabila menjadi pilihan untuk berlakon dalam filem arahan Ismail Yaacob itu.
"Sebaik sahaja mendapat tahu mengenai perkara tersebut, saya terus meminta pengurus peribadi saya yang berada di Indonesia supaya e-mel skrip filem tersebut.
"Sebaik sahaja membacanya saya berasa cukup kagum dengan ceritanya serta barisan para pelakon yang mempunyai nama-nama besar di negara ini," luahnya.
Menurut Tyas, dia banyak mendapatkan info mengenai pelakon senior seperti Eman Manan, Wan Hanafi Su dan Nasir Bilal Khan menerusi carian di internet sehinggalah dia mengetahui latar belakang ketiga-tiga pelakon berkenaan.
"Sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai mereka, ia telah membuatkan saya bertambah teruja. Selain filem ini sebuah karya menarik serta melibatkan kos yang besar, para pelakonnya juga begitu hebat dan sangat popular," ujarnya.
Berkongsi pengalaman sepanjang berlakon dalam filem tersebut, Tyas berkata, dia mengakui gementar dan takut.
Bagaimanapun, perasaan itu lantas hilang sebaik sahaja menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran di Kuala Kangsar, Perak pada hari pertama.
Ujarnya, rata-rata pelakon yang terlibat banyak membantunya dari segi cara lakonan, termasuk pelakon senior yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing.
"Selain ketiga-tiga pelakon berkenaan, saya berasa seronok dan selesa sepanjang berlakon dengan Syazwan Zulkifli dan Marsha Milan Londoh yang turut terbabit dalam filem ini.
"Lagipun, ia merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan sama sekali kerana ini adalah kesempatan terbaik buat diri saya agar lebih dikenali ramai di negara ini pula," jelasnya.

TYAS MIRASIH mengakui tidak kisah jika digandingkan dalam produksi lakonan bersama Keith Foo.



Temui pengganti Keith Foo
Biarpun kali pertama mendapat peluang untuk berlakon dengan produksi Malaysia, ternyata pelakon kelahiran Jakarta, Indonesia itu tidak terlepas daripada dilanda gosip membabitkan hubungannya dengan Syazwan.
Hanya ketawa saat diajukan tentang gosip yang melanda dirinya sehingga dikatakan menjadi punca hubungannya dengan seorang lagi pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Keith Foo berakhir, Tyas lantas menyangkal dakwaan berkenaan.
"Rasanya gosip yang timbul ini semuanya berpunca daripada salah sangka apabila ada yang melihat kemesraan antara kami semasa berada di lokasi penggambaran dahulu.
"Sebenarnya, hubungan kami tidak lebih daripada sekadar rakan biasa sahaja.
"Namun saya akui, Syazwan menjadi tempat saya meluahkan perasaan memandangkan ketika itu sedang berjauhan daripada keluarga serta banyak berkongsi cerita dengannya," jelas Tyas berhubung kisahnya yang dikatakan menjalin hubungan dengan pelakon tersebut.
Berhubung dengan kisah percintaannya dengan Keith pula, kedua-duanya mengambil keputusan untuk berpisah secara baik tahun lalu setelah menjalinkan hubungan cinta selama lebih setahun.
"Walaupun Keith sudah berhijrah semula ke Malaysia, saya mendapat tahu karier lakonannya juga sudak semakin berkembang dan saya gembira dengan pencapaian yang diraihnya sekarang.
"Sekiranya ditakdirkan kami berlakon bersama-sama lagi, saya tidak kisah dan perlu bersikap profesional.
"Cuma, buat masa ini kami masih belum lagi berhubung sejak dia pulang ke Malaysia," ujarnya yang pernah bergandingan dengan Keith menerusi filem Hantu Budeg pada tahun 2012.
Enggan menceritakan lebih lanjut mengenai punca perpisahannya dengan Keith, ujar Tyas, kini dia sudah menemui pengganti tetapi mahu merahsiakan identiti jejaka yang saat ini bertakhta di hatinya itu.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP