"Cuma saya tidak terdesak untuk berkahwin dalam masa yang terdekat. Kalau sampai masa insya-Allah... saya akan ke alam perkahwinan.
"Lagipun daripada terus memikirkan soal tersebut baik saya fokus pada kerjaya. Masih banyak perkara yang perlu saya lakukan," katanya kepada Pancaindera.
Meraikan tahun baharu Dayang telahpun merakamkan single berjudul Di Pintu Syurga yang turut dijadikan runut bunyi untuk drama bersiri Ariana Rose.
Menyifatkan lagu tersebut mampu mengalirkan air mata, Dayang yakin lagu itu mampu memacu namanya untuk terus kekal bertahan sebagai antara penyanyi yang disegani.
Lagu ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran itu mengisahkan tentang seseorang yang ditinggalkan kekasih tanpa pesan.
Bagi Dayang dia tidak menganggap trend mengeluarkan single sebagai petanda penyanyi hari ini tidak boleh mengeluarkan album atas sebab kurang mendapat sambutan.
"Sebelum ini memang saya lebih percaya kepada penghasilan dan penjualan album itu sendiri. Tapi kali ini saya cuba untuk memberi kelainan dengan mengeluarkan single terlebih dahulu.
"Bukan mudah untuk buat album. Memilih lagu sahaja sudah mengambil masa. Tak boleh main tangkap muat memandangkan album merupakan resume untuk seseorang artis.
"Walau apa terjadi saya tetap akan buat album untuk peminat. Itu janji saya," jelas penyanyi ini lagi.
Kali terakhir Dayang menghasilkan album Sayang & Cahaya pada tahun 2011.
Kepercayaan
Menghitung usia pembabitan Dayang Nurfaizah sebagai penyanyi yang sudah menjangkau 15 tahun, dia masih terkenang ketika mula-mula terlibat dalam kerjaya nyanyian selepas tamat tingkatan lima.
Dia amat bertuah memandangkan jarang terpalit dengan kontroversi panas yang boleh mencalarkan kredibiliti yang dibina selama ini.
Walaupun begitu Dayang masih belum puas meskipun sudah mengecapi banyak kejayaan dan meraih anugerah serta pengiktirafan termasuk memenangi kategori Vokal Terbaik Dalam Lagu Wanita pada Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini.
Menyifatkan perkara tersebut cukup mengejutkan sudah pasti kemenangan menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu begitu bermakna kepada dirinya.
"Ini memang kejayaan yang besar buat saya memandangkan lagu tersebut dirakamkan secara live menerusi album Anuar & Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas.
"Tidak ada ubah suai mahupun penambahbaikan ketika rakaman yang membuatkan saya rasa lebih dihargai. Orang nampak pada bakat dan kebolehan saya," ungkapnya.
Bertanyakan perkembangan terkini penyanyi kelahiran Sarawak ini, Dayang menganggap fokusnya hanya kepada bidang nyanyian yang sudah menjadi darah dagingnya.
"Bukannya apa, nanti kalau buat benda lain risau pula yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran," katanya tertawa.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140119/hi_02/Kahwin-Saya-belum-terdesak#ixzz2qtEz3ELY
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment