Loading...
Sunday, January 19, 2014

Filem malaysia tak stabil


MULA menceburkan diri dalam bidang lakonan seawal usia enam tahun lagi, Melissa Saila, bukanlah individu picisan dalam industri seni.

Sebut sahaja namanya, pasti ramai yang mengingati lakonan dalam drama bersiri, Cili Padi, yang turut mencipta fenomena di era 90an.

Mewarisi bakat daripada ibunya, Seniwati Mariani dan juga ibu saudaranya, Allahyarham Puan Sri Saloma, Melissa, bukan sahaja hebat di hadapan lensa kamera.

Malah, pembabitan seninya turut merangkumi bidang pengarahan dan penerbitan setelah menubuhkan syarikat produksi sendiri, Kus Semangat Aktor Sdn Bhd, hasil perkongsian bersama suami tercinta, Megat Fauzi Shurkarnain, pada 2007.

Walaupun sukar melihat kelibatnya di kaca televisyen, namun pemilik nama sebenar, Melisa Mohd Alias, 42, ini masih aktif di belakang tabir.

Mengakui sedang sibuk dengan beberapa projek, Melissa turut berkongsi perkembangan terkini, pandangan serta kerja-kerja seninya bersama Zass.

Apa perkembangan terkini anda?

Alhamdulillah, drama biopik, Saloma yang menceritakan kisah hidup biduanita negara, Allahyarham Puan Sri Saloma yang juga ibu saudara saya itu telah selesai penggambaran. Kini, drama itu berada di peringkat penyuntingan akhir. Namun, saya masih tidak dapat berkongsi mengenai tarikh tayangan kerana ianya belum diputuskan oleh Astro. Kemungkinan besar, ianya akan ditayangkan dua atau tiga bulan lagi. Selain itu, saya juga akan terlibat dalam pengarahan dan penerbitan drama-drama berepisod di stesen televisyen lain.

Boleh kongsikan sedikit mengenai drama biopik itu?

Saya memilih pelakon, Nabila Huda, sebagai tonggak utama dan memegang watak Saloma. Selain itu, ada beberapa pelakon ternama lain yang turut terlibat termasuk Sazzy Falak. Ia adalah drama yang mengisahkan mengenai kehidupan Saloma di sepanjang hayatnya. Pun begitu, saya tidak boleh bercerita lebih lanjut mengenai biopik ini kerana penonton yang lebih berhak menilai selepas menontonnya. Bukan sahaja dari segi jalan cerita, malah kehebatannya pelakon juga menjadi hak penonton untuk menyatakan adakah ianya sesuai atau tidak.

Bagaimana pula dengan projek filem pendek, Ikal Mayang?

Saya dan 14 pengarah lain terlibat dalam pembikinan filem pendek dan saya mempertaruhkan naskhah, Berat Sebelah. Namun, karya arahan saya ini tidak ditayangkan di kaca televisyen kerana lima sahaja yang terpilih. Namun, filem ini turut ditayangkan di Korea pada Oktober tahun lalu. Sebenarnya, ini adalah filem pendek arahan saya yang ketiga.

Anda tidak berhasrat untuk mengarah filem?

Sebelum ini, saya pernah menghasilkan filem, Dari Kerana Mata, pada tahun 2010. Namun, sehingga kini filem itu gagal ditayangkan. Saya sendiri tidak tahu mengapa ia tidak ditayangkan dan tidak pasti adakah ia akan menemui penonton atau tidak. Untuk menghasilkan filem pada saat ini, saya rasa ianya adalah percaturan yang tidak sesuai. Sebelum ini, saya pernah terdetik untuk menghasilkan filem, namun setelah difikirkan masak-masak mengenai beberapa perkara, saya rasa belum bersedia. Saya melihat industri menerusi beberapa corak termasuk kutipan filem di pawagam, selera penonton dan trend pengarah. Ianya sangat tidak memberangsangkan dan boleh 'menjerut' leher sendiri.

Apakah perkara yang menakutkan anda untuk menghasilkan filem?

Kita sukar untuk menduga selera penonton malah, kutipan di pawagam sudah terbukti menunjukkan industri kini tidak stabil dan ia boleh merugikan penerbit seperti saya. Namun, dalam hal ini saya tidak menyalahkan penonton 100 peratus kerana ianya juga berpunca daripada sikap penggiat seni sendiri yang sebelum ini terlalu mengikut kehendak penonton. Kini, mereka sudah muak dan penggiat seni pula mengambil kesempatan dalam menyajikan karya yang banyak tanpa memikirkan soal kualiti. Pada pemerhatian saya, banyak filem yang boleh diklasifikasikan sebagai drama yang menggunakan bajet tinggi dan tidak layak diangkat sebagai filem. Ada di kalangan pengamal filem mula melupakan beberapa aspek dalam pembikinan filem termasuk budaya, seni dan kualiti tidak seperti karya satu ketika dahulu.

Pada pandangan anda, apakah konsep dan filem yang bagus setakat ini?

Karya yang bagus adalah karya yang mementingkan kualiti. Apa jua konsep serta genre, itu bukanlah satu masalah besar untuk membawa filem itu sebagai karya yang terbaik. Sebagai contoh filem arahan Bernard Chauly, Istanbul Aku Datang, merupakan filem yang santai dan memfokuskan golongan remaja. Ia bukanlah filem berat, namun olahan, cerita dan sinematografi yang dipaparkan menunjukkan karya itu bukanlah dibuat sambil lewa. Ia memberi satu tamparan baru di mana walaupun konsep itu lebih segar, namun ianya berkesan.

Dalam hal ini, siapakah yang patut disalahkan?

Tidak perlu menuding jari pada sesiapa kerana ia bukan cara terbaik untuk menyelamatkan keadaan. Namun, saya sangat berharap agar kerajaan atau pihak berkenaan memandang serius mengenai perkara ini. Bukan sahaja dalam memastikan karya yang dihasilkan itu layak untuk diangkat sebagai filem, malah kerjasama daripada mereka dalam memberi sokongan juga perlu diberi perhatian. Situasi ini tidak boleh dipandang enteng kerana lama-kelamaan, ia akan merosakkan industri yang sedia ada. Sebenarnya, masih ramai pengarah lain yang terdetik untuk menghasilkan filem, namun tidak berani menanggung risiko sekiranya filem itu tidak berjaya mendapat sambutan. Bukan kerana mementingkan keuntungan semata-mata, namun sebagai pemodal, kita perlu memikirkan hal itu.

PROFIL

Nama Penuh : Melisa Mohd Alias
Tarikh Lahir : 3 April 1972
Tempat Lahir : Kuala Lumpur
Nama Suami : Megat Fauzi Shukarnain
Nama Anak : Noor, (10), Zain, (8) dan Zahrah, (5)
Filem Lakonan : Puteri Gunung Ledang (2004), Mimpi Moon (2000), Layar Lara (1997), Fantasi (1994), Penghujung Malam (1992), Perempuan (1988), Ranjau Sepanjang Jalan (1983), Bayangan Cinta, Kanta Serigala (1991).
Drama Lakonan : Kecil-Kecil Cili Padi, Orang Gaji Sementara, P.J, Mat Despatch.
Teater : P. Ramlee The Musical, Tengku Anum, Visits, Saksi, Si Pemakan Hati, Dejavu, Anugerah, Mencari Juita, Akulah Perempuan Itu, Madu II, Tahajjud Cinta.
Pencapaian :
Pelakon Paling Berbakat - Malam Sri Angkasa (1984)
Pelakon Terbaik (Filem Penghujung Malam) - Festival Filem Malaysia (1994)
Pelakon TV Terbaik (Orang Gaji Sementara) - Anugerah Skrin TV3 (2001)
Persembahan Terbaik - The Boh Cameronian Arts Awards (2003)

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP