Malah penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini bangkit setelah 12 tahun membuktikan bakatnya sehingga berjaya merangkul pelbagai anugerah dan kejayaan sebagai anak seni.
Bahkan, selepas menempa melalui pertandingan Asian Wave di Shanghai, penyanyi ini turut memenangi penganugerahan artis kembara melalui Anugerah Industri Muzik (AIM) 2013.
Shila yang sebelum ini pernah tercalon untuk dua pencalonan sahaja, dalam kategori Best Female Artist dan Best Entertainer of The Year dalam World Music Awards 2012, sekali lagi tercalon dalam anugerah yang sama pada tahun ini untuk lima kategori, WMA termasuklah World’s Best Live Act, World’s Best Song dan juga World’s Best Video.
Malah, menerusi lima kategori itu, Shila bakal bersaing dengan artis hebat antarabangsa yang lain termasuk Kelly Clarkson, Shakira, Adele, Alex Hepburn, Alicia Keys, Avril Lavigne, Britney Spears, Beyonce, Bruno Mars, Kanye West dan ramai lagi.
Ini membuktikan bakat Shila setanding dengan penghibur peringkat antarabangsa.
Kepenatan berulang alik dari Kuala Lumpur ke Shanghai nyata berbayar. Ternyata penghargaan itu adalah sebagai penghargaan buat Shila.
“Walaupun menggalas tanggungjawab besar, namun, ia akan memberikan Shila sokongan dan semangat untuk meneruskan perjalanan karier di peringkat yang lebih tinggi, Insya-ALLAH,” katanya.
Menurut Shila, dia berasa cukup bertuah kerana dapat membina dan mengembangkan kariernya di China. Namun, dia tidak mudah melupakan peminat Shilalas (gelaran peminat) di Malaysia yang sentiasa menyokongnya.
Shila juga akan menunaikan janjinya buat peminat sekali gus merealisasikan konsert sulungnya yang bakal berlangsung pada April depan.
“Seperti yang saya janjikan tahun lalu, saya akan adakan konsert berskala besar. Ia semua buat peminat saya yang sentiasa menyokong saya selama ini.
“Insya-ALLAH ia akan berlangsung pada April nanti. Nantikan saja kejutan istimewa untuk peminat saya pada konsert itu nanti,” katanya yang mengakui konsert tersebut mendapat tajaan sepenuhnya di negara ini.
Tak lagi dibuli
Dalam pada itu, Shila yang baru saja kembali untuk beberapa minggu di Malaysia sempat berkongsi pengalamannya berada di negara orang pada tahun baru yang lalu.
Menurut Shila, sepanjang tahun baru, dia telah bersama menjayakan konsert sempena sambutan tahun baharu 2014 yang berlangsung di Shanghai pada malam menjelang 31 Disember lalu.
Pelantun lagu Masih Aku Cinta ini, berkata, penglibatannya untuk acara berkenaan kini lebih menyeronokkan berbanding tahun sebelumnya kerana tidak lagi dibuli.
“Memang sudah menjadi satu kebiasaan apabila ada penyanyi baru, pasti akan dibuli sepanjang latihan.
“Misalnya, kami kena menyanyi banyak lagu dan kami kena kongsi alat solek. Seperti satu tradisi yang dilakukan termasuklah pada tahun lalu kami peserta-peserta Asian Wave semuanya kena buli.
“Tapi tahun ni peserta China Idol pula yang kena buli. Apa yang seronoknya, tahun ni saya dapat bilik sendiri,” katanya.
Jawab dakwaan berkahwin
Selain perkembangan yang menggembirakan, Shila juga tidak terlepas dari kontroversi yang mendakwa kononnya dia sudah berkahwin.
Berita itu tersebar apabila satu akaun palsu di laman sosial Facebook yang mengakui akaun rasmi kepunyaan Shila dan memuat naik gambar dirinya mengenakan busana pengantin dengan status berkahwin sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada peminatnya.
Lebih mengecewakan Shila apabila ramai peminat percaya bahawa berita tersebut sedangkan ia perkara yang tidak benar.
Sebaliknya menurut Shila, busana ala pengantin rekaan Rafey Nasir yang dipakainya itu adalah mengikut tema persembahannya pada malam konsert tahun baharu yang lalu.
“Saya mengenakan pakaian tersebut adalah mengikut tema perkahwinan seperti yang dianjurkan. Tetapi telah dieksploitasi menerusi satu akaun palsu Facebook yang mendakwa saya telah berkahwin.
“Akhirnya menyebabkan ramai peminat yang percaya tentang berita tu, kerana mempercayai akaun palsu itu adalah akaun yang dikendalikan oleh saya.
“Bagi saya ia adalah sesuatu yang memalukan dan mengaibkan. Saya tak buat laporan polis. Tapi saya nekad nak cari siapa buat akaun itu dan saya serahkan semuanya kepada peguam saya untuk ambil sebarang tindakan,” katanya.
Menurut Shila, dia tidak tahu akaun Facebook palsu tu sebenarnya sudah lama wujud.
“Selama ni bukan tentang saya saja yang diletakkan di Facebook itu, kadang-kadang gosip yang tiada kena mengena dengan saya pun, mereka masukkan untuk menyatakan saya pembawa mulut.
“Saya memang tak ada akaun fanpage sebelum ini cuma setengah bulan lalu, pengurusan saya wujudkan fanpage rasmi saya,” katanya yang mengakui ShilaAmzahOfficial adalah fanpage rasminya.
Nasib kurang menyebelahi
Shila juga turut berkongsi mengenai kekalahannya menyertai sebuah pertandingan nyanyian, Sing For China.
Menurut Shila melalui pertandingan itu, telah yang menampilkan peserta bukan berbangsa Cina telah menyanyikan lagu penyanyi dari negara itu.
Berentap dengan 10 peserta daripada 10 buah negara, bagaimanapun kali ini nasib tidak berpihak kepada Shila.
Melalui pada pertandingan itu Shila menyanyikan lagu Ji De (Remember nyanyi penyanyi A-Mei), tetapi telah ditewaskan kepada penyanyi lelaki berkulit hitam.
Dalam perkembangan lain, menurut Shila, pada Februari ini, dia akan mewakili Malaysia untuk membuat ke sebuah festival Muzik (MIDEM).
Difahamkan Shila bersama kumpulan Azlan & The Typewriter serta seorang penyanyi berbangsa Cina dan sebuah kumpulan muzik India akan membuat persembahan di acara festival muzik dunia yang akan diadakan di Perancis.
0 comments:
Post a Comment