Pasangan kontroversi, Kim Kardashian dan Kanye West nampaknya merancang percutian bulan madu yang memang tidak dijangka sama sekali.
Selalunya, lokasi seperti di pulau menjadi pilihan buat pasangan berbulan madu, tetapi mereka memilih angkasa lepas sebagai lokasi meraikan detik-detik indah dalam hidup selepas melangsungkan pernikahan nanti.
Menurut sumber terdekat dengan West, dia yang sudah bertunang dengan Kardashian merancang untuk mengadakan majlis pernikahan tahun ini.
"Jadi, selepas berkahwin, dia merancang untuk pergi berbulan madu bersama Kardashian dan angkasa lepas adalah sesuatu yang diimpikan oleh West,"kata sumber tersebut.
Sememangnya West diketahui seorang yang sangat obses dengan angkasa lepas dan banyak terlibat menghasilkan video klip bertemakan angkasa lepas.
West dikatakan merancang untuk membawa wanita yang dicintai itu ke CSS Skywalker, sebuah stesen angkasa lepas.
"Stesen angkasa lepas itu terletak sejauh 402 kilometer daripada bumi dan dijangka akan dibuka kepada pengunjung seawal 2015,"tambah sumber yang sama.
Pengunjung yang mahu merasa sendiri pengalaman itu perlu membelanjakan sekitar RM3.2 juta untuk seorang bagi jangka masa sehari.
Selain itu, pengunjung juga diwajibkan untuk menjalani kursus latihan angkasawan selama tiga bulan.
Tambah sumber lagi, pasangan itu begitu teruja dengan bulan madu kali ini dan wang bukan satu masalah besar bagi mereka.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140116/hi_02/Bulan-madu-di-angkasa-lepas#ixzz2qXpqRCQd
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment