Loading...
Monday, January 20, 2014

Madhuri Dixit kembali ke Bollywood

Madhuri Dixit merupakan nama yang tidak asing lagi dalam industri perfilem Bollywood, malah sudah banyak filem pecah panggung yang dibintanginya.
Malah, Dixit sendiri boleh dikatakan berada dalam status dan kelas tersendiri dalam memegang watak sebagai heroin dalam filem.
Malah, industri perfileman Bollywood, nama Madhuri Dixit begitu gah dan salah seorang heroin yang sentiasa dinantikan oleh peminat.

Namun, selepas berkahwin, Dixit berhijrah ke Denver, Amerika Syarikat dan berada di sana selama 10 tahun dan menyepi daripada industri.
Ada yang mengatakan penghijrahan semula Dixit ke Mumbai sebenarnya ada kaitan dengan masalah rumah tangganya.
Namun, ia disangkal sama sekali oleh Dixit yang berkata, dia kembali adalah kerana mengikut suami yang mahu kembali ke India.
Baru-baru ini, dia tampil lagi dalam filem Dedh Ishqiya yang merupakan sekual kepada filem Ishqiya. Namun, filem itu nampaknya tidak sehebat yang dijangkakan berbanding sebelumnya yang berjaya mendapat pecah panggung.
Kehadiran Dixit dalam filem itu nampaknya berjaya menarik hati peminat yang menantikan kehadirannya.Dixit nampaknya terharu dengan penerimaan peminat yang masih menantikan lakonannya. Malah, bersempena dengan filem itu juga, Dixit meluangkan masa untuk ditemu bual.
Berikut sesi temu bual Dixit bersama pihak media. Banyak perkara yang diperkatakan termasuk industri, kerjaya seni dan kehidupan peribadinya.
Hits: Dixit membuat kemunculan semula dalam industri filem Bollywood selepas 12 tahun menghilangkan diri. Apa pendapat Dixit tentang perkembangan industri sekarang berbanding di zaman 90-an?
Madhuri: Bagi saya, perjalanan industri perfileman Bollywood masih jauh lagi. Tetapi, wanita sebagai teraju utama dalam filem sudah semakin dihargai. Wanita tidak lagi dilihat sekadar manisan dalam filem lagi malah sudah diberikan watak-watak yang penting dan bagus.
Selepas kembali ke Bollywood, siapa menjadi pesaing dalam industri?
Persoalan persaingan melibatkan pelakon ini tidak wujud sebenarnya kerana ini adalah lapangan industri kreatif. Saya sendiri tidak melihat sesiapa sebagai persaingan. Semuanya melakukan kerja masing-masing. Apa yang lebih penting ialah bagaimana saya mahu mencapai matlamat untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang dilakukan sekarang.
Kehidupan bintang filem wanita kini lebih terbuka dan dekat dengan peminat. Apa pendapat Dixit mengenai kehidupan pelakon wanita sekarang terutamanya yang sudah popular?
Setiap zaman ada perubahan. Berbanding dulu, pelakon utama terutamanya wanita hanya melakukan satu ke dua temubual bersama wartawan. Tetapi hari ini, pelakon wanita perlu bekerja lebih kuat lagi dan terpaksa turun untuk mempromosikan filem. Bagi saya, ia sesuatu yang positif dan menunjukkan persaingan yang sihat dalam industri perfileman bollywood.
Tidakkah Dixit merasakan yang industri Bollywood kini masih didominasi oleh kaum lelaki?
Sehingga kini, pelakon lelaki masih senang hendak memegang watak hero dalam filem walaupun sudah melepasi umur 40. Perkara sebaliknya berlaku bagi pelakon wanita untuk memegang watak heroin. Malah, jumlah heroin yang dihasilkan dalam industri Bollywood masih rendah berbanding jumlah hero. Tetapi ini sesuatu yang biasa malah dalam kehidupan sendiri, golongan lelaki masih menjadi dominasi. Saya merasakan bahawa golongan wanita kini perlu bekerja lebih keras lagi untuk membuktikan bahawa mereka juga mampu menyaingi lelaki.
Dixit sebelum ini tinggal di Amerika Syarikat selama 12 tahun, apa perasaan anak-anak yang terpaksa kembali ke India?
Pada mulanya risau juga tetapi bagi saya, Mumbai adalah kampung halaman saya dan anak-anak. Tiada sebab mengapa mereka tidak mahu kembali ke India. Malah, anak-anak juga gembira bila saya menyatakan untuk kembali ke sini. Mereka rindu suasana ketika berada di sekolah. Tetapi tidak dinafikan, sekali sekala ada juga anak-anak saya bercerita kerinduan mereka dengan suasana di Amerika Syarikat. Jika ada masa, pasti saya akan membawa mereka melancong ke sana.
Selepas memilih untuk bekerja kembali, bagaimana Dixit mahu membahagikan masa antara kerja dan keluarga?
Keluarga sememangnya menjadi keutamaan bagi saya. Selepas kembali ke Mumbai, saya sentiasa menyusun jadual supaya masa itu dapat diluangkan bersama dengan suami dan anak-anak. Rasanya ia perkara yang sama bagi semua wanita yang bekerja dan bukan melibatkan pelakon sahaja.
Perkahwinan Dixit bersama dengan suami, Dr. Shriram Nene mengejutkan industri apatah lagi dia bukan seseorang yang dekat dengan industri?
Sebenarnya, ketika berjumpa dengan suami ketika itu, saya tidak tahu langsung dia adalah seorang doktor. Tetapi ketika itu kami sudah saling mengenali dan saya secara peribadi memang menyukai perwatakannya. Selepas itu, kami kerap bertemu, menjadi rapat dan akhirnya membuat keputusan untuk berkahwin.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP