Loading...
Sunday, January 19, 2014

Maharaja Lawak Mega : Comel pula tersingkir

Satu persatu kumpulan yang menduduki kedudukan terbawah (bottom three) tersingkir dan minggu ini tiba giliran kumpulan Comel terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada persaingan minggu ke-10 Maharaja Lawak Mega 2013, yang berlangsung Jumaat lalu.
Menghampiri pentas final pada 7 Februari ini, saingan yang ditunjukkan semakin hebat menjadikan Comel yang dianggotai oleh Suhaimi dan Ropie sukar untuk mengeluarkan idea lawak yang memikat penonton.
Bagaimanapun keputusan ini diterima dengan hati terbuka oleh Suhaimi. Apatah lagi mampu bertahan untuk 10 minggu disifatkan sudah membawa kejayaan tersendiri buat mereka.

Turut cemas dan merasai debaran penyingkiran pada malam itu Jambu dan Nabil yang tersenarai pada tangga terbawah.

Namun mereka akhirnya boleh menarik nafas lega kerana masih berpeluang meneruskan perjuangan untuk merebut wang tunai RM500,000 sebagai juara MLM 2013.


Nabil yang turut diumumkan sebagai peserta paling menyerlah atau ‘Man of The Match’, melahirkan perasaan gembiranya kerana masih bertahan untuk minggu seterusnya.

Hanya ada satu lagi penyingkiran bagi menentukan tempat ke final MLM 2013 yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

“Alhamdulillah, saya ingat apabila menang Man of The Match, kedudukan saya akan selamat, tapi rupanya tak juga bila tersenarai dalam ‘bottom three’.

“Ini membuatkan saya kena hati-hati untuk meneruskan langkah dalam MLM 2013. Selepas tersenarai tadi saya rasa kedudukan saya semakin tak selesa,” katanya.

Nabil berkata, tema tugasan minggu depan iaitu ‘silent’ komedi dan Karoot Komedia adalah sesuatu yang mencabar baginya.

“Silent komedi satu konsep yang agak susah dan saya memang tak mahir. Tambahan pula saya berlawak bersendirian. Begitu juga Karoot Komedia pun agak susah, tapi saya pernah terbabit di dalamnya.

“Saya nak cuba kelainan dalam persembahan minggu depan. Idea lawak saya diperolehi menerusi kawan-kawan dan kumpulan penulis skrip saya sendiri. Harapnya ia mampu menghiburkan peminat,” katanya.

Datuk Yusof Haslam yang bertindak sebagai juri turut mengakui persaingan yang ditunjukkan semakin hebat.

“Boleh dikatakan hampir semua peserta dapat empat bintang dari kami kecuali beberapa kumpulan yang gagal menyerlah.

“Lawak Jambu kurang menjadi tapi mereka masih bertahan. Jambu disifatkan pelawak slapstik tapi orang boleh ketawa dengan persembahan mereka.

“Saya sendiri tak nak bagi komen yang pedas kerana tetap ambil pandangan orang luar. Setiap orang ada pasang surutnya,” katanya.

Persembahan pada minggu ke-11 Jumaat ini akan berlangsung di Dewan Wawasan, Jitra Kedah dan penonton yang ingin menonton dikenakan bayaran sebanyak RM15 dan RM25.

Mengulas perkara ini, Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian bagi menjamin keselamatan semua pihak termasuk mereka yang datang menonton.

“Dewan ini hanya boleh memuatkan sekitar 3,000 penonton. Kami belajar daripada pengalaman dan penjualan tiket bukan untuk cari untung.

“Kami melantik sebuah syarikat bagi menguruskan soal keselamatan semua pihak. Jualan tiket ini tak mampu untuk tampung kos yang dikeluarkan tapi memadai untuk pastikan program berjalan lancar.

“Itulah sebabnya kami jual tiket secara atas talian (online) supaya siapa yang cepat tempah akan dapat (tiket). Jadi, peminat tak perlu berasak-asak di Dewan Wawasan itu nanti,” katanya.

Nizam tidak menafikan akan berlaku penjualan tiket palsu. Bagaimanapun pihaknya sudah membuat persediaan awal dengan menyediakan pengimbas tiket untuk mengatasi masalah ini.

Sementara itu, boleh dikatakan semua peserta memberikan persembahan mencuit hati menerusi tema radio minggu lalu. Semua penonton terhibur dengan lawak yang ditampilkan.

Rahim dari Sepahtu semakin menunjukkan keserasian bersama Jepp dan Shuib, manakala Bocey mampu membuat kejutan untuk layak ke final MLM nanti.


Terus kekal bersaing pada minggu depan ialah Shiro, Sepahtu, Jambu, Bocey, SYJ dan Nabil.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP