NAMPAKNYA, kontroversi pihak pengurusan artis Metrowealth International Group (MIG), yang mengaitkan pelakon, Wawa Zainal, masih gagal mencapai kata sepakat.
Sebelum ini, suaminya, Aeril Zafril, tampil menyelar tindakan pemilik syarikat gergasi itu yang meminta agar Wawa, 23, datang berbincang mengenai perkara itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIG, Aeril tidak sepatutnya berkata sedemikian kerana pelakon itu pernah melalui perkara yang sama.
"Saya tidak rasa yang Aeril tidak tahu mengenai prosedur untuk keluar daripada syarikat. Dia juga pernah bekerja 'sekerat jalan' dengan kami sebelum ini, namun dia menggunakan cara yang berhemah untuk keluar.
"Saya menerima surat permohonan daripada Wawa, namun saya meminta agar dia datang berbincang secara baik seperti yang telah dilakukan Aeril sebelum ini.
"Sebenarnya, siapa yang ganggu siapa? Saya bukan ganggu mereka dan sekiranya perbincangan itu dilakukan, saya tidak ada masalah untuk melepaskan Wawa," katanya lagi.
Jelas David, sehingga kini, status Wawa bersama MIG masih tergantung dan syarikat itu tidak dapat memberikan sebarang projek ataupun tawaran lakonan.
"Mungkin ada tawaran yang sesuai untuk Wawa namun, jika dia tidak datang, macam mana nak dapat? Lagipun, sebelum ini, dia pernah berjanji untuk kembali.
"Orang luar mungkin senang berkata-kata, namun tiada siapa yang tahu bagaimana usaha kami dalam menaikkan nama Wawa sehingga dikenali.
"Namun, saya perlu akur dengan kerenah manusia di sekeliling yang sering kali lupa apabila sudah senang ibarat, kacang lupakan kulit," katanya.
Fikir masak-masak
Walaupun terkilan dengan sikap bintang, 3 Temujanji ini, namun David masih mengharapkan kerjasama daripada Wawa.
Malah, sehingga kini, David tetap memberi peluang kepada Wawa untuk datang bersemuka dan berbincang dengannya.
"Dia sendiri tahu apa yang terkandung dalam perjanjian kontrak itu. Saya akan memberikannya sedikit masa, namun sekiranya, dia masih enggan berbuat demikian, kita akan selesaikan melalui surat hitam putih.
"Namun, dalam masa terdekat ini, saya tidak terlintas lagi untuk memfailkan saman terhadapnya. Namun, untuk masa yang akan datang, tidak pasti lagi.
"Saya berharap, peluang yang diberi ini membolehkan dia (Wawa) berfikir masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan," katanya lagi.
Loading...
0 comments:
Post a Comment