Loading...
Thursday, February 20, 2014

Madhuri Dixit mengajar tarian online

Akhir-akhir ini kemunculan beliau semula ke depan lensa kamera semakin ke-tara berbanding beberapa tahun lalu.
Selain menjadi juri bagi program realiti TV tarian yang popular di India - Jhalak Dhikla Ja ditemani Karan Johar dan Remo D' Souza, dia turut membintangi dua filem terbaru, Dedh Ishqiya dan Gulaab Gang, masing-masing bersama Naseeruddin Shah dan Juhi Chawla. 
Paling terkini, dia sempat meluang-kan masa buat pertama kalinya ke Malaysia bagi menjayakan Konsert Temptation Reloaded 2014 bersama Datuk Shah Rukh Khan (SRK) dan Rani Mukherji di Stadium Merdeka, hujung minggu lalu.

Lalu, pertemuan empat mata dengan Ratu Bollywood, Madhuri Dixit Nene, 46, yang terkenal dengan watak Maya dalam Dil To Pagal Hai dan Chandramukhi (Devdas) di Hotel The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur, Jumaat lalu, membuka ruang kepada penulis untuk bertanyakan hal perkara itu bersama perkembangan mutakhirnya.

WAJAH terbaru bersama SRK .

“Benar, sekarang saya agak aktif berlakon dan menjayakan pelbagai program hiburan termasuk konsert. Ia disebabkan dua anak saya, Arin dan Raayan, semakin besar. Arin berusia 11 tahun dan Raayan pula sembilan tahun.

“Bagaimanapun saya bukanlah ligat macam zaman bujang dulu kerana masa saya sekarang perlu lebih kepada anak-anak, suami dan ibu saya, cuma saya harus menyusun jadual kerja dengan baik supaya keluarga saya tidak diabaikan.

“Saya juga gembira kerana suami saya sangat memahami minat lakonan dan tarian yang sudah menjadi darah daging saya," kata Madhuri yang merujuk kepada Dr Shriram Madhav Nene, pakar bedah yang dikahwininya pada 1999.

Madhuri berkata lagi, dia pernah menetap di Denver, Amerika Syarikat selama hampir 10 tahun selepas berkahwin kerana mengikut suaminya bertugas. Namun sedekad merantau, mereka kembali menetap di Mumbai sekitar 2011.

“Duduk di negara orang takkan sama dengan negara sendiri. Banyak pengalaman yang saya kutip apabila menetap di Denver namun apa yang lebih menggembirakan saya ketika itu, keluarga sentiasa ada bersama saya di luar negara termasuk ibu dan ayah saya.

“Kemudian kami mengambil keputusan kembali ke Mumbai kerana ibu dan ayah saya lebih selesa menetap di India. Ayah saya pun sudah meninggal dunia dan sekarang saya enggan berjauhan lama-lama dengan ibu kerana tidak mahu dia kesepian. Biarlah dia dikelilingi anak cucu” ujar Madhuri yang sememangnya cantik seperti mana di layar perak.


4 kali menang aktres terbaik

Beralih ke topik lain, Madhuri dengan lancar bercerita, dia semakin aktif mengajar anak-anak muda tarian klasikal dan moden secara online di Internet. Sehingga kini dia mempu-nyai kira-kira ribuan pelajar dari seluruh dunia yang mahu menimba bakat tarian daripadanya.

"Mudah bagi saya mengajar dan menilai mutu persembahan mereka daripada video-video yang dimuat naik dan turun di laman web madhuridixit-nene.com. Sebenarnya zaman sudah berubah dan rasanya lebih mudah menurunkan ilmu tarian dengan cara begini berbanding sekolah tarian biasa.

"Bayangkan kalau di sekolah biasa saya hanya mampu berkomunikasi dengan jumlah pelajar yang terhad berbanding dalam laman web," jelas Madhuri yang sering dilabel aktres yang handal menari selepas aktres Madhubala.

Apa yang nyata, di lantai tari, siapa yang boleh menidakkan kehebatan Madhuri kerana beliau memiliki asas tarian klasikal India yang hebat iaitu Kathak. Bakat itu kerapkali ditonjolkan dalam filem-filem lakonannya seperti Dil To Pagal Hai, Khalnayak, Raja, Devdas dan Aaja Nachle.

Dari segi pencapaian lakonan pula, Madhuri mencipta sejarah tersendiri kerana satu-satunya pelakon wanita yang paling banyak dicalonkan dalam Filmfare Awards bagi kategori Aktres Terbaik. Setakat ini dia pernah empat kali merangkul trofi Aktres Terbaik sekali Aktres Pembantu Terbaik serta Anugerah Pencapaian Khas. Pada 2008, Madhuri menerima gelaran Padma Shri daripada Kerajaan India atas sumbangannya dalam bidang seni.

Mula berlakon pada 1984 tetapi dikenali melalui filem Tezaab pada 1988 bersama Anil Kapoor, layar Bollywood lewat 1980-an dan 1990-an nyata menjadi milik Madhuri. Dia secocok apabila berpasangan dengan Aamir Khan, Jackie Shroff, Sunny Deol, Sanjay Dutt, Salman Khan, Nana Patekar, Ajay Devgan dan SRK. Antara filem lain lakonannya yang popular adalah Ram Lakhan, Tridev, Saajan, Beta, Hum Apke Hain Kaun, Pukar, Lajja, Mrityudand, Hum Tumhare Hain Sanam, Yeh Raaste Hain Pyaar Ke dan Gaja Gamini.

Mengulas mengenai filem terbarunya, Gulaab Gang, Madhuri berkata inilah kali pertama dia bergandingan dengan Juhi Chawla.

"Saya dan Juhi sudah lama berlakon tetapi baru sekarang mendapat peluang. Filem ini berkisar mengenai pergolakan masyarakat di sebuah kampung dan menarik-nya wanita bangkit menjadi pembela terhadap penindasan mereka yang jahat.

"Bagi saya filem ini juga menarik kerana saya kena beraksi lasak dan melakukan babak pertarungan.

Ditanya mengenai kecantikannya Madhuri tersenyum dan berkata ia terpulang kepada mata yang memandang kerana takrifan cantik itu sangat subjektif.

"Seperti yang sering diperkatakan, kecantikan itu bermula dari dalam diri setiap manusia. Saya sering memastikan cukup tidur, diet yang seimbang dan senaman iaitu ... menari!" katanya mengakhiri perbualan.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP