Loading...
Sunday, February 23, 2014

Soal agama bukan main-main

KECERIAAN jelas kelihatan di wajah Siti Saleha sepanjang menjalani fotografi di Butik Mimpi Kita yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur pagi Isnin lalu.
Maklumlah hati gadis berusia 24 tahun ini sedang bahagia dengan seorang jejaka mat salih yang bekerja di ibu kota.
Jadi tidak hairanlah jika bibirnya kerap menguntum senyuman. Mesti terkenangkan sang kekasih!
Tambahan pula hubungan cinta yang terjalin sejak tujuh bulan lalu menemui keserasian. "Saya gembira dengan dia. Dia dah buat saya angau. Asyik teringatkan dia," kata Saleha membuka bicara tentang sang arjuna yang sedang menawan hatinya.
Mengulas tentang apa yang membuatkan dia terpikat pada kekasihnya itu, Saleha tersenyum.
Katanya, teman istimewanya itu cukup memahami, biarpun bidang kerja mereka berbeza, Saleha di bidang seni manakala si kekasih di bidang urus niaga saham, itu bukan penghalang.
Bahkan kata Saleha, kematangan kekasihnya itu yang memikat hatinya. Mereka juga ‘sekepala’ saat membincangkan apa saja topik semasa.
Lebih-lebih lagi masing-masing menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi kata Saleha, itu antara perkara yang melicinkan hubungan mereka.
Selain itu kata Saleha, kekasihnya seorang yang gemar berlawak yang secara tidak langsung memeriahkan hubungan cinta sedia ada.
Kata pelakon Balada Pencinta ini, jarak usia tiga tahun turut membantu mereka untuk lebih menghormati di antara satu sama lain.
Pun begitu ada perkara lain yang menggusarkan diri. Pastinya membabitkan tentang perbezaan agama.
Kata Saleha, perkara sensitif tersebut turut menjadi topik perbincangan di antara dirinya dan kekasih.
"Saya hanya akan berkahwin dengan lelaki Muslim. Perkara itu sudah muktamad. Saya sudah jelaskan kepada dia dan dia memahami.
"Pernah juga dia bertanyakan beberapa soalan menyentuh soal akidah. Namun itu tidak akan menggugat iman saya," tegasnya.
Mengakui dia bukan seorang Muslim yang sempurna tegas Saleha, dia tidak akan menggadaikan agamanya semata-mata untuk hidup bersama-sama kekasih hati.
Mengenangkan ibunya, Tracey Johnson atau Aisyah Abdullah yang masih kekal beragama Islam biarpun sudah berpisah dengan ayahnya, Mohd. Baharom Abdul Rahman membuatkan Saleha lebih beringat.
Kata Saleha, soal agama bukan perkara yang boleh dipermainkan dan dia tidak boleh berkompromi dan mengambil mudah berhubung perkara itu.
"Andai kata kami tak ada jodoh disebabkan masalah agama, saya reda," katanya yang pernah dikaitkan bercinta dengan seorang pemain bola sepak sebelum ini.
Berkahwin awal?
Mendirikan rumah tangga dengan insan kesayangan menjadi idaman setiap wanita dan seperti wanita lain, Saleha juga punya keinginan untuk berkahwin.
Bagaimanapun kata Saleha, perkara itu tidak akan terjadi pada tahun ini.
Menafikan dakwaan mengatakan dia dan kekasihnya itu merancang untuk berkahwin segera menurut Saleha, itu hanya khabar angin semata-mata.
"Orang cakap nak berkahwin itu mudah. Sebenarnya tidak. Ada banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum membina sesebuah mahligai perkahwinan.
"Memang dahulu saya pernah merancang untuk berkahwin muda. Tapi kini tidak lagi. Banyak tanggungjawab yang perlu dipikul.
"Saya fikir usia 30 tahun adalah masa yang paling sesuai. Pada waktu itu emosi dan ekonomi kita juga sudah stabil," ujarnya yang mengakui pernah ditegur oleh bapa yang mengetahui tentang khabar angin berhubung hasratnya untuk berkahwin awal.
Bagaimanapun dia telah menjelaskan kepada bapanya yang dia masih belum bersedia untuk ke arah tersebut buat masa sekarang.
Tambahan pula pada waktu ini ada beberapa komitmen membabitkan kerjayanya yang perlu diberi perhatian, kata Saleha.
"Saya perlu merancang untuk meneruskan kehidupan. Sebab saya tak tahu jodoh datang awal atau lambat.
"Jadi sebelum sampai jodoh, saya kena pastikan mental dan fizkal kita bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri,"
katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP