Loading...
Saturday, February 22, 2014

Terjun laut tiga kali

KEADAAN cuaca yang panas terik pada petang Rabu minggu lalu tidak menjadi penghalang buat jurufoto, Zakaria Idris untuk merakamkan gaya bersahaja pelakon muda, Nur Risteena Munim Zainul Ilyas di sekitar Bangunan Utusan, Kuala Lumpur.
Pelakon yang berusia 25 tahun itu bagaikan tidak peduli dengan bahang panas cahaya matahari yang membakar kulitnya sepanjang sesi fotografi tersebut berlangsung.
Bahkan, tanpa mempamerkan rasa jemu, pelakon yang selesa disapa Risteena itu tampil dengan pelbagai gaya yang berbeza setiap kali kerlipan lampu denyar jurugambar menyambar susuk tubuh genitnya.
"Alah bisa tegal biasa. Saya sudah terbiasa dengan keadaan yang lasak," ujarnya selamba membuka bicara.
"Ketika berlakon menerusi drama Menjinak Ombak, saya sudah terdedah dengan pelbagai elemen lasak. Saya diminta oleh pengarah untuk berlari dalam hutan tanpa memakai kasut atau selipar sehingga terpijak duri dan selumbar.
"Walaupun pengalaman tersebut begitu 'mendera fizikal', namun, dari situ saya banyak belajar erti kepayahan untuk bergelar pelakon yang baik," katanya.
Lemas dalam air
Melanjutkan perbualan, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memberitahu, antara pengalaman lain yang tidak boleh dilupakannya sepanjang penggambaran Menjinak Ombak ialah ketika diminta oleh pengarah, Along Kamaludin untuk terjun ke dalam laut tanpa menggunakan sebarang alat bantuan pernafasan.
"Sejujurnya, saya langsung tidak tahu berenang. Sewaktu melakonkan babak tersebut, saya dibawa oleh kru ke tengah laut dan diminta untuk terjun begitu sahaja.

NUR RISTEENA kini mula mendapat kepercayaan pengarah untuk menjadi pelaris naskhah mereka.



"Penyelam yang disediakan untuk membantu saya ketika itu pula diletakkan jauh daripada lokasi penggambaran. Bayangkan perasaan saya ketika itu!" ujar Risteena yang diminta untuk mengulangi babak tersebut sehingga tiga kali.
Namun begitu, pahit getir dan cabaran yang dilalui oleh Risteena banyak memberikan manfaat kepadanya terutama terhadap perkembangan kariernya sebagai pelakon.
Katanya: "Saya mengambil setiap pengalaman yang dilalui sepanjang proses penggambaran sebagai bahan baharu yang perlu diadaptasi dan digunakan pada masa akan datang.
"Banyak lagi yang perlu saya belajar jika mahu berjaya sebagai seorang pelakon. Sebab itu, saya tidak selesa dengan apa yang dikecapi setakat ini."
Kerap berlatih
Sebagai pendatang baharu dalam dunia hiburan, Risteena tidak pernah terlepas daripada cakap-cakap negatif yang datang daripada peminat.
Pernah digelar sebagai pelakon kayu sewaktu awal kemunculannya menerusi drama rantaian Playboy Itu Suami Aku, dia mempunyai cara yang tersendiri dalam membuktikan kehadirannya dalam industri bukan hanya sekadar bakat tempelan.
"Saya faham, sebagai seorang yang baru sahaja menapak dalam dunia lakonan, banyak benda perlu diambil kira bagi memperbaiki diri.
"Ini termasuk mendengar arahan daripada pengarah. Saya tidak mahu menjadi pelakon yang sering membuat kesalahan. Sebelum dimarah, baik saya berlatih terlebih dulu," ujarnya positif.
Selain selesa membawakan karakter berteraskan komedi dan berat, Risteena turut menyimpan hasrat untuk melakonkan watak-watak ganas yang menampilkan sisi lain dalam dirinya.
"Saya teringin untuk membawakan watak-watak yang lebih mencabar seperti watak seorang ejen penyiasat. Jika diberikan peluang untuk membawakan watak tersebut, saya sanggup untuk masuk ke kelas seni mempertahankan diri," ujarnya.

SAMA-SAMA baharu. Nur Risteena dan Hafreez teruja kerana menerima pencalonan dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang julung-julung kali diadakan. Anugerah tersebut berlangsung pada 22 Februari ini.


Utamakan keluarga
Setelah hampir dua tahun bergelumang dalam dunia seni, wanita berbintang Scorpio ini mengakui kurang meluangkan masa bersama keluarga terutamanya jika dia sibuk di lokasi penggambaran.
"Walaupun duduk di bawah satu bumbung, saya sangat jarang dapat bersua muka dengan ahli keluarga saya. Lebih-lebih lagi jika jadual penggambaran padat dan lokasi penggambaran pula terletak jauh di luar Kuala Lumpur.
"Jika berpeluang untuk bercuti, saya banyak menghabiskan masa di rumah. Saya akui, kerjaya sebagai seorang pelakon memang memenatkan. Tetapi, sebagai seorang individu yang menjadikan bidang lakonan sebagai karier utama, saya sering menganggapnya sebagai perkara yang positif," ujarnya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP