Loading...
Saturday, February 22, 2014

Remy, Bront dan Maya serasi bersama

BERCAKAP dalam bahasa anak wayang, tiga nama popular, Remy Ishak, Bront Palarae dan Maya Karin berkongsi banyak aspirasi dan semangat yang sama. Mereka memateri emosi dalam banyak naskhah besar dan karya kreatif, menggauli debu dan rasa di jalan seni yang sama bahkan diulit glamor dan api kontroversi pun di lembah yang sama.
Mereka menjadi sahabat yang serius tentang fokus dan hala tuju. Dalam waktu yang seiring, mereka rakan usik-mengusik. Saling memuja dan berbahagi bangga atas pencapaian sesama sendiri.
Bront, si tinggi lampai yang paling kuat mengusik. Mangsanya Remy yang persis keliru tambah lagi, saat gosipnya cinta bersama si wanita bernama Budi Citawan dipetik Bront mengisi canda. Remy ketawa bersahaja dan Bront menggeliat manja. Maya pula seperti biasa, bicaranya tidak banyak berdolak-dalik.
Ketika Maya diusik tentang dia sudah ada lelaki istimewa bersemayam di hatinya, Bront pula yang berasa nyaman. Ya, dalam kalangan mereka bertiga hanya Bront yang 'stabil' statusnya.
Maksud penulis, biarpun pernah dikejutkan dengan berita merahsiakan pernikahannya daripada liputan media, sekurang-kurang Bront sudah terlepas daripada diterpa gosip nakal. Bront mengakui sedang bahagia. Buktinya kata Bront, badannya sedikit berisi mungkin kerana rutin bujangnya sudah berubah sejak menjadi suami orang Ogos lepas.
Bukan untuk bercanda cerita kosong atau mencantas perhatian tanpa berita, tiga pelakon pujaan ini ada buah tangan yang sedang dijaja. Mereka sedar, berlakon filem biarpun bukan atas dasar tangkap muat, sesebuah filem itu tiada jaminan kejayaan.
"Saya masih merasakan, kalau filem aksi, sukar untuk filem lain menandingi KL Gangster, filem komedi seram pula milik Hantu Kak Limah Balik Rumah," itu pegangan Bront.
REMY ISHAK, Maya Karin dan Bront Palarae serius memikirkan peluang dan ruang kreatif perfileman untuk mencari resipi terbaik penerimaan penonton terhadap filem tempatan.


Aura komedi
Dalam filem Sejoli karya dan arahan Osman Ali yang baru sahaja masuk panggung 20 Februari lalu, Bront muncul sebagai Joe. Dia seorang mekanik yang tidak begitu berjaya tetapi mengimpikan untuk kembali meraih cinta bekas kekasihnya, Nita lakonan Izara Aishah. Nita pula mengikat cinta mati bersama Hardy (Remy Ishak).
"Filem ini sebenarnya mengimbau semula zaman berlakon naskhah komedi macam dalam Rona Roni Makaroni dahulu. Rasanya sudah hampir enam tahun saya tak berlakon dalam naskhah komedi romantik. Bagi saya komedi tetap salah satu bahagian penting dalam lakonan. Walaupun ia agak melanggar semua teknik, tapi fokus kami masih sama. Tambah pula bawah arahan Osman Ali. Muncul dalam Sejoli, boleh kembalikan ingatan penonton bahawa kami sebenarnya boleh layan cerita komedi," jelas Bront tentang Sejoli yang sedang memanggil penonton filem ke pawagam ketika ini.
Banyak melontarkan pandangan tentang kreativiti pembikinan sesebuah filem, pelakon yang bermisi sebagai pengarah itu tidak mahu menyalahkan khalayak jika sesebuah filem tidak berjaya mendapat pulangan. Atas sebab itu juga, Bront sebenarnya sangat pemilih untuk meletakkan penglibatannya dalam sesebuah karya.
"Memilih sangat tidak juga, tetapi membuat pertimbangan untuk berkata 'ya' memang ada. Saya lebih melihat kepada gambaran yang besar, bukan skrip sahaja tetapi siapa pengarah dan pelakon yang terlibat tetapi itu tidaklah bermakna saya ada menggariskan faktor penolak.
"Untuk Sejoli, sebenarnya saya dipanggil untuk filem Anak Jantan, alang-alang berada di set uji bakat, saya diminta bacakan skrip Sejoli dan kemudian dapat tawaran, kebetulan jadual saya kosong. Saya cuma teragak-agak dengan Izara, dengan Remy dan Maya, memang dah selalu sangat," jelas Bront semakin rileks dengan huru-hara produksi kerana mengenal banyak pengalaman sejak terbabit dengan terbitan dan pengarahan filem pertamanya, Kolumpo.
Anak emas pengarah
Masuk judul keempat bawah arahan Osman Ali, mungkin ramai yang masih ingat, filem pertama Remy sendiri pun bermula dari pada tangan pengarah sama berjudul Anak Halal. Sesudah menggelegak dengan Nur Kasih, Remy beralih menjadi kesayangan Kabir Bhatia. Namun, sama juga seperti Bront yang menjadi nama wajib buat Osman, Remy juga tidak ketinggalan.
"Dalam industri lakonan, saya percaya ikatan kimia antara pengarah dan pelakon kena kuat. Atas dasar suka dan selesa secara tak langsung orang gelarkan anak emas pula," jawab Remy diminta mengulas pengulangan kemunculannya begitu dengan Bront dan Maya dalam filem-filem Osman sebelum Sejoli.
Menjadi Remy kelihatan beruntung. Meriah tawaran sepanjang tahun, solo dan digilai peminat setiap kali muncul dengan siri hebat di kaca televisyen, namun di layar perak nasib Remy sedikit terkebelakang berbanding impak drama televisyen.
"Sampai satu ketika, saya sendiri tertanya-tanya, benarkah saya hanya laris untuk televisyen. Saya cuba jadi positif dan mahu beri keutamaan kepada filem tetapi dalam masa hendak menunggu filem yang bagus, karakter-karakter yang menarik ada dalam tawaran drama televisyen. Kecintaan saya kepada lakonan, juadah watak dan karakter sebenarnya yang sentiasa menolak saya menerima mana-mana tawaran," kata Remy yang berasa kecewa jika sesebuah produk bagus tidak mendapat sokongan yang selayaknya.
Dalam banyak kemunculannya bersama Bront, Legenda Budak Setan 2 dan 3, Jwanita dan Anak Halal, Sejoli menjadi satu-satunya filem yang meletakkan Maya dan Bront sebagai pasangan kekasih.
"Dalam filem-filem lain, ada sahaja yang menghalang kami jadi pasangan. Akhirnya kami jadi pasangan dalam Sejoli.
TIGA pelakon ini kerap menjadi pilihan Osman Ali dalam filem-filem arahannya, terbaharu Sejoli yang kini sedang berada di pawagam.


Bukan kerana duit
"Untuk filem ini juga, saya dapatkan rasakan inilah kali pertama saya selesa untuk bermain dialog-dialog spontan. Dalam Cun! kiranya itu percubaan pertama saya dalam filem bergenre sedemikian. Ketika itu bahasa Melayu saya pun tidak selancar seperti sekarang. Selalu rasa ketinggalan dan kekok, sekarang bila berdialog dengan Remy, Bront serta Azad Jazmin, semua dah boleh pukul habis," jelas Maya yang masih bertahan sebagai heroin layar perak biarpun hanya muncul sekali dalam tempoh setahun.
Tidak seperti pelakon wanita lain yang banyak menghiasi drama di kaca televisyen, Maya pula sebaliknya. Tidak pernah meletakkan nilai eksklusifnya hanya kepada filem, namun proses drama yang sering membuat tawaran saat akhir membuatkan dia hilang minat.
"Sebenarnya, saya tidak perlu berlakon untuk duit, jadual saya boleh kosong dua tahun tanpa filem. Tahun lepas, sekurang-kurangnya empat-lima bulan juga saya tiada komitmen kerja. Saya tidak mahu bergantung kepada lakonan semata-mata," jelas Maya yang membawakan watak Gina, wanita yang terdesak merebut kembali cinta kekasihnya Hardy sehingga sanggup melakukan tindakan di luar jangkaan.
Berbalik kepada Sejoli, istilah itu barangkali tidak hanya untuk sepasang manusia yang sedang berkasih-kasihan. Untuk tiga sekawan ini, mereka juga 'sahabat sejoli' yang selalunya sekepala.
Selain bersatu dalam karya orang lain, tiga sekawan ini ada merancang kolaborasi bersama. Tunggu masa dan ketika yang sesuai, misi mereka untuk menghasilkan sebuah karya yang memenuhi cita rasa bersama mungkin akan tiba jua.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP