Loading...
Saturday, February 22, 2014

Watak jahat legenda dalam filem

Selain hero dan heroin, watak jahat, hitam, antagonis atau ‘villain’ turut menjadi tumpuan dalam setiap filem. Kebiasaannya pemegang watak berkenaan bukan saja dibenci, tetapi turut ditakuti penonton.
Dalam filem, watak jahat bukan saja terdiri daripada manusia, tetapi turut digambarkan sebagai syaitan, hantu, jin, makhluk asing, haiwan, raksasa, robot, mesin termasuklah bencana alam

Malah, ada filem menjadikan kenderaan sebagai watak jahat!

Kemampuan setiap pemegang watak jahat menimbulkan rasa benci dan takut penonton terhadapnya adalah satu kejayaan.

Sejak dulu, sudah terlalu banyak watak jahat diperkenalkan dalam filem Hollywood. Ada sesetengahnya dilihat lebih menyerlah, lebih diingati dan lebih popular berbanding hero.

Berikut disenaraikan ‘villain’ filem Hollywood pilihan RAP yang dirasakan banyak meninggalkan kesan kepada penonton.


Darth Vader

Lakonan:
 James Earl Jones, David Prowse, Sebastian Shaw dan Hayden Christensen.
Filem: Star Wars Episode IV: A New Hope (1977); Star Wars Episode V: The Empire Strikes Back (1980); Star Wars Episode VI: Return Of The Jedi; Star Wars Episode III: Revenge Of The Sith (2005)

Watak separuh manusia dan separuh robot dengan topeng dan kostum hitam ini adalah yang paling menonjol dalam siri Star Wars. Impak yang dibawa Darth Vader berjaya menenggelamkan watak hero seperti Luke Skywalker (lakonan Mark Hamill), Han Solo (Harrison Ford) dan Princess Leia (Carrie Fisher).

Hingga hari ini jika berbicara mengenai filem Star Wars, watak Vader lebih menjadi sebutan. Vader sebagai pahlawan Jedi yang bertukar menjadi jahat selepas terpengaruh dengan ‘the dark side of the Force’ dan menjadi orang kanan Emperor Palpatine di Galactic Empire adalah antara tarikannya.

Individu yang dipertanggungjawabkan menghasilkan watak ini ialah Ralph McQuarrie dan Brian Muir.

Watak Vader menggunakan suara pelakon James Earl Jones dan pelakon British, David Prowse adalah pelakon yang memakai kostum Vader dalam Episode IV, V dan VI.

Selain itu, seorang lagi pelakon British, Sebastian Shaw melakonkan watak Vader ketika dia membuka topengnya dalam Return Of The Jedi dan Hayden Christensen melakonkan watak Anakin Skywalker dalam Episode I, II dan III.


Hannibal Lecter

Lakonan:
 Sir Anthony Hopkins
Filem: The Silence Of The Lambs (1991)

Watak Hannibal Lecter sebagai pakar psikatri dan pembunuh bersiri kejam mula diperkenalkan dalam novel karya Thomas Harris iaitu Red Dragon pada 1981. Ia kemudian diteruskan dalam sekuel novel berkenaan iaitu The Silence Of The Lambs, Hannibal dan Hannibal Rising.

Keberkesanan lakonan Sir Anthony Hopkins sebagai Hannibal melayakkan beliau memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Academy Award pada 1991. Pada 2003, American Film Institute memilih watak yang dibawa Hopkins ini sebagai watak jahat nombor satu. Pada 2010, Entertainment Weekly meletakkan Hannibal dalam filem ini sebagai 100 Watak Terunggul dalam tempoh 20 tahun.

Selain Hopkins, watak Hannibal turut dilakonkan Brian Cox dalam filem Manhunter pada 1986 (adaptasi daripada novel Red Dragon) dan Gaspard Ulliel dalam Hannibal Rising pada 2007 iaitu watak Hannibal ketika muda.


Great White Shark (jerung putih)

Filem:
 Jaws (1975), Jaws 2 (1978)

Walaupun hanya menampilkan watak haiwan iaitu ‘great white shark’ atau ikan jerung putih, filem Jaws yang dihasilkan pengarah filem terkenal Steven Spielberg ketika dia baru berusia 26 tahun meninggalkan impak cukup kuat.

Gara-gara Jaws, orang ramai takut berkunjung ke pantai kerana bimbang dibaham ikan jerung walaupun hakikatnya ia hanyalah model ciptaan pengarah seni filem berkenaan, Joe Alves.

Mengikut kajian Institut Penyelidikan Jerung Australia, jerung sebenarnya tidak menjadikan manusia sebagai sumber makanan kegemarannya. Malah, dalam kebanyakan serangan jerung, kes membabitkan manusia dijadikan makanan sangat kecil berbanding dilakukan singa atau harimau.

Namun, disebabkan Jaws, jerung dibenci seluruh umat manusia!


Joker

Lakonan:
 Heath Ledger
Filem: The Dark Knight (2008)

Melakukan pembunuhan beramai-ramai, sakit jiwa, sakit otak serta langsung tidak memiliki perikemanusiaan dan belas kasihan. Inilah watak Joker lakonan Heath Ledger dalam siri Batman, The Dark Knight arahan Christopher Nolan.

Pada 1960-an, Cesar Romero melakonkan watak Joker dalam siri TV Batman dan Jack Nicholson memegang watak itu dalam filem Batman arahan Tim Burton pada 1989. Namun, Joker yang dibawa Ledger dilihat lebih berkesan dan lebih kejam dalam The Dark Knight.

Dalam filem berkenaan, Joker langsung tidak menunjukkan sifat manusia dengan membunuh dan menyeksa orang sesuka hati termasuk sanggup meletupkan hospital yang dipenuhi pesakit.

Namun, pada 22 Januari 2008 selepas tamat penggambaran The Dark Knight, Ledger ditemui mati di pangsapurinya di Manhattan dipercayai kerana mengambil ubat berlebihan.

Kehebatan Ledger sebagai Joker berjaya membawanya memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Academy Award.


Freddy Krueger

Lakonan:
 Robert Englund
Filem: A Nightmare On Elm Street (1984), A Nightmare On Elm Street 2: Freddy’s Revenge (1985), A Nightmare On Elm Street 3: Dream Warriors (1987) dan Wes Craven’s New Nightmare (1994).

Wajah hodoh akibat kesan terbakar dan memakai sarung tangan dilengkapi pisau tajam di tangan kanannya menjadikan Freddy Krueger antara watak jahat paling ditakuti dalam filem.

Dalam siri A Nightmare On Elm Street, Freddy adalah pembunuh bersiri yang membunuh mangsanya dalam mimpi mereka. Pembunuhan di alam mimpi itu turut membuatkan mangsa turut mati di alam nyata.

Namun, Freddy hanya berkuasa dan gagah di alam mimpi, sebaliknya di alam nyata, dia lemah seperti manusia biasa.

Impak yang dibawa Freddy membuatkan American Film Institute meletakkannya di kedudukan ke-40 dalam 100 watak paling jahat. Freddy juga pernah memenangi kategori Watak Jahat Terbaik dalam Scream Awards.


Megatron
Lakonan:
 Hugo Weaving (suara)
Filem: Transformers (2007), Transformers: Revenge Of The Fallen (2009) dan Transformers: Dark Of The Moon (2011)


Chucky/Charles Lee Ray
Filem :
 Child’s Play (1988), Child’s Play 2 (1990), Child’s Play 3 (1991), Bride of Chucky (1998), Seed of Chucky (2004) dan Curse of Chucky (2013)


T-Rex
Filem:
 Jurassic Park (1993), The Lost World: Jurassic Park (1997) dan Jurassic Park III (2001)


Norman Bates
Lakonan:
 Anthony Perkins
Filem: Psycho (1960)


Loki
Lakonan:
 Tom Hiddleston
Filem: Thor (2011), The Avengers (2012) dan Thor: The Dark World (2013)


Pelakon antagonis filem Melayu

1. Salleh Kamil (Semerah Padi, Sumpah Orang Mi­nyak, Isi Neraka).

2. Datuk Mahmud June (Seri Mersing, Sultan Mah­mud Mangkat Dijulang, Raden Mas).

3. Siput Sarawak (Patung Cendana, Naga Tasik Chini, Racun Dunia).

5. Normadiah (Lela Manja, Semerah Padi).

6. Shariff Dol (Nujum Pak Belalang, Seniman Bujang Lapok, Anakku Sazali).

7. Sidek Hussein (Toyol, Langit Petang, Paku).

8. Datuk Rosyam Nor (Lenjan, Bara, Gerak Khas The Movie, Gangster, Castello, KL Gangster 2 ).

9. Yank Kassim (Libas, Dampak, Tokan).

10. Zakaria Yusof (Mekanik).


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP