HASRAT Alyah untuk bertudung tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Sebaliknya, ia datang tulus daripada hatinya. Penyanyi yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ini tampil dengan imej barunya itu tidak sampai setahun yang lalu.
Menurut Alyah hasratnya untuk berhijab sudah lama terpendam dalam sanubarinya. Namun, masa dan keadaan yang telah banyak menjadi penentu serta pendorong dalam menggapai niat murni penyanyi kecil molek ini.
Kata penyanyi berasal dari Gelang Patah, Johor ini azamnya untuk bertudung semakin kuat dan akhirnya terlaksana selepas dia pulang dari mengerjakan umrah di Mekah pada April tahun lepas. Mulai saat itu sehingga kini, tudung tidak pernah lekang menutupi kepalanya.
Saya memang sudah ada niat untuk bertudung sejak sekian lama dan keinginan itu semakin kuat selepas balik menunaikan umrah di Mekah pada tahun lepas. Itu adalah kali kedua saya pergi ke Mekah dan Madinah.
Kali pertama saya mengerjakan umrah adalah pada 2012. Selepas dua kali pergi ke Mekah, saya terus nekad untuk bertudung sampailah sekarang," ceritanya kepada Hits baru-baru ini.
Jelas Alyah sepanjang berada di Madinah dan Mekah, dia bukan sahaja banyak melakukan ibadah tetapi pada masa sama turut mendapat banyak ilham serta motivasi dalam usaha untuk mencapai niat sucinya itu.
Bukan setakat dua kali menjadi tetamu Allah di Tanah Suci itu, sebaliknya kalau boleh dia ingin mengunjungi lagi dua bandar suci bagi umat Islam tersebut.
Hajat di hati, saya mahu mengerjakan umrah pada setiap tahun. Malah, pada tahun ini pun saya ada niat untuk ke sana lagi yang mana kalau dapat pergi semasa bulan Ramadan. Ini kerana, pahala beribadah di sana pada bulan itu lebih besar lagi ganjarannya di sisi Allah.
Saya berasa tenang dan seronok semasa berada di Mekah dan Madinah. Biasanya kalau saya ke sana saya akan menghabiskan masa kira-kira dua minggu iaitu dalam lima hari di Mekah dan tujuh hari di Madinah.
Antara dua bandar itu saya paling suka dengan Madinah kerana keadaannya lebih tenang. Malah, Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda Madinah adalah bandar kesukaannya. Sebab itu tidak hairanlah baginda wafat dan disemadikan di sana," katanya.
Tidak halang menyanyi
Sungguhpun sudah 10 bulan bertudung tetapi itu tidak menghalang Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang nyanyian.
Malah, dia juga seakan-akan mendapat angin perubahan dalam kerjaya apabila mendapat maklum balas yang positif daripada keluarga serta peminatnya.
Keluarga saya memang menyokong perubahan yang berlaku pada diri dan imej saya. Ini kerana, dalam keluarga, lima orang kakak saya kesemuanya bertudung. Jadi, saya tidak rasa janggal dan ini mungkin melengkapkan lagi jumlah orang yang bertudung dalam keluarga saya.
Walaupun saya bertudung tetapi saya tetap Alyah yang dulu. Saya masih menyanyi dan mencari rezeki dalam bidang ini. Cuma imej saya sahaja yang berubah kerana ini adalah pilihan saya dan ia bukannya kerana dipengaruhi oleh sesiapa.
Saya juga sanggup menolak tawaran menyanyi kalau mereka mahu suruh saya buka tudung. Saya anggap menutup aurat lebih penting daripada mendapat bayaran berupa wang ringgit kerana balasan di akhirat itu lebih kekal abadi.
Bagi saya soal bertudung adalah peribadi dan saya tidak mahu menerangkannya secara terbuka kerana takut nanti orang kata riak pula. Sebab itu, jangan tanya mengapa saya bertudung kerana itu adalah rahsia antara saya dengan Tuhan," ujar anak kesembilan daripada 12 adik-beradik ini.
Ternyata bertudung tidak menjadikan popularitinya merudum, sebaliknya terus diminati ramai peminat kerana meskipun tampil dengan imej seperti itu tetapi dia tetap kelihatan anggun.
Malah, dia turut terkejut apabila namanya disenaraikan dalam Top 5 dalam Anugerah Bintang Popular bersama empat lagi penyanyi wanita popular tempatan iaitu Najwa Latif, Stacy, Yuna dan Shila Amzah.
Bukan setakat semakin popular, penyanyi berusia 33 tahun ini juga tidak menganggap berhijab menghalang dirinya untuk berfesyen dengan padanan gaya yang sesuai tetapi juga menjadi ikutan para peminatnya.
Sewaktu berada di Madinah dan Mekah saya memerhatikan anak-anak perempuan orang Arab di sana yang walaupun bertudung tetapi mereka juga masih boleh berfesyen. Contohnya, ada yang menggunakan pewarna kuku yang boleh digunakan dalam solat.
Tudung-tudung yang mereka pakai pun ada bermacam-macam corak dan warna yang mana semua itu sedikit sebanyak memberikan saya ilham dalam bertudung," katanya yang merupakan salah seorang peserta akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini.
0 comments:
Post a Comment