Sebanyak 253 syarikat rakaman berjaya mendapat geran pemadanan bagi penerbitan Video Muzik (MTV) yang dipohon pada tahun lalu melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim, berkata, ia merupakan dana yang diperkenalkan dalam bentuk geran di mana 50 peratus daripada kos keseluruhan pembikinan MTV akan dibiayai oleh pihak kerajaan.
"Geran ini juga merupakan sebahagian dana RM6.5 juta yang diberikan kepada industri muzik tempatan oleh pihak kerajaan di mana ia dapat digunakan bagi menghasilkan produk-produk muzik tempatan yang berkualiti.
"Dan setakat ini sebanyak 253 permohonan mendapat kelulusan itu. Setiap pemohon akan menerima RM15 ribu (untuk klip video tiga buah lagu).
"Ia meliputi kos pembikinan MTV seperti pengarahan, artistik, teknikal, set, kostum, penggunaan teknologi, suntingan serta perkara-perkara berkaitan," katanya.
Norman ditemui pada majlis penyerahan geran enam projek utama yang dilaksanakan di bawah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) di Hotel Royale Chulan Damansara di sini pada petang Selasa.
Enam projek tersebut adalah penganjuran delegasi perdagangan ke Marche International du Disque et de I'Edition Musicale (MIDEM) DI Cannes, Perancis, Penganjuran Dua Anugerah Industri Muzik (AIM) Mengikut Bahasa Cina dan India, Pemberian Geran Pembikinan MTV, Geran Sokongan Lawatan ke Luar Negara, Program Akreditasi Muzik dan penganjuran Forum Muzik.
Tambah Norman, di bawah Geran Sokongan Lawatan ke Luar Negara, sebanyak RM30,000 disediakan bagi memasarkan serta mempromosi produk muzik tempatan ke tahap antarabangsa di mana ia meliputi kos penerbangan, tempat tinggal, acara persembahan promosi dan sesi fotografi.
"Semua ini adalah untuk perkembangan industri muzik ke arah yang lebih berkualiti.
"Menerusi Forum Muzik juga, pihak kami bersama barisan pengamal muzik lain membincangkan isu-isu seperti Muzik Digital dan Pengedaran, Era Baru Percetakan Muzik, Media dan Muzik serta kekerapan anjuran konsert.
"Kesemua perbincangan tersebut akan dibukukan untuk dijadikan sebagai dasar industri muzik negara," ujarnya.
Sementara itu, majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil-wakil pihak syarikat rakaman serta beberapa penggiat muzik dan artis tempatan
0 comments:
Post a Comment