Loading...
Saturday, February 8, 2014

Aiman Fathia bebetul bercinta

AIMAN dan Fathia akhirnya berterus-terang bahawa mereka kini sebenarnya kekasih.


KETIKA drama bersiri Diandra mula ditayangkan pada tahun lalu, pelakon muda Aiman Hakim Ridza beberapa kali diasak mengenai status hubungannya bersama heroin drama tersebut, Nur Fathia Abdul Latiff.
Biarpun acap kali diasak soalan yang sama, setiap kali itu jugalah Aiman bertegas bahawa hubungannya bersama Nur Fathia hanyalah sekadar teman rapat. Malah pelakon berumur 25 tahun itu turut menyifatkan gosip percintaan mereka tidak ubah seperti cerita klise.
Sebelum ini kisah hati dua pasangan pelakon tersebut disimpan dengan harapan tiada siapa yang dapat menghidu percintaan mereka. Bagaimanapun, lama-kelamaan bau cinta itu sukar untuk ditutup sehinggakan pasangan itu mula berani menunjukkan kemesraan secara terang-terangan.
Buktinya, pada sidang media teater Bidasari yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam nada teruja Aiman mengesahkan, hubungan istimewa bersama Nur Fathia yang mula berputik setahun lalu sudah menjadi serius.
"Ada sebab mengapa saya tidak mendedahkan kisah percintaan saya bersama Nur Fathia. Saya tidak mahu terlalu terbuka kerana enggan melihat ibu bapa kami terluka.
"Namun kini, saya gembira untuk menyatakan bahawa Nur Fathia satu-satunya wanita yang bertakhta dalam hati dan saya serius tentang hubungan cinta ini.
"Paling mengharukan keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan kami, tapi soal jodoh itu urusan Allah. Dia yang akan menentukan jodoh saya dan Nur Fathia. Andai hubungan kami tidak berkekalan saya tidak sampai hati melihat keluarga kecewa," jelas Aiman yang pernah membintangi drama bersiri Vanilla Coklat.
Pasangan itu sengaja merahsiakan momen manis berkenaan kerana mahu menjaga nama keluarga kedua-dua belah pihak. Aiman yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti, Mentor 5 itu berkata, biarlah takdir yang menentukan segalanya kerana manusia hanya mampu merancang.
Tambah Aiman, dia dan Nur Fathia tidak suka untuk menghebahkan kisah peribadi kepada khalayak kerana bimbang perhubungan itu tidak mampu dikekalkan.
"Cinta itu indah namun ia tidak manis untuk dihebahkan secara terang-terangan memandangkan kami tiada sebarang ikatan yang sah. Biarlah kisah cinta ini antara kami berdua yang mengetahuinya.
"Lagipun menjaja kisah cinta bukanlah budaya keluarga kami kerana bimbang menjadi bualan yang kurang enak oleh orang sekeliling dan disalah erti," tegas Aiman menyerah soal jodoh kepada Tuhan.
Aiman dan Fathia pada malam ini akan berpasangan sebagai hero dan heroin selama lapan hari dalam produksi teater Bidasari di Istana Budaya.
Awalnya tidak yakin untuk menerima tawaran tersebut, namun atas semangat yang diberikan seluruh barisan produksi Aiman berani mencabar diri.
"Saya tidak yakin untuk berlakon teater tetapi alhamdulillah ada orang percaya pada bakat dan kemampuan saya. Kepercayaan itu menyuntik semangat untuk saya mengambil tanggungjawab dan berusaha memberikan yang terbaik," tutur Aiman yang mendapat watak berkenaan atas cadangan pengarah terkenal, Erma Fatima.
Meskipun terdapat beberapa cabaran yang sukar sepanjang membawa karakter sebagai Tengku Indra namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjayakan sebuah teater bersama kekasihnya Fathia.
Berkongsi pentas dengan kekasih juga bukan sekadar keseronokan sebagaimana yang difikirkan banyak pihak. Bagi Aiman, soal kerjaya dan cinta itu harus seimbang dan mereka perlu bersikap profesional. Tiada sebarang masalah sepanjang berada di atas pentas yang sama kerana sebelum ini pasangan itu pernah digandingkan bersama dalam drama Mahabbah dan Bunga Jodoh.
Teater Bidasari merupakan arahan Lokman Ghani. Ia akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 17 Februari ini. Selain Aiman dan Nur Fathia, teater tersebut turut dibintangi oleh Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azura, Hairul Azreen dan Radhi Khalid.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP