Penyanyi pop remaja, Justin Bieber dilanda masalah undang-undang, selepas dia kemungkinan menghadapi pertuduhan merosakkan harta jirannya, di sini serta satu siasatan berhubung tingkah laku membabitkan rombongannya menganggu krew penerbangan semasa dalam penerbangan, yang bermula, semalam.
Menurut laporan The Hollywood Reporter, pendakwa raya sedang menimbang untuk mendakwa penyanyi kelahiran Kanada berusia 19 tahun itu atas perbuatan melontar telur, selepas Jabatan Syerif Daerah Los Angeles mencadangkan pertuduhan feloni ke atasnya.
Bieber didakwa merosakkan rumah jirannya di kawasan berpagar di Calabasas, California pada 9 Januari lalu mengakibatkan kerugian berjumlah AS$20,000 (RM66,529).
Pasukan penyiasat dari stesen Syerif Malibu menyerahkan kertas siasatan vandalisme itu kepada pejabat Peguam Daerah Los Angeles bagi pertimbangan untuk memfailkan kes jenayah, kata seorang jurucakap portal tersebut.
Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat dalam pada itu sedang menyiasat dakwaan Bieber dan rombongannya menganggu tugas krew penerbangan dalam satu penerbangan peribadi dari Kanada ke Teterboro, New Jersey.
Media AS pada minggu ini melaporkan, Bieber, bapanya dan 10 yang lain bertindak di luar kawalan semasa dalam penerbangan itu dengan mengganggu krew dan mengabaikan arahan kapten pesawat hingga mengakibatkan seorang atendan penerbangan terpaksa berlindung di dalam kokpit pesawat.
Bieber dan rakan-rakannya dilaporkan terus menghisap ganja di dalam kapal terbang itu, walaupun selepas anak-anak kapal meminta mereka menghentikan perbuatan itu.
Juruterbang juga terpaksa memakai topeng oksigen kecemasan ekoran kepulan asap ganja dikhuatiri menyebabkan beliau gagal ujian dadah, menurut laporan itu. - DPA
0 comments:
Post a Comment