Pelakon Anne Ngasri atau nama sebenar, Nasriah Ngasri, 30, mengakui tidak lagi mengejar populariti sebagai selebriti seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini.
Anne, 30, berkata, populariti bukan keutamaan tetapi sudah memadai bakat lakonannya masih diminati orang.
"Bagi saya populariti bukan ukuran. Apa yang penting adalah bakat kita masih diminati. Itu sudah cukup.
"Saya juga mahu lakonan saya menjadi contoh kepada orang lain. Saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang," katanya kepada mStar Online.
Anne mendirikan rumah tangga dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan, 42, pada 22 Disember 2012.
Menerusi perkahwinan itu, Anne dan Sumali dikurniakan seorang anak lelaki Sufi Harraz yang kini berusia lima bulan.
Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Abdul Warits, 8, Abdul Wafri, 6, dan Nazharah Afrozah, 4.
Sumali pula mempunyai seorang anak lelaki, Sufian Hakim, 9, hasil perkahwinan terdahulunya.
Dalam pada itu menurut Anne, dia kini meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam hidup berbanding untuk terlibat secara serius dalam bidang seni.
"Kerjaya jatuh nombor dua, apa yang lebih penting adalah beri fokus kepada keluarga terlebih dahulu. Lagipun, anak-anak saya semakin membesar dan sudah bersekolah. Saya perlu sediakan segala kelengkapan mereka.
"Kehidupan sekarang lebih indah. Saya bahagia di samping suami dan anak-anak. Suami pula seorang yang memahami dan sentiasa menyokong saya.
"Alhamdulillah, anak-anak saya semua sihat. Anak yang keempat sekarang sudah berusia lima bulan manakala tiga lagi sudah bersekolah," katanya.
Bukan saja bergelar pelakon, Anne turut memegang jawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Bintang selepas memenangi pemilihan bahagian tersebut tahun lalu.
"Saya sebenarnya sudah lama terlibat dalam politik iaitu sejak 2003 lagi. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menerajui pergerakan Puteri Bahagian Bukit Bintang pada kali ini," katanya.
Ketika ditanya bagaimana dia membahagikan masa untuk kerjaya dan tugas sebagai ibu dan isteri, Anne berkata, dia tidak mempunyai masalah dari segi pengurusan masa.
Mengenai perkembangan terbaharu, Anne kini sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Nota Untuk Sang Awan yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.
Anne turut menjadi duta produk kesihatan dan kecantikan, Glutacell sejak Oktober tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment