Skool of Lawak yang akan bersiaran pada 14 Februari ini.
Astro Warna bakal memperkenalkan program realiti komedi terbaharu berjudul
Bertemakan Komedi Ada Kelas, program ini akan memaparkan pencarian pelawak baharu yang menerapkan elemen pembelajaran ala di sekolah.
Menurut Pengurus Saluran Astro Warna iaitu Rostam Said, misi program ini bukan sahaja untuk melahirkan pelapis yang mampu membuatkan penonton terhibur tetapi boleh menulis dan merangka struktur sesebuah komedi.
"Dalam erti kata lain, program ini bakal menjadi platform untuk melahirkan artis komedi serba boleh yang mempunyai kelas dan standard yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan gandingan pengacara, pengetua, barisan tenaga pengajar dan peserta program tersebut di Hotel Istana di sini, petang Rabu.
Jelas Rostam, dalam program ini para peserta akan didedahkan dengan cara untuk menguasai pentas terutamanya menangani perasaan gugup ketika berhadapan dengan penonton.
"Mereka juga akan diajar cara untuk berinteraksi dengan pasangan masing-masing kerana keserasian amat penting untuk membentuk gandingan yang mantap," katanya.
Menerusi rancangan ini, seramai 29 peserta lelaki dan empat wanita terpilih daripada sesi uji bakat yang diadakan di lima lokasi di seluruh negara.
Rostam berkata, mereka yang terpilih turut didedahkan dengan sketsa komedi, penulisan sketsa komedi, asas dan struktur komedi serta tip untuk melakukan sketsa menerusi bengkel Komedi Warna yang diadakan sebelum ini.
"Kesemua peserta akan diberikan tugasan tertentu secara individu mahupun berkumpulan selama 10 minggu berlandaskan format komedi yang ada kelas," katanya.
Dari segi pemarkahan, Rostam berkata para peserta akan dinilai berdasarkan cara persembahan dan nilai komedi pada setiap minggu.
"Berbeza dengan cara pemarkahan Raja Lawak iaitu melibatkan 100 peratus undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), program ini membabitkan 70 peratus markah juri dan 30 peratus lagi menerusi SMS," katanya.
Lebih menarik, program kali ini turut menampilkan gandingan baharu dua pelawak terhebat iaitu Johan dan Jepp (Sepahtu) yang lahir menerusi program Raja Lawak Astro selaku pengacara peperiksaan mingguan manakala Yus (SYJ) sebagai pengacara jurnal harian.
Sementara itu, pengarah filem Othman Hafsham, 75, bertindak selaku pengetua program ini manakala pelakon terkenal, Fauziah Nawi, pelawak Sabri Yunus dan komposer Khir Rahman dilantik sebagai tenaga pengajar.
Selain Astro Warna (Saluran 132) rancangan ini boleh juga ditonton menerusi Mustika HD (Saluran 134) bermula pukul 10 malam.
0 comments:
Post a Comment