Baizura atau nama sebenar Norbaizura Ahmad Kahar, 32, berkata, dia lebih yakin untuk menghasilkan penulisan skripnya untuk diberikan kepada mana-mana produksi drama atau filem.
"Alhamdulillah, saya tidak sangka skrip saya terpilih untuk memenangi pertandingan ini dan saya harap ia akan membuka mata orang ramai terhadap kemampuan saya dalam bidang ini.
"Ketika saya berlakon dahulu pun saya minat untuk menulis cuma tiada keberanian untuk memberi hasil tulisan tersebut kepada mana-mana pihak," katanya kepada mStar Online,pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Penulisan Skrip Filem Pendek di Pawagam Mini P.Ramlee, Finas, di sini pada Khamis.
Baizura sebelum ini pernah memenangi kategori Aktres Terbaik pada Anugerah Skrin 2008 melalui filem Sepi.
Bagaimanapun, wanita ini mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia lakonan bagi menumpukan perhatian kepada keluarga.
"Saya lebih berminat dalam bidang penulisan berbanding lakonan, tapi ketika itu ramai yang memperkecilkan bakat pelakon seperti saya.
"Mereka anggap pelakon tidak pandai menulis skrip, namun sebenarnya jika dilihat daripada latar belakang pendidikan saya ialah ijazah dalam bidang pengajian media dan komunikasi serta seni persembahan di Universiti Malaya," katanya.
Dalam pada itu, ditanya tentang dunia lakonan, Baizura berkata, dia tidak berminat untuk kembali beraksi di hadapan kemera seperti dahulu.
Jelasnya, pengalaman sebagai pelakon dijadikan sebagai panduan untuk dia berkarya.
"Skrip saya menang mungkin kerana karyanya berbeza dengan orang lain dan saya mempunyai pengalaman sebagai pelakon.
"Insya-Allah saya akan teruskan bidang ini dan cuba menulis skrip lebih baik," katanya yang kini sedang sarat mengandung cahaya mata kedua selepas mendirikan rumah tangga dengan Wan Mohd Arif pada 2010.
Baizura memenangi pertandingan tersebut dengan skrip filem pendek berjudul The Journey.
Sementara itu, dua pemenang lain ialah Mohammad Fathil Ahmad Shahab dan Jeffry Chiang dengan skrip berjudul Khatan dan Joshua Nawan Ng (Andy & Violet)
Ketiga-tiga pemenang ini membawa pulang wang tunai sebanyak RM 3,000 dan Samsung Galaxy Note 10.1.
Pemenang turut berpeluang memfilemkan skrip tersebut oleh A Next Star Production untuk dibawa ke Festival Filem Antarabangsa.
Pertandingan yang bermula pada 6 September tahun lalu diadili oleh juri-juri profesional iaitu pelakon antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh, Pemenang Academy Award, Roger Christian, Eksekutif Produser, Jef Lim dan Pengarah Filem, Harun Rahman.
Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan.
0 comments:
Post a Comment