Pelakon Cristina Suzanne berasa pelik apabila sebuah akhbar melaporkan kehadiran semulanya dalam bidang lakonan tidak disenangi oleh seorang artis lelaki.
Cris atau nama sebenarnya Cristina Suzanne Stockstill, 29, berkata, dia terkejut dengan laporan berkenaan kerana pada asasnya dia tidak pernah bermusuhan dengan mana-mana pelakon.
"Sehingga laporan itu keluar saya sendiri tidak pernah mengetahui ada seorang pelakon lelaki yang tidak senang dengan saya malah saya juga tidak kenal dengan mana-mana pelakon yang namanya bermula dengan huruf 'M'.
"Saya terkejut dan pada masa sama berasa pelik kerana saya tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Dalam laporan akhbar mingguan tersebut, lelaki berkenaan dikatakan turut mengugut Cristina supaya berdiam diri daripada bercerita kepada wartawan mengenai kerjaya dan perihal peribadinya.
Cris bagaimanapun menyangkal pernah diugut oleh mana-mana pihak berhubung perkara itu.
Sementara itu, Cris berkata, jika benar ada individu yang tidak berpuas hati dengannya dia meminta supaya pihak tersebut menghentikan perbuatan sia-sia berkenaan.
Kata Cris, sepanjang melibatkan diri dalam bidang lakonan dia tidak pernah mengganggu periuk nasi mana-mana artis apatah lagi memusuhi mereka.
"Alhamdulillah setakat ini saya tidak pula bermusuhan dengan sesiapa dan sekiranya gosip berkenaan benar harap-harap pihak itu menghentikan perbuatan tersebut kerana ia tidak berfaedah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Cristina berkata dia bakal memasuki set penggambaran drama bersiri berjudul Silir Kasih Bella arahan Heykal Hanifah sebanyak 26 episod tidak lama lagi.
0 comments:
Post a Comment