Sebelum ini, kedua-duanya sering menafikan khabar angin mengenai perhubungan cinta mereka, malah hanya akui berteman baik.
Namun menyedari perkara itu sering menjadi tanda tanya pelbagai pihak, akhirnya Aiman dan Fathia membuat keputusan tidak mahu terus menyembunyikannya lagi.
Akui sedang menjalinkan hubungan yang serius, Aiman bagaimanapun memberitahu, mereka memiliki alasan tersendiri tidak menghebahkan perkara itu.
“Kami memang serius sejak setahun lalu. Sebenarnya, saya tidak berniat untuk sembunyikan perkara ini daripada pengetahuan umum, cuma saya mahu menjaga hati keluarga saya dan juga keluarga Fathia sendiri.
“Lagi pun saya rasa tidak elok jika hal peribadi seperti ini terlalu ditonjolkan kerana kami hanyalah merancang dan hanya Tuhan yang tentukan.
“Jadi semuanya belum pasti dan saya takut kalau perkara ini tidak berlaku seperti yang dirancang, ia akan mengguris hati keluarga. Sebab bila sudah dihebahkan, pasti ramai yang akan bercakap,” jelasnya ketika ditemui sidang media Teater Bidasari di Istana Budaya, kelmarin.
Pada masa sama, Fathia yang sebelum ini dilihat terlebih dahulu membuka mulut mengenai perkara itu akur untuk mengakui kisah percintaan mereka.
“Sebenarnya saya tidak mahu terlalu mendedahkan hubungan ini dan kalau boleh biarlah karier saya sebagai pelakon diutamakan.
“Tapi bila ramai yang asyik tanya mengenai perkara ini, saya akur. Tambahan pula sudah ramai yang bercakap, jadi saya pun beritahu perkara yang sebenar,” katanya yang mengakui rapat dengan Aiman sejak bergandingan menerusi drama Diandra, siaran TV3.
Aiman cabar diri sendiri
Beralih pada karier lakonan, pasangan ini sekali lagi bakal digandingkan bersama menerusi pementasan Teater Bidasari yang akan di persembahkan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 17 Februari ini.
Pertama kali terlibat dengan pementasan teater, Aiman akui agak gementar untuk beraksi di pentas itu nanti memandangkan banyak perkara yang perlu dipelajarinya.
“Pada awal ditawarkan untuk terlibat sama dalam teater ini, memang saya tidak ada keyakinan sebab tidak ada pengalaman dalam lakonan teater.
“Tapi bila pengarah dan pelakon lain beri semangat dan kepercayaan, jadi saya ambil tawaran ini sebagai satu cabaran.
“Saya percaya setiap kelemahan pasti ada kelebihan dan saya ambil cabaran ini dari sudut positif dan Insya-ALLAH, saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.
Memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pementasan kali ini, Aiman akui seni silat dan dialek Bangsawan adalah cabaran besar buat dirinya untuk kuasai wataknya sebagai Tengku Indra.
“Saya memang tidak pernah ada asas silat, jadi itu masalah besar saya.
“Boleh dikatakan, setiap masa saya akan cuba berlatih silat dan harap-harap ia akan menjadi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment