Loading...
Tuesday, February 4, 2014

Lisa diganggu zizan

Pernah diuji dengan watak yang lebih mencabar berbanding peranan Linda dalam filem Cicakman 3 yang kini dalam proses pembikinan, namun bagaikan ada kesulitan membawakan peranan itu.
Menurut Lisa Surihani Mohamed (Lisa), 28, kesukaran utama yang dihadapinya kerana harus berpasangan dengan pelakon komedi juga pengacara popular, Razizan Abdul Razak (Zizan). 
“Susah berlakon dengan Zizan kerana tengok mukanya saja, saya nak ketawa. Watak saya iaitu Linda dibayangkan seorang yang serius, tetapi setiap kali berada dalam set penggambaran khususnya membabitkan babak berdua dengan Zizan, usaha saya untuk menjiwai karakter itu sering kali gagal.

“Walau cuba mengawal emosi selalu saja saya tertewas. Sampaikan Zizan menjadi mangsa ‘buli’ kerana terlalu geram gara-gara muka dan karakternya mengganggu tumpuan saya menghayati watak selain berulang kali terpaksa mengulangi dialog.

“Kalau ikutkan, memang begitulah watak yang dituntut menerusi karakter Zizan sebagai Man. Cuma yang bermasalah sekarang adalah saya kerana jenis tidak mampu tahan ketawa. Disebabkan itu, saya merasakan watak Linda sungguh mencabar kerana perlu berdepan dengan Man, suaminya yang berperwatakan gila-gila,” katanya.

Cicakman 3 mengisahkan Man, peminat tegar Cicakman yang berperwatakan kebudak-budakan. Dia melakukan pekerjaan perkhidmatan bebas, gemar mengumpul pelbagai memorabilia Cicakman dan suka bermain ‘games’.

Bosan dengan sikap tidak bertanggungjawab Man, isterinya Linda membuat keputusan untuk meninggalkannya bersama anak lelaki mereka, Boboy yang berusia 8 tahun.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila kawan lama Linda, Adam cuba memenangi semula hatinya. Man berjaya menemui penyelesaian dalam konflik hidupnya selepas menjumpai kotak yang mengandungi barang-barang milik Cicakman.

Bercerita mengenai pengalaman berlakon di bawah arahan suaminya sendiri iaitu pengarah kreatif, Yusry Abdul Halim, tidak dinafikan pada peringkat awal Lisa kekok walaupun mereka berdua pernah digandingkan bersama menerusi filem berjudul Ular arahan Jason Chong.

Jelas Lisa, perkara paling dibimbangkan sekiranya dimarahi Yusry kerana mengakui dirinya manja lebih-lebih lagi dengan suaminya.

“Kalau ditegur pengarah lain mungkin tidak begitu terasa, tetapi kalau suami sendiri mungkin cepat sentap. Mulanya kami berdua agak bimbang dengan hal ini dan tidak dinafikan peringkat awal penggambaran saya sendiri berasa kekok.

“Rasa macam janggal apabila Yusry memanggil saya dengan nama Linda di set penggambaran kerana selalunya dia panggil sayang. Tetapi ada satu situasi ini, Yusry terlepas memanggil saya sayang sebelum memperbetulkan semula kepada nama Linda.

“Kebanyakan pengarah akan memanggil nama watak selagi berada di set penggambaran kerana mereka mahu pelakon terus menghayati karakter masing-masing, selesai saja ‘shooting’ saya mahupun Yusry, kami berdua menyapa dengan gelaran istimewa masing-masing.

“Terus-terang, kami berdua tidak menyangka dapat bekerjasama di mana Yusry sebagai pengarah dan saya pula berlakon. Kami bimbang jika berlaku perselisihan.

“Alhamdulillah, segala-galanya okey,” katanya bakal memasuki set penggambaran filem arahan Osman Ali dan Bernard Chauly, sebaik saja penggambaran Cicakman 3 selesai pada Mac ini.

Menghala topik rakan baiknya, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya yang bakal menimang cahaya mata tahun ini, Lisa sangat gembira dan teruja sewaktu dimaklumkan mengenai berita itu oleh Awal.

“Mereka berdua antara sahabat yang cukup dekat di hati saya. Walaupun ketika Awal memaklumkan Scha disahkan mengandung, tetapi mereka berdua belum sedia berkongsi dengan umum kerana Scha masih di peringkat awal kehamilan, saya mendoakan keadaan Scha baik-baik saja.

“Cuma yang tidak seronoknya apabila ada segelintir peminat menyindir saya dan Yusry, bila lagi nak dapat anak sejurus berita kehamilan Scha didedahkan kepada umum.

“Saya sebenarnya tidak kisah sangat soalan seperti itu, namun yang membuatkan hati saya sedikit terguris apabila ada yang mengajukan soalan ‘kenapa saya sampai sekarang belum mengandung, apakah saya bermasalah?’

“Pertanyaan seperti ini mengguris hati saya, kerana mereka seakan lupa bahawa semua itu ketentuan Yang Maha Esa. Cepat atau lambat menimang cahaya mata adalah perkara normal,” katanya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP