Penerbit rancangan hiburan Propaganza Wan Atiya Wan Ibrahim, 26, berkata program berkenaan akan tamat pada Ahad ini bagi musim ketiga.
Ia bersiaran pada setiap Ahad pukul 12 tengah hari di Astro Ria.
Wan Atiya berkata, rancangan tersebut akan berehat buat sementara waktu sebelum disambung semula bagi musim seterusnya.
"Ahad ini merupakan episod terakhir untuk musim ini yang mana kita sudah bersiaran selama 26 episod secara keseluruhannya.
"Bagi musim baru pula masih belum ditentukan lagi kerana kita perlu menunggu kontrak daripada pihak Astro kerana ia adalah kerjasama antara KRU Studio dengan Astro Ria," katanya kepada mStar Online .
Rancangan hiburan Propaganza telah bersiaran bagi musim ketiga bermula pada Oktober 2013 yang menampilkan Marsha Milan Londoh dan Johan Raja Lawak sebagai pengacara.
Tambah Wan Atiya, mengikut rating pada musim ketiga ini menyaksikan ia lebih tinggi berbanding musim pertama dan kedua.
Katanya, sebagai sebuah rancangan hiburan berbentuk majalah yang baharu, ia satu pencapaian yang sangat membanggakan.
"Pihak Astro berpuas hati dengan rating kami yang mencapai hampir 230,000 setiap episod.
"Selain memberi informasi terkini tentang dunia hiburan, gandingan pengacara Johan dan Marsha turut menjadi daya penarik," katanya.
Dalam pada itu, Wan Atiya turut menafikan dakwaan kontrak program itu tidak akan disambung.
0 comments:
Post a Comment