Loading...
Wednesday, February 19, 2014

Amy Mastura terpilih sebagai hos ABP

BIARPUN kelibat pelakon dan penyanyi kecil molek ini jarang dilihat di kaca televisyen (TV), namanya tetap menjadi sebutan ramai.

Jika tidak, masakan namanya boleh menjadi pilihan untuk mengendalikan anugerah berprestij, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2013), bergandingan dengan pengacara popular, Fara Fauzana yang akan berlangsung di Arena All Stars, Genting Highlands pada 6 April depan.

Mengakui agak terkejut dengan pengumuman tersebut, Amy Mastura Suhaimi tidak menyangka ABPBH 2013 memilihnya sebagai pengacara apatah lagi popularitinya sebagai artis tidak segah nama-nama besar lain.

Baginya, pelawaan itu adalah satu penghormatan buatnya sebagai anak seni.

"Saya terkejut apabila dipelawa untuk mengacarakan program ini. Tapi, pada masa sama, saya teruja dapat bersama-sama memeriahkan majlis ini.

"Peluang ini akan digunakan untuk bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak bertanya khabar," katanya pada media ketika ditemui pada majlis pengumuman pengacara, penyampai trofi dan persembahan ABPBH 2013, kelmarin.

Biarpun teruja dengan pelawaan itu, pelakon utama Puteri Impian ini juga tidak boleh lari dari perasaan gementar.

Begitu pun, pelantun Bintang Hati ini tetap bersedia menerima sebarang kritikan.

Apatah lagi, kata Amy, kali terakhir dia mengacarakan acara besar adalah kira-kira 15 tahun lalu menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL) bersama-sama Datuk Aznil Nawawi.

"Ini kali pertama saya mengacarakan ABPBH. Perasaan gementar itu sudah tentu ada apatah lagi ABPBH adalah sebuah anugerah popular dan dinanti-nantikan.

"Saya terimanya kerana saya ingin mencuba, tetapi saya sedar, ada tanggungjawab berat menanti," katanya.      

Pelakon drama Toll Gate Girl ini turut berjanji akan memberikan komitmen sebaik mungkin pada malam kemuncak itu.

"Saya sahut cabaran mengacarakan anugerah berprestij itu. Saya yakin dapat memberikan persembahan terbaik atas kepercayaan pihak penganjur.

"Mungkin saya akan minta tunjuk ajar dari Fara yang sudah biasa mengendalikan acara berprestij sebegini," katanya.


Tolak pembedahan plastik

Walaupun sudah berusia 42 tahun, Amy masih kelihatan cantik dengan susuk tubuh yang ramping. Pendek kata, biarpun sudah berusia, Amy masih menawan dan berada dalam kelas kecantikannya yang tersendiri.

Apatah lagi, tanpa perlu mengenakan solekan tebal, Amy masih mampu menarik perhatian peminat atau sesiapa sahaja.

"Tiada sebarang rahsia kecantikan. Saya sedar, saya beransur ke arah lebih tua.

"Apa yang saya buat, saya lebih selesa bersederhana dalam semua segi. Makan, minum, senaman, semuanya secara sederhana.

"Saya juga tak ambil sebarang suplemen tapi sekarang kena fikir apa suplemen yang bersesuaian," katanya sambil tertawa.

Dalam pada itu, Amy turut mengulas mengenai sikap segelintir selebriti yang gemar melakukan pembedahan kosmetik dalam mengekalkan kecantikan.

"Perkara ini terpulang pada individu. Mungkin mereka rasa yakin dan cantik dengan cara begitu selain bahagia," katanya sambil memberitahu dia tidak akan sesekali berbuat perkara demikian.

Selain sibuk menguruskan keluarga, Amy memberitahu, sebagai mengubat rindu pada karier seninya, dia akan menerima tawaran yang bersesuaian.

"Saya baru saja habis menjalani penggambaran ‘Latte @ Kopi Tarik’ dan kini dalam perancangan untuk melancarkan single terbaru tidak lama lagi," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP