Loading...
Thursday, February 20, 2014

1 Juta Dengar Ceria Pagi Kendalian Adibah Noor & Halim Othman

Rancangan Suria Pagi, kendalian Halim Othman dan Adibah Noor di Suria FM berjaya meraih rating 1 juta pendengar sejak kedua-dua pasangan itu digandingkan bermula 4 Februari 2013.
Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, strategi menggandingkan Adibah dan Halim ternyata membawa kejayaan kepada stesen itu kerana mereka mempunyai keserasian untuk mengendalikan segmen berkenaan.
“Kami berasa amat rendah diri apabila Adibah Noor telah mencapai umur setahun di Suria FM dan sudi untuk menyambung kariernya di stesen radio ini. Apa yang saya lihat,chemistry antara Halim dan Adibah semakin hari semakin baik dan itulah yang membuatkan pendengar memberi sokongan kepada kami,” katanya kepada mStar Online.
Sementara itu Adibah turut melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang buat pertama kalinya menjadi deejay radio selain merasai pengalaman baharu bekerja dalam dunia penyiaran.
Katanya, dalam tempoh setahun ini dia banyak mempelajari perkara baharu yang tidak pernah difikirkannya selama ini termasuklah bertugas bersama Halim.
Sibuk berceloteh di studio.
“Saya berasa gembira diberi peluang untuk mengendalikan Ceria Pagi dan amat berterima kasih kepada Suria FM. Ini merupakan kali pertama saya bertugas sebagai penyampai radio dan juga kali pertama berganding dengan Halim. Pejam celik, sudah setahun,” katanya.
Dalam pada itu Halim pula menyifatkan keserasiannya bersama Adibah antara faktor dia melihat bagaimana segmen berkenaan berjaya menarik perhatian pendengar.
“Saya amat bangga dengan keserasian kami dan itu merupakan faktor yang menarik pendengar ke Ceria Pagi. Dalam tempoh setahun ini, Adibah mempelajari bagaimana untuk mengendalikan segmen berbeza di Ceria Pagi,” ujarnya.
Ceria Pagi yang ke udara pada hari Isnin hingga Jumaat selama lima jam bermula pukul 5 pagi.

Antara segmen menarik menerusi rancangan itu ialah Seribu Seminit, di mana pendengar boleh memenangi sebanyak RM1,000 apabila menjawab sepuluh soalan dengan betul.
Selain itu, pendengar juga dapat mempelajari perkataan baru dalam segmen Perbendaharaan Kata selain segmen Dalam Tweet Pilihan apabila deejay membacakan mesej yang dikirimkan pendengar menerusi laman sosial berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP