BARU-BARU ini kecoh mengenai berita pelakon Hanez Suraya yang bakal berkahwin pada tahun ini dengan seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun. Walaupun tidak mendedahkan gerangan bakal suami dan tarikh perkahwinannya, pelakon berusia 29 tahun itu mengakui dia kini sudah bersedia untuk bergelar isteri.
Selain mendapatkan penjelasan lanjut daripada Hanez sendiri berhubung perkara tersebut, Kosmo! yang kebetulan bertemu dengan bekas kekasih Hanez, Awi Rafael pada majlis sambutan Propaganza Wrap Party di Hotel Residence Bangi, Selangor turut meminta komen daripada penyanyi kelahiran Singapura itu.
Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama penyanyi yang kini popular dengan lagu kolaborasinya bersama Altimet, Kalau Aku Kaya itu.
Selain itu, Awi juga mendedahkan, dia telah mencipta sebuah lagu untuk penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Kosmo!: Apakah perasaan Awi apabila mendengar cerita mengenai Hanez yang bakal berkahwin tidak lama lagi?
AWI: Saya tidak tahu Hanez mahu berkahwin. Tetapi, saya bersyukur kepada Allah dan sangat gembira bagi pihak dia.
Selama ini adakah Awi sedar Hanez sudah mempunyai kekasih?
Hubungan kami okay sahaja tetapi kami tidak pernah berjumpa atau berbual menerusi telefon bercerita mengenai hal masing-masing. Kali terakhir, saya berjumpa dengan dia (Hanez) adalah pada majlis Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) baru-baru ini.
Bagaimana pula dengan diri Awi. Sudah ada pengganti selepas putus dengan Hanez?
Saya masih solo dan saya selesa dengan keadaan itu. Sebabnya, saya mempunyai ramai kawan.
Lagu Kalau Aku Kaya berjaya menang di tempat ketiga dalam AJL28. Kemenangan tersebut membuatkan Awi dan Altimet berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000. Apakah yang Awi lakukan dengan duit kemenangan tersebut?
Saya laburkan pada syarikat produksi milik saya sendiri iaitu Runaway Production.
Boleh kongsikan mengenai syarikat Awi itu?
Syarikat tersebut sudah beroperasi sejak setahun yang lalu. Buat masa ini, saya sedang mencari bakat-bakat baharu dalam bidang lakonan untuk produksi saya itu. Runaway Production juga buat pertama kalinya akan menghasilkan filem Bravo lakonan Remy Ishak dan Beto Kusyairy. Filem itu juga adalah kerjasama Runaway Production dengan syarikat Karya Prima. Selepas itu, Runaway Production juga akan menghasilkan sebuah filem komedi berjudul, Tuli Sekampung.
Adakah Awi bakal berlakon di bawah produksi sendiri?
Sebenarnya ramai yang tanya bila saya mahu berlakon. Sejujurnya, saya suka bekerja di belakang tabir (dalam bidang lakonan) sahaja. Saya juga lebih cenderung ke arah pengurusan sahaja.
Adakah Hanez akan menjadi pelakon pilihan dalam produksi milik Awi itu?
Malaysia ramai lagi artis wanita lain yang cantik dan berbakat.
Bagaimanakah pula dengan perkembangan karier nyanyian Awi sekarang?
Sekitar bulan April tahun lalu, saya telah dipilih oleh Datuk Siti Nurhaliza dan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) untuk mencipta lagu bagi album pop terbaharunya.
Apakah lagu yang dicipta Awi untuk Siti?
Saya telah mencipta sebuah lagu untuk dia yang berjudul Mula dan Akhir. Lagu tersebut sesuai dengan diri dan keperibadian Siti. Lagu itu menceritakan tentang perjuangan hidup seseorang daripada mula hingga akhir.
0 comments:
Post a Comment