Loading...
Tuesday, February 18, 2014

Jamal, Nas Adila tidak kekok

SEKITAR bulan November tahun lalu, timbul desas-desus menyatakan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah telah merancang untuk melamar penyanyi kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia 7, Nas Adila.
Bagaimanapun, gosip itu telah ditepis oleh kedua-dua penyanyi itu dan menyifatkan perkara itu sekadar khabar angin.
Sempena majlis makan malam Raikan Hari Ibu bersama Datuk Jamal Abdillah pada 11 Mei nanti, kedua-dua penyanyi itu dijadualkan bakal berkongsi pentas sekali lagi.
Tidak risau dengan andaian yang akan timbul usai keputusan yang dibuat oleh mereka untuk kembali bergandingan, kata Jamal, dia selesa untuk membuat persembahan nyanyian dengan sesiapa saja termasuk Nas Adila.
“Secara profesionalnya, saya selesa dengan sesiapa, tapi saya terkejut apabila penganjur memilih Nas Adila untuk berkongsi pentas dengan saya memandangkan beberapa insiden sebelum ini.
“Tapi sekiranya pilihan untuk menggandingkan kami berdua adalah satu rangka promosi yang mampu melariskan jualan tiket, saya rasa ia berkesan,” katanya yang ditemui di Dewan N’Dah Mahligai, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Panaskan gosip
Ditanya adakah situasi berganding bersama Nas Adila akan memanaskan kembali cerita hangat sebelum ini, Jamal tidak khuatir memandangkan perkara yang digembar-gemburkan sebelum ini tidak sahih.
“Saya tiada rasa apa-apa dan lebih baik saya ketepikan isu peribadi. Ini satu tuntutan saya sebagai seorang penyanyi malah, sebelum keluar gosip mengarut itu pun kami sudah banyak kali berkongsi pentas sejak dia berusia 17 tahun lagi.
“Saya mempunyai hak untuk tidak mengulas lebih lanjut berhubung isu saya melamar Nas Adila sebelum ini. Saya selesa sebagai diri dan status saya sekarang dan belum ada perasaan untuk berkahwin dalam masa terdekat,” ujarnya.
Selepas 10 tahun memangku status duda apabila tiga perkahwinannya sebelum ini bersama Basariah Latif, Intan Nur Aina dan Fatimatuzahra Samat musnah, Jamal tidak meletakkan sebarang harapan terhadap situasi yang membabitkannya dengan Nas Adila.
MAJLIS Raikan Hari Ibu bersama Datuk Jamal Abdillah akan dihoskan oleh Jihan, sementara Nas Adila menjadi penyanyi undangan.


“Daripada pengalaman sebelum ini saya rasa saya tidak layak untuk menjadi ketua keluarga yang lengkap apatah lagi bergelar suami. Tanggungjawab itu besar untuk dipikul.
“Saya juga tidak meletakkan sebarang harapan. Apa yang saya lalui hanya saya yang tahu dan saya percaya Nas Adila seorang artis yang memahami,” katanya.
Nas kagumi Jamal
Dalam pada itu, tidak terusik dengan gosip sebelum ini, tegas Nas Adila atau nama sebenarnya Nas Adila Mohd. Dan, 27, dia enggan memanjangkan cerita.
“Saya tidak nafi atau tidak mengiyakan tapi saya tidak mahu komen lebih-lebih. Saya tidak kisah kalau dikaitkan lagi tapi saya melakukannya atas dasar kerja.
“Ini kali pertama kami kembali menyanyi bersama selepas timbul gosip itu. Perkara yang lepas biarlah lepas, sebab khuatir nanti nampak saya pula yang berlebih-lebih.
“Tidak mengapa andai gosip itu dipanaskan semula asalkan tidak menjatuhkan maruah saya sebagai seorang wanita. Mungkin gosip itu timbul pun daripada peminat yang terlalu taksub dan mahukan kami bersama,” ujarnya.
Nas Adila turut menafikan situasi yang membabitkannya dengan Jamal sebelum ini atas niat untuk dia menumpang populariti penyanyi itu.
“Saya minat dengan suara Jamal dan perlu fikir panjang untuk menjadi teman hidup dia. Saya mengambil keputusan untuk berdiam diri kerana saya tidak mahu dituduh cuba menumpang popularitinya,” jelas Nas Adila lagi.
Nas Adila dan Jamal pernah membuat persembahan bersama di Seremban, Negeri Sembilan sebelum bergandingan sekali lagi sempena Konsert Ekstravaganza di Istana Budaya dan sebuah persembahan di Terengganu tahun lalu.
Sementara itu, sempena majlis makan malam Raikan Hari Ibu bersama Datuk Jamal Abdillah, Jamal akan mempersembahkan rangkaian lagu hit antaranya Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Gadis Melayu, Azura dan Penawar Kasih.

Nas Adila pula akan menyanyikan tiga buah lagu termasuk sebuah lagu duet bersama Jamal sementara Jihan Raja Lawak dilantik selaku pengacara.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP