SETELAH berjaya mendapat sambutan yang hangat pada siri penganjurannya tahun lalu, Konsert Twin Towers @Live kembali pada tahun ini dan bakal menampilkan penyanyi bersuara lantang dari Amerika Syarikat (AS), Christina Aguilera.
Ketua Pegawai Eksekutif Live At Work Sdn. Bhd., Norhayati Ismail berkata, Christina dipilih sebagai teraju utama Konsert Twin Towers @Live 2014 kerana kualiti vokalnya yang mantap serta gaya persembahannya yang sangat menarik.
"Seperti kita semua sedia maklum, Christina mempunyai kekuatan vokal yang tersendiri. Dia yang kini aktif menjadi juri bagi rancangan pencarian bakat The Voice turut mempunyai kelompok peminat yang begitu kuat menyokong perjalanan kariernya sejak mula-mula bergelar penyanyi.
"Justeru, kami sebulat suara untuk membawanya ke Kuala Lumpur bagi menghiburkan para peminatnya sempena konsert pada tahun ini," katanya selepas sidang akhbar pengumuman barisan penyanyi yang akan membuat persembahan pada Konsert Twin Towers @Live 2014 di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsert tersebut dijadual berlangsung selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Mac ini. Christina akan melakukan persembahan pada 28 Mac.
Patuh peraturan
Ketika ditanya mengenai proses pemilihan Christina sebagai salah seorang penyanyi luar negara untuk konsert tersebut, Norhayati memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang masalah ketika berurusan dengan wakil kepada penyanyi yang popular dengan lagu Fighter itu.
"Sebelum bersetuju menerima undangan daripada pihak kami, wakilnya di AS terlebih dulu bertanya kepada kami apakah peraturan yang perlu diikut semasa melakukan persembahan itu nanti.
"Tindakan wakilnya itu memudahkan pihak kami untuk menerangkan tentang peraturan-peraturan sedia ada serta sensitiviti agama yang terdapat di negara kita. Hanya dalam tempoh dua minggu, Christina bersetuju untuk menyertai konsert ini," katanya lagi.
Selain Christina, artis-artis luar negara yang akan turut mengadakan persembahan pada konsert itu nanti ialah penyanyi R&B terkenal, Craig David dan bintang K-Pop terkemuka dari Korea Selatan, Rain.
"Pada malam pertama konsert, Craig David akan memulakan persembahan sebelum pentas diambil alih oleh Christina. Kemudian, pada malam seterusnya, Rain akan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu daripada album terbaharunya," tambah Norhayati.
Tiket istimewa
Seperti penganjurannya tahun lalu, konsert pada kali ini turut diadakan secara percuma. Bagaimanapun, peminat yang ingin menonton persembahan artis pujaan mereka dengan lebih dekat boleh mendapatkan tiket-tiket ruangan FanZone dengan cara yang mudah.
"Tiket-tiket FanZone boleh didapati secara eksklusif dengan pembelian barangan bernilai RM300 dan ke atas daripada kedai-kedai di Suria KLCC yang mengambil bahagian bermula awal bulan Mac ini.
"Peminat boleh memilih untuk menghadiri mana-mana hari konsert setelah menukarkan baucar yang diberikan sebagai bukti pembelian dengan tiket FanZone," ujar Norhayati.
Teruja
Dalam pada itu, kumpulan Oh Chentaku yang akan terlibat menjayakan persembahan pada malam pertama penganjuran konsert tersebut berkata, peluang yang diberikan kepada mereka akan digunakan sebaik mungkin bagi memperlihatkan sisi sebenar kumpulan tersebut.
"Kami sangat berbangga kerana dapat menjayakan konsert berskala besar seperti ini. Lebih-lebih lagi apabila kami dapat mengadakan persembahan pada hari yang sama dengan Christina Aguilera dan Craig David.
"Selain itu, kami turut berasa teruja kerana dapat membuat persembahan di atas pentas yang besar dan bakal ditonton oleh ribuan peminat yang hadir," ujar mereka.
Antara artis tempatan lain yang mengambil bahagian termasuklah Altimet, Joe Flizzow, SonaOne dan Ila Damia.
Mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Petronas Syntium dan Petronas Primax, Konsert Twin Towers @Live 2014 bakal dianjurkan selama dua malam berturut-turut iaitu pada 28 dan 28 Mac di Plaza Petronas, KLCC, Kuala Lumpur. - IZWAN MOHD. ISA
0 comments:
Post a Comment