BILA diumumkan Datuk Shahrukh Khan bakal mengadakan konsert di Malaysia, ramai yang tidak sabar untuk melihat aksinya di pentas. Maklumlah selama ini asyik tengok aksinya di layar lebar sahaja, kalau dapat lihatnya secara berdepan mesti seronok.
Kebanyakan peminatnya yang membanjiri stadium sudah berangan untuk melihat dia beraksi bersama aktres Madhuri Dixit dan Rani Mukherjee seperti mana lakonan mereka dalam filem Dil To Pagal Hai dan Kuch Kuch Hota Hai.
Namun keseronokan yang dipendam selama ini berderai bagai kaca terhempas kerana selepas menonton konsert Temptation Reloaded Datuk Shahrukh Khan di Stadium Merdeka, Sabtu lalu, hanya indah khabar daripada rupa.
Konsert yang turut diserikan dengan persembahan Yo Yo Honey Singh, Arijit Singh dan Meiyang Chang serta nyanyian pembuka tirai oleh duo Goldkartz dari Malaysia itu seolah-olah tidak menepati kehendak penonton.
Mana taknya, pemilihan lagu-lagu yang dipersembahkan seakan tidak memenuhi cita rasa pendengar tempatan. Para peminat Shahrukh lebih sinonim dengan lagu-lagu daripada filem lakonannya seperti Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Kushi Kabhie Gham, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil Se dan Mohabbatein.
Tidak dinafikan ada beberapa lagu yang dipetik daripada filem-filem yang disebut tetapi sekadar pengisi ruang sahaja. Baharu sahaja penonton mendengar intro lagu-lagu tersebut, tiba-tiba muzik lagu lain pula yang muncul.
Dari segi susunan lagu amat mengecewakan kerana apa yang diharapkan oleh penonton tidak kesampaian. Namun, tidak dinafikan rentak tarian yang dipersembah oleh para artis dengan iringan penari, cukup hebat. Apatah lagi ia turut diserikan dengan penataan cahaya yang hebat dan sekali gus menampakkan pentas kelihatan hidup.
Memandangkan konsert anjuran 2Spicy Entertainment itu lebih mengutamakan Shahrukh, maka selaku hos, Raja Bollywood itu dilihat berjaya menarik perhatian penonton dengan kepetahannya berbicara.
Apa khabar Malaysia," sapanya sebagai pembuka bicara kepada penonton yang lebih kurang 10,000 orang itu.
Tambah Shahrukh, walaupun kecederaan di bahagian kaki dan bahunya belum pulih sepenuhnya, namun dia tetap cuba menghibur para penonton dengan sebaik mungkin.
Tidak dinafikan, pengalamannya yang lama dalam bidang seni membuatkan Shahrukh dapat mengawal penonton dengan jenakanya yang sepontan.
Sebagai penghargaan kepada para peminat, dia telah memilih empat peminat untuk naik ke pentas bagi menjayakan segmen yang telah diatur serta tidak ketinggalan memberikan cenderhati kepada mereka sebagai kenangan.
Turut hadir menonton konsert tersebut adalah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta penyanyi Datuk Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa.
0 comments:
Post a Comment