SELAMA 30 tahun pelakon ini berada dalam dunia hiburan, hanya baru-baru ini kisah keluarganya dihebahkan. Walaupun terkejut, bagi Liza Abdullah tiada apa yang terkecuali buatnya kerana menyedari diri sebagai artis, kisah sebegitu sering menjadi topik utama.
Jujurnya buat Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdullah, 50, seboleh mungkin dia mahu hal yang melibatkan masalah peribadi diuruskan secara tertutup. Mengakui apa yang berlaku dalam rumah tangganya ini sebagai suatu fasa kehidupan yang agak perit, namun bagi Liza sebagai manusia biasa dia tidak akan terlepas untuk merasainya.
Saya juga manusia biasa. Ada kehidupan sendiri, ada perasaan dan keinginan. Mereka di luar sana mungkin mahu artis menjadi contoh yang baik, tetapi bercakap soal kehidupan normal, kami juga lalui perkara yang sama.
Kadang-kadang kita diduga, jujurnya saya memang tidak mahu hal ini dihebahkan. Tetapi sebagai artis saya tahu ini harga yang perlu kami bayar," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar teater Di Bawah Lindungan Kaabah, di Istana Budaya, baru-baru ini.
Bercakap soal rumah tangga yang dibina sejak 26 tahun lalu, menurut Liza setelah melalui pelbagai peringkat, dia dan suaminya kini masih mencari jalan terbaik. Tidak mahu terlalu membuka perasaannya ketika ini, dia berharap agar masalahnya ini dapat diselesaikan dengan baik.
Saya masih lagi isteri orang dan hubungan saya dengan suami masih baik. Kami hanya mahu mencari jalan yang terbaik buat keluarga kami.
Saya kalau boleh tidak mahu bercakap soal ini sangat, sebab ini melibatkan rumah tangga saya," katanya.
Tatkala kisah rumah tangganya ini meledak, ada kata-kata sinis yang didengar. Tidak dinafikan hatinya terguris dan menurut Liza bukan semua yang dibaca peminat melalui blog itu benar. Ada yang mendakwa populariti yang dikecapi Liza melalui drama-drama lakonannya baru-baru ini menyebabkan dia mengambil keputusan untuk bercerai.
Bila mereka buat andaian, memang macam-macam yang boleh dikeluarkan. Jujurnya saya tidak begitu celik teknologi maklumat (IT). Tetapi kalau ada yang menyampaikan berita itu, saya memang benar-benar marah.
Saya mula berlakon sejak berumur 17 tahun, bukan soal populariti lagi yang saya perlu. Dunia lakonan adalah kerjaya saya. Jadi jangan kaitkan ini dengan apa yang berlaku kerana saya ikhlas untuk berlakon," katanya.
Merupakan ibu kepada empat orang anak, fokusnya kini cukup jelas. Menurut Liza walau apa juga yang berlaku pada masa hadapan dia mahu anak-anaknya Zulhaffiz Zarriq, 25, Nur Naffiz Syahiddah, 21, Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afif, 10, tidak terkesan.
Tidak mahu perkara ini memberi kesan kepada anak-anaknya, Liza mahu segala spekulasi yang melibatkan dirinya tidak diteruskan.
Anak-anak saya yang dewasa mungkin faham. Tetapi yang berumur 10 dan 12 itu, kalau mereka baca apa yang ditulis, tidakkah itu akan memberi kesan.
Memang saya kecewa dengan penulis-penulis blog yang menulis tanpa menghiraukan perasaan saya dan keluarga saya," katanya.
Sebelum menamatkan kata-katanya untuk soalan ini, Liza juga sempat meminta agar kisah negatif ini tidak terus dijaja. Bagi Liza, jika ini berterusan dia takut akan memberi kesan kepada pihak keluarganya yang lain.
Ya, ini merupakan perkahwinan kali pertama saya, sebelum ini juga saya tidak pernah melibatkan keluarga saya dalam dunia kerjaya.
Keluarga mertua saya masih lagi baik dengan saya, jujurnya mereka tahu apa yang berlaku. Harap mereka di luar sana tidak terus membuat kontroversi mengenai kehidupan saya," katanya.
Sementara itu Liza akan muncul dalam pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah. Antara pelakon yang turut menjayakan teater tersebut adalah Adi Putra dan Nasha Aziz. Mengakui rindu dengan pentas teater, Liza yakin dia mampu memberikan yang terbaik dalam teater arahan Rosminah Tahir ini.
Memang sudah lama sebenarnya mahu beraksi di pentas teater, tetapi bercakap soal ini kita tahu ia melibatkan komitmen.
Tetapi melihat naskhah yang dibawa saya tidak teragak-agak untuk menerimanya,"katanya.
Pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah akan berada di Istana Budaya pada 9 hingga 28 Mei. Terbitan bersama CTRA Production dan Istana Budaya, tiket akan mula dijual serendah RM35 sehingga RM255.
0 comments:
Post a Comment