Loading...
Thursday, February 20, 2014

Jodoh bertaut di stesen bas

Jalil Hamid bersama isterinya, Hayati Sariat.
"Kalau saya terpaksa duduk bawah jambatan sekalipun, saya akan ikut dia."
Itulah bukti cinta sejati yang diluahkan oleh Hayati Sariat yang juga isteri kepada pelakon, Jalil Hamid.
Selama 30 tahun menyulam kasih sebagai suami isteri, tipulah jika tiada badai yang melanda, namun ikatan cinta tetap tersimpul kemas.
Ketika diminta untuk Jalil menceritakan kembali detik-detik pertemuan mereka, meleret senyumannya cuba mengingati kisah cinta lamanya.
"Kami berjumpa ketika saya tidak popular lagi. Ketika itu, saya hanya terlibat dengan aktiviti kebudayaan di Johor. Masa itu, saya aktif di Taman Seni Budaya Johor (TSBJ) dan itu pun, saya yang tubuhkan," jelasnya.
Tambah Jalil lagi, dia tidak pernah bercinta dengan wanita yang kini bergelar isterinya, sebaliknya, hanya sekadar kenal dan usik-usik manja, terus dinyatakan hajat untuk mengambilnya sebagai isteri.
"Kalau nak diikutkan, memang saya tidak pernah bercinta dengan isteri. Saya cuma mengusik-usik dia sahaja, namun perkara itu tidak berlanjutan.
"Sebabnya, dia tidak lama menyertai TSBJ kerana ibunya marah. Maklumlah, kerja seni ini selalunya memang akan balik lewat.
"Maka selepas itu, lama juga kami tidak berjumpa. Bila tidak berjumpa, masa itu baharu saya dapat rasakan cinta itu sudah tersemat di hati kerana ketika itu saya rasa macam tercari-cari kelibat isteri," ujar Jalil tersenyum.
Jelas Jalil, dia menetap di Felda Cahaya Baru, Masai, Johor dan ketika itu dia mendapat tawaran untuk menjadi pegawai kebudayaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah, Alam, Selangor.
Ketika majlis perpisahan diadakan untuknya di TSBJ, kelibat yang dicari muncul kembali tetapi hanya untuk seketika, sebaliknya, wanita itu hilang semula.
"Mungkin sudah jodoh agaknya, kali terakhir berjumpa di TSBJ masa majlis perpisahan itu, setahun lebih saya tidak berjumpa dia.
"Namun, semuanya bermula ketika saya hendak beli tiket bas untuk pergi ke Shah Alam ketika itu, saya nampak wajah yang saya kenal menjual tiket bas.
"Masa itu, baharu saya perasan dia bekerja sebagai penjual tiket bas. Saya pun tegur dia dan kami berhubung kembali," jelasnya.
Bagi Jalil, ketika itu, kepulangan ke Johor adalah sesuatu yang sangat dinantikan dan akhirnya, dia meluahkan perasaan untuk memperisterikan wanita itu.
"Masa saya cakap nak kahwin, dia beri jawapan dia tidak tahu sebab dia wanita. Masa itu, saya terus jumpa dengan ibu bapa dia untuk menyatakan hasrat saya.
"Selepas mendapat persetujuan, saya hantar ibu bapa saya untuk meminang dia pada bulan Jun dan pada 7 Disember 1984, kami sah bergelar suami isteri," katanya sambil tersenyum memandang isteri.
Syukur punya isteri di sisi
Menceritakan kisah rumah tangganya selepas bergelar suami isteri, ia bukan sesuatu yang mudah seperti disangka.
Sebaliknya, Jalil bersyukur kerana dalam keadaan yang susah itu, isterinya tetap setia untuk bersama dengannya setiap masa.
"Bayangkan, selepas saya bawa dia ke Shah Alam, saya tidak mempunyai apa-apa. Gaji pun kecil ketika itu. Masa itu, saya dan isteri duduk menyewa bilik di sebuah banglo yang dihuni oleh 20 orang penghuni," jelasnya.
Tambahnya, waktu itu memang susah, motosikal pun tiada apatah lagi mahu memiliki sebuah kereta.
Selepas itu, pasangan ini berpindah dari banglo itu ke sebuah lagi rumah bersama dengan penghuni yang lebih kecil di Seksyen 6.
"Semasa duduk di situ, tiba-tiba ada seorang pelajar UiTM yang tegur saya dan beri saya pinjam motornya memandangkan dia sudah habis belajar.
"Ketika itu, baharulah senang sedikit rasanya nak bergerak bila dah ada kenderaan," jelasnya.
Kemudian, Jalil dan isterinya berpindah lagi ke sebuah rumah yang mempunyai satu bilik membesarkan anak sulung mereka ketika itu, Aliff Sufian.
"Masa itu hidup susah, Aliff pula kena demam panas ketika berusia lapan bulan dan doktor ketika itu memberitahu, memang tidak boleh nak buat apa.
"Sampai sekarang, usianya berusia 29 tahun, kehidupannya masih lagi seperti itu. Tidak mampu untuk berdikari sendiri tanpa sokongan kami," jelasnya.
Tambahnya, dia bersyukur dikurniakan isteri yang cukup penyabar dan tabah dalam menjalani kehidupan ketika susah dahulu.
"Dia yang banyak memberi semangat kepada saya. Selepas berkahwin, dia tidak bekerja langsung.
"Kalau bekerja pun, sekadar buat kuih untuk saya jual dan macam-macam lagi yang dia buat di rumah untuk mencari pendapatan lebih.
"Saya memang bersyukur memperoleh isteri yang kuat seperti ini dan rasanya, itu menjadi pengikat kasih antara kami," ujarnya.
Tambahnya, memiliki anak yang kurang upaya sebenarnya mempunyai hikmah yang tersendiri.
"Sebenarnya, Aliff yang mengikat kasih kami. Dia penyeri dalam keluarga kami. Walaupun keadaan dia begitu, tapi dialah yang menjadi penyeri dan kalau tiada dia, tidak lengkap kasih dalam keluarga kami," jelasnya.
Berkat kasih yang diulit selama 30 tahun, Jalil kini dikurniakan enam orang iaitu Nurul Izni, Mohamad Harith, Nur Jihan, Nur Afiqah dan Mohamad Hirzi.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP