MENGHIMPUNKAN dua puluh orang peserta terdiri daripada golongan selebriti dan pemenang MasterChef Malaysia, program yang diberi nama Masterchef Malaysia All Stars ternyata berjaya membuktikan kesungguhan dan komitmen semua yang terlibat. Bukan apa program tersebut dilihat sebuah program yang mendapat tempat di hati penonton.
Apa-apa pun sekalung ucapan tahniah patut diberikan kerana usaha murni barisan produksi rancangan itu yang ingin membantu golongan kurang berkemampuan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, sejumlah RM109,500 iaitu wang kemenangan akan disalurkan kepada badan atau pertubuhan kebajikan yang terlibat.
Kami amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam program ini. Walaupun para peserta tahu yang kesemua wang akan diberikan kepada badan kebajikan pilihan mereka, namun mereka tetap berkorban masa menghadirkan diri ke sesi rakaman sehingga meninggalkan rutin harian mereka.
Secara tidak langsung ini membuktikan kesungguhan kami yang berterusan untuk membantu masyarakat yang memerlukan," katanya selepas majlis tayangan episod kemuncak MasterChef Selebriti Malaysia di First Avenue, Bandar Utama baru-baru ini.
Program sebanyak 40 episod itu disertai 20 peserta daripada musim terdahulu termasuk MasterChef Selebriti Malaysia. Antara selebriti yang menyertai pertandingan itu ialah Azwan Ali, Soo Wincci, Raja Azmi, Kenchana Dewi, Celina Khor, Sharifah Shahora, Micheal Ang, Syanie, Enot, Brian, Imelda, dan Zamir. Turut serta adalah Che Lah, Ah Hong, Along, Azlina, Azni, Ary Malik dan Shahirah.
Zamir juara muda
Peluang kedua yang diberikan ternyata tidak disia-siakan oleh peserta paling muda iaitu Zamir. Dia telah berjaya menumpaskan peserta lain sekali gus dinobatkan sebagai juara MasterChef Malaysia All Stars.
Zamir atau nama sebenarnya, Arshad Zamir Mohd Azmi, 21, menerima wang tunai bernilai RM55,000 yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan Rumah Teduhan Kasih.
Saya tidak menyangka kemenangan tersebut namun ia adalah antara pengalaman manis sepanjang karier saya dalam bidang kulinari. Saya banyak belajar mengenai dunia masakan dalam pertandingan ini," katanya yang tampil dengan tiga jenis sajian iaitu pembuka selera, hidangan utama dan pemanis mulut.
Pada episod terakhir itu, Zamir memilih untuk menghidangkan sup cendawan sebagai pembuka selera, sea bass gone wild (hidangan utama) dan kek angle (pencuci mulut). Celina pula menghidangkan fiesta makanan laut (pembuka selera), dua benua (hidangan utama) dan kek coklat lava (pencuci mulut).
Barisan juri yang mengadili hidangan kedua-dua peserta itu adalah Chef Johari Edrus, Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran.
Celina buka restoran
Akur dengan kekalahannya kepada juara muda, pengacara Celina Khor berhasrat membuka sebuah restoran yang menghidangkan masakan barat dan tempatan kepada pelanggan.
Impian Celina, 34, itu sebenarnya masih lagi dalam proses perbincangan. Bukan mudah untuk memulakan perniagaan tetapi dia sangat mengharapkan semua itu akan menjadi kenyataan pada tahun ini.
Tidak kecewa dengan kekalahan itu, Celina mengakui bahawa dia hanya mula memasak secara serius sejak dua tahun lalu dan tidak menyangka dapat sampai ke tahap ini.
Penyertaan saya dalam poertandingan ini telah menambahkan pengetahuan saya tentang bidang masakan semakin bertambah. Banyak pengalaman yang sudah saya kutip dalam program ini dan semoga ia dijadikan semangat dan pendorong untuk perniagaan saya nanti," katanya yang juga akan muncul dengan buku masakan kedua dalam masa terdekat ini.
0 comments:
Post a Comment